Gambit Perjelas Arah Klip Video Unsur Lucah
PETALING JAYA: Pengarah klip video Marilah, nyanyian Prema Yin iaitu Gambit Saifullah (gambar) menganggap video klip tersebut tidak berunsur lucah dan keterlaluan seperti mana yang dipersoalkan oleh sesetengah pihak.
Malah menurutnya, klip video yang menggandingkan penyanyi itu dengan pelakon Shahz Jazle tidak seharusnya dijadikan kontroversi kerana hanya memaparkan adegan yang dianggap 'biasa'.
"Saya tidak rasa ia menjadi kontroversi kerana saya hanya menampilkan adegan pasangan suami isteri yang sudah kehilangan cinta dan mempunyai ego masing-masing.
"Saya rasa ia tidaklah terlalu teruk, mungkin ia menjadi kontroversi disebabkan saya dan Shahz Jaszle terlibat dalam klip video ini," ujarnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Gambit (gambar) diminta memberi penjelasan berikutan klip video Marilah yang merupakan single terbaru Prema Yin dikatakan memaparkan aksi bertentangan dengan budaya masyarakat di negara ini.
Dalam klip terbabit, Shahz Jazle dan Prema Yin dilihat melakukan aksi hampir-hampir bercium, berpeluk serta melakukan adegan seperti sedang berada dalam keadaan berahi.
Mereka juga dikatakan cuba membuat publisiti murahan bagi meraih perhatian masyarakat khususnya peminat industri hiburan tanah air.
Kata Gambit, klip video tersebut dihasilkan mengikut perbincangan daripada pihak produksi dan klien yang mahukan ia mengikut standard klip video artis luar negara.
Menurutnya, niat utama penghasilan klip video itu adalah untuk pasaran Amerika Syarikat.
"Memanglah kalau boleh saya ingin ia turut diterima oleh peminat hiburan tanah air. Tapi kalau ia tidak diluluskan, saya tidak ada bantahan kerana hasrat utama menghantarkannya ke Amerika Syarikat," katanya.
Dalam pada itu, Gambit turut mempersoalkan mengapa sesetengah pihak mengatakan karyanya itu keterlaluan dan lucah sedangkan banyak filem tempatan yang menampilkan aksi lebih daripada itu.
"Kenapa orang ingin mempertikaikan klip video ini sedangkan filem ...Dalam Botol yang jelas memaparkan hubungan songsang dan terdapat aksi lebih teruk tetapi ia diluluskan.
"Apa salah saya, bagi saya video klip tersebut tiada adegan cium ataupun meraba," ujarnya.
Bagaimanapun, dia menerima teguran yang dibuat secara positif dan akan cuba yang terbaik untuk masa akan datang.
"Saya tidak kisah apa orang nak cakap tentang klip video tersebut, saya terima teguran mereka dan akan lebih berhati-hati lagi selepas ini," katanya.
Sementara itu, Prema Yin yang dihubungi kini berada di Amerika Syarikat manakala Shahz Jaszle pula tidak menjawab panggilan untuk mengulas tentang klip video tersebut.
No comments:
Post a Comment