KUALA LUMPUR, 4 Jun — Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua bahagian Umno di seluruh negara menunaikan janji pilihan raya umum yang lalu jika ada yang masih belum ditunaikan dalam usaha untuk terus mengukuhkan kekuatan di peringkat bahagian.
Beliau (gambar) berkata semua janji pilihan raya yang belum diselesaikan walaupun tidak sebesar mana perlu diberi perhatian serius dan segera diselesaikan.“Usaha perlu dibuat untuk menyelesaikan isu yang dialami di peringkat bahagian, sebahagiannya mungkin berhadapan dengan isu janji pilihan raya yang mungkin belum dapat diselesaikan dan ditunaikan,” kata beliau dipetik Bernama Online hari ini.
“Kalau ia tak sebesar mana dan ia perlu diselesaikan di peringkat mana sekalipun, ia tidak boleh diabaikan dan ia perlu segera diberi perhatian,” katanya yang juga pengerusi Umno Wilayah Persekutuan.
Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Wangsa Maju di sini malam tadi.
Katanya, semua bahagian Umno juga perlu menentukan supaya kehendak dan harapan masyarakat di sekitar mereka dapat dipenuhi.
“Di samping itu, kita perlu melaksanakan usaha untuk menentukan segala keperluan masyarakat yang ada di kawasan kita dapat kita laksanakan walaupun tak kesemuanya tetapi sebahagian besar dapat diselesaikan.
“Ia penting supaya semua isu itu tidak menjadi halangan kepada Umno terutamanya ketika berkempen pada pilihan raya umum ke-13 yang akan datang,” kata Muhyiddin.
Katanya, jika semua perkara sudah ditunaikan, perkara seterusnya yang perlu diberikan perhatian oleh Umno di peringkat bahagian ialah memastikan kedudukan bahagian berada pada keadaan yang kukuh.
Menurut beliau, hubungan semua kepimpinan bahagian dengan semua peringkat ahli Umno perlulah kuat dengan tiada isu yang boleh menggugat kestabilan parti terus berlarutan.
“Bahagian Umno mesti tidak bergolak, jangan ada isu, hubungan antara pimpinan di semua peringkat mestilah dalam keadaan yang terbaik. Tidak ada isu dan permasalahan yang boleh menggugat hubungan baik yang akhirnya boleh menjejaskan gerakan jentera pilihan raya,” katanya.
Muhyiddin turut mengingatkan semua jentera Umno bahawa pilihan raya umum yang akan datang akan mendatangkan cabaran kepada parti dan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan yang lebih getir daripada biasa.
Beliau berkata ini adalah kerana pakatan pembangkang tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kembali kerusi yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum ke-12 kembali kepada BN.
“Pihak pembangkang pada ketika ini sudah berkuasa di peringkat negeri akan terus mempertahankan kedudukan mereka. Kerusi yang kita (BN) kalah di peringkat Wilayah Persekutuan pastinya bukan mudah untuk mereka lepaskan.
“Mereka ada strategi, mereka bergerak sampai ke akar umbi, mereka membuat program untuk membantu masyarakat ... langkah yang kita ambil, mereka juga ambil langkah yang serupa dan mungkin lebih daripada kita,” katanya. - MI
No comments:
Post a Comment