Thursday, June 2, 2011

Bayi maut dicampak dari balkoni pangsapuri


Polis mengangkat mayat bayi yang ditemui mati dicampak dari tingkat tinggi Pangsapuri Sentul Utara, Sentul, tengah malam semalam.

[BH] KUALA LUMPUR: Apalah dosa seorang bayi lelaki cukup sifat yang baru dilahirkan hingga ada manusia tergamak mencampaknya dari tingkat atas sebuah pangsapuri di Sentul di sini, ke atas permukaan jalan, hingga bayi malang itu ditemui mati dengan kepalanya pecah, malam kelmarin.

Bayi masih bertali pusat yang dibungkus dalam plastik itu ditemui tertiarap dalam keadaan menyayat hati oleh penduduk Pangsapuri Sentul Utara pada jam 11.45 malam, di tempat letak kereta, kurang dua meter dari tong sampah.
 
Polis percaya bayi itu dicampak dari balkoni laluan tangga pangsapuri berkenaan dengan pelakunya dipercayai cuba membuang bayi terbabit ke dalam tong sampah, namun tersasar ke permukaan jalan.
 
Pemeriksaan polis turut menemui titisan air dipercayai air ketuban di tangga tingkat empat pangsapuri 15 tingkat itu.

Mayat bayi itu ditemui hanya 16 jam selepas penemuan mayat seorang bayi perempuan yang tersangkut di celah batu di sungai berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pagi kelmarin.

Sambil menyifatkan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu sebagai amat hina dan keji, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan bayi itu milik penduduk pangsapuri berkenaan.

"Selain itu, kita juga menyiasat kemungkinan bayi malang ini dibawa oleh orang luar sebelum dibuang di kawasan ini. Berdasarkan kesan kecederaannya, kita percaya bayi ini jatuh dari tempat tinggi iaitu dicampak ke bawah dari pangsapuri ini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
 
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai khususnya penduduk pangsapuri itu yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Saksi kejadian, Ahmad Azhari, 34, berkata beliau baru pulang dari pejabat dan terkejut apabila melihat bungkusan berisi seperti anak patung berhampiran tong sampah, ketika melalui kawasan itu.

“Hancur hati saya melihat rupa-rupanya bungkusan itu berisi bayi baru dilahirkan dengan kepalanya pecah,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular