SHAH ALAM – Kenaikan tarif elektrik yang baru dengan kenaikan purata sebanyak 7.12 peratus atau 2.23 sen/kilowatt-jam (kWj) berkuat kuasa 1 Jun ini, bukanlah pada waktu yang sesuai.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Mohd Khairun Aseh berkata, kenaikan tersebut bakal membebankan rakyat termasuklah golongan peniaga dan industri.
Katanya, walaupun kenaikan tarif elektrik itu tidak melibatkan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan atau kurang, kesan kenaikan tersebut tetap akan dirasai rakyat berpendapatan rendah.
“Sudah pasti peniaga dan industri akan menghadapi peningkatan tarif elektrik yang diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan mereka dikhuatiri akan mengembalikannya semula kepada pengguna.
“Oleh itu, rakyat berpendapatan rendah tetap tidak akan selamat dengan kenaikan tarif yang katanya dikecualikan daripada mereka apabila peniaga dan industri yang memberi perkhidmatan mengembalikannya semula kepada pengguna,” katanya.
Khairun cadangkan kerajaan mengenakan cukai kepada pengeluar tenaga elektrik persendirian dan pengeluar-pengeluar tenaga bebas (IPP).
Cadangan itu, katanya, antara alternatif lain yang boleh diberi perhatian serius oleh kerajaan agar tidak melibatkan rakyat berpendapatan rendah.
“Mungkin juga kerajaan boleh melaksana Akta Pencatutan 2010 sebagai jalan lain, selain meningkatkan kos barangan domestik,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda MIC, T Mohan berkata, kenaikan itu tidak patut dilakukan pada waktu ini.
Katanya, ia adalah disebabkan rakyat masih berada pada takuk pendapatan yang sederhana, sedangkan kos sara hidup semakin meningkat.
“Jangan sentuh nadi rakyat. Kerajaan perlu mencari jalan yang lebih sesuai bagi menampung kos subsidi, itu tidak dinafikan, namun tidak perlu melibatkan kenaikan harga barang kegunaan domestik.
“Saya percaya masih banyak pembaziran elektrik akan berlaku sekalipun kenaikan tarif elektrik dilakukan. Namun sekiranya peningkatan itu alasan kepada peningkatan taraf ekonomi negara, ia mungkin boleh diterima,” katanya kepada Sinar Harian.
Semalam, kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan turut mengumumkan pemberian bekalan elektrik percuma kepada pengguna berpendapatan rendah yang menggunakan elektrik berjumlah RM20 dan ke bawah sehingga 31 Disember tahun ini.
Pemberian bekalan elektrik percuma itu dijangka melibatkan kos sebanyak RM122 juta setahun bagi membiayai kegunaan 900,000 pengguna di Semenanjung.
Kenaikan tersebut juga bagi membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempertingkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur pembekalan elektrik yang lebih baik termasuk pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan. - SH
No comments:
Post a Comment