KUALA LUMPUR, 23 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana kesediaan beliau untuk mengisytiharkan harta sekiranya undang-undang menetapkan demikian.
Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor menganggap kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menunjukkan sikap keterbukaan dan ketelusan pemimpin PAS sebagaimana juga yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anggota Exconya yang telah mengisytiharkan harta mereka.
Katanya, kesediaan mengisytiharkan harta menunjukkan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat sanggup meletakkan keutamaan rakyat melebihi kepentingan diri mereka sendiri.
Malah pemimpin PAS sanggup membahayakan dirinya sendiri dengan menafikan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang mengelak untuk mengisytiharkan harta mereka kerana takutkan bahaya yang menimpa mereka, ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, DPPM berpendapat, rakyat berhak mengetahui aset pemimpin mereka supaya mereka mengerti bahawa pemimpin yang diangkat benar-benar ikhlas memperjuangkan rakyat, bukan diri mereka sendiri.
Menurutnya, mengisytiharkan harta boleh mengelakkan berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah dari kalangan pemimpin negara.
Tidak timbul isu pemimpin bershopping secara bermewah dan melampau dalam berbelanja. Juga tidak akan berlaku pemimpin korup yang mengambil kesempatan di atas kedudukan dan kuasa yang mereka miliki, ujarnya.
Malahan, ujarnya DPPM serta seluruh rakyat khususnya penduduk negeri Kelantan boleh berbangga dengan cara hidup berserdehana Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya lagi, meskipun telah memerintah negeri Kelantan lebih dari 20 tahun, namun gaya hidup pemimpin itu tidak menggambarkan beliau seorang yang rakus dalam membaham harta rakyat.
Beliau masih duduk di rumah sendiri, makan di kedai-kedai seperti insan yang lain, solat berjemaah di masjid-masjid tanpa kawalan ketat pengawal peribadinya, rumahnya yang mudah dikunjungi tanpa protokol, mengelak mengambil pelbagai elaun yang diberikan, berkunjung ke pasar-pasar tanpa kekok, katanya lagi.
Tambahan lagi, ujarnya Tuan Guru dan keluarganya tidak pernah dilaporkan berbelanja mewah di luar negara, tidur di hotel-hotel ternama yang mahal, serta menaiki jet peribadi atau kenderaan import yang berharga jutaan ringgit.
Jelasnya, lebih membanggakan apabila pemimpin kerajaan beliau selama ini tidak pernah dipalitkan dengan apa juga kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
DPPM dengan ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan seluruh pemimpin kabinet untuk bersedia mengisytiharkan harta mereka kepada awam sekiranya benar mereka adalah pemimpin rakyat dan bersih dari sebarang penyelewengan.
Tidak apa yang perlu dirisaukan sekiranya mereka tidak bersalah bahkan tindakan ini adalah suatu kebanggaan kepada seluruh rakyat di negara ini, katanya. - Harakah
>> Nik Aziz sedia isytihar harta +Video
>> Nik Aziz sedia isytihar harta +Video
No comments:
Post a Comment