Friday, June 3, 2011

DAP minta TNB jelas kenaikan gaji CEO dua kali ganda

KUALA LUMPUR, 3 Jun — DAP mahu Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan mengapa gaji hakiki ketua pegawai eksekutifnya tahun lalu meningkat dua kali ganda, mencecah RM1.2 juta sedangkan rakyat tidak puas hati dengan peningkatan kadar tarif.


Gaji hakiki Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh meningkat daripada RM600,000 pada 2009 kepada RM1.2 juta tahun lalu, demikian menurut maklumat laporan tahunan syarikat itu.


Keseluruhan pendapatan tahunan Che Khalib tahun lalu adalah RM1.8 juta berbanding RM1.4 juta tahun sebelumnya.

“DAP ingin bertanya kewajaran meningkatkan gaji ketua-ketua TNB ketika inflasi sangat tinggi dan purata pendapatan rakyat Malaysia sebenarnya tidak mengalami kenaikan langsung,” kata Adun Komtar Ng Wei Aik dalam satu kenyataan hari ini.

“Dengan kenaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus, ini adalah contoh klasik mengalih beban ke atas bahu rakyat,” katanya lagi.

TNB telah meminta kerajaan menaikkan tarikf elektrik sejak awal tahun ini ekoran kenaikan dalam perbelanjaan modal dan kenaikan harga bahan api.

Keuntungan sebelum cukai dan zakat syarikat itu RM4 bilion bagi tahun kewangan 2010, lebih dua kali ganda berbanding RM1.5 bilion yang ia capai tahun sebelumnya, demikian menurutn laporan itu.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus.

Sehubungan itu, Ng juga mengecam slogan 1 Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Dengan kenaikan kos hidup, ia memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia. Ia kini menjadi 1 Malaysia: Kroni Didahulukan, Prestasi Tidak!,” katanya.

Pakar-pakar ekonomi telah meramalkan bahawa kenaikan tarif elektrik dan gas akan menaikkan indeks harga pengguna sehingga empat peratus dalam beberapa bulan akan datang berbanding 3.2 peratus pada April.

“Bekalan elektrik adalah keperluan asas setiap rakyat Malaysia, ia tidak harus digunakan untuk menaikkan keuntungan TNB,” katanya lagi. - Oleh Boo Su-Lyn



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular