Saturday, January 28, 2012

Debat Najib VS Anwar : Dia Cakap 40 minit, Saya 20 Minit Sudah +Video


“Dia boleh cakap 20 minit, saya 10 minit. Dia balas 20 minit dan saya jawab 10 minit.”

Itulah cadangan yang dikemukakan Datuk Sri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak dalam cadangan debat antara mereka.

Namun sehingga kini Najib tidak memberikan sebarang kesanggupan untuk debat ini.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, ia tidak perlu diadakan kerana ia budaya barat yang belum boleh diterima masyarakat negara ini.

Sebelum ini, badan penyelidikan, Merdeka Centre mencadangkan agar kedua-dua mereka berdebat.

Anwar Ibrahim mengalu-alukan idea berdebat dengan Najib sebagaimana disarankan oleh Merdeka Center berdasarkan penemuannya baru-baru ini.

Sehubungan itu kata Anwar, debat yang disyorkan wajar bagi menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

“Masing-masing buat tuduhan, kita tuduh Barisan Nasional rasuah dan gagal tadbir negara, BN tuduh kita tidak tahu urus ekonomi, tuduh Anwar jadi alat DAP, masing-masing ada pendekatan dan kita cadang debat.

“Apa yang kita sebut, kita pertahankan, itu sebabnya kita perlu debat. Insya-Allah kita menang dan dapat tawan Putrajaya,” kata beliau pada Program Mesra Rakyat Bersama Penasihat Ekonomi Selangor di Stadium Sabak Bernam di sini baru-baru ini.

Hari ini, Anwar memberikan syarat dan cadangan yang cukup berat sebelah untuk Najib iaitu tempoh masa bercakap yang lebih untuk Najib.

Cadangan itu dikemukakan Anwar melalui twitternya hari ini.
Sikap Najib enggan berdebat ini dibidas oleh Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.

“Ini menampakkan betapa purbanya cara berfikir kepimpinan parti ini dan betapa gentarnya UMNO untuk berbicara secara bersemuka mengenai hak rakyat,” katanya.


Debat dituntut dalam Islam tapi Najib elak untuk sorok ‘sesuatu’

KUALA LUMPUR: Budaya debat antara pemimpin selaras dengan tuntutan al-Quran dan menjadi tradisi kepimpinan silam tamadun dunia, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

Sambil memetik Surah An-Nahl: 125, beliau berkata budaya itu lumrah ilmuan dan kepimpinan silam kerana kebenaran akan lebih terserlah dan pandangan baru dapat dicerna demi kepentingan negara dan rakyat.

“Lebih penting, rakyat diberi peluang menilai secara empirikal dan adil akan ketrampilan dan keikhlasan kepimpinan yang diberi amanah mengurus negara pada masa depan.

“Inilah demokrasi sebenar yang dituntut oleh rakyat,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Dr Muhammad Nur kesal dengan keengganan Datuk Seri Najib Razak menyahut seruan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat secara terbuka mengenai isu politik, ekonomi dan kebajikan rakyat yang sedang hangat diperkata.

“Pemimpin yang enggan bersemuka dan bertentang mata memberi persepsi ketidakikhlasan dan ketidakjujuran. Ia mempamer bahawa ada rahsia yang mahu disorok.

“Apakah sebenarnya mahu disembunyikan dari rakyat itu? Umno wajib menjelaskannya,” kata beliau yang menganggap alasan parti itu sebagai memual dan menjengkelkan.

Beliau menyifatkan keengganan Najib berdebat adalah manifestasi dari lesunya daya fikir dan intelek kepimpinan Umno dalam politik semasa yang mengamal budaya telus dan terbuka.

“Najib sebenar lebih beruntung kerana dikelilingi ratusan pegawai dan pembantu yang bersiap siaga dengan bekalan idea dan maklumat,” kata beliau.

Beliau juga percaya Umno belum berhenti dari muslihatnya untuk memperbodoh dan menindas minda rakyat untuk kekal berkuasa dan meneruskan penyelewengan tanpa sekatan.

Katanya, KEADILAN kesal kerana Umno yang memerintah sejak 54 tahun lalu, menghina dan merendah-rendahkan kemampuan rakyat Malaysia membuat penilaian.

“Jika benarlah rakyat masih belum mampu menerima debat kepimpinan secara terbuka, bukankah ini bukti kegagalan Umno sendiri?” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=25967

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular