Wednesday, June 1, 2011

Buktikan tarif elektrik naik tidak beban pengguna

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Kerajaan dicabar memberikan satu formula bagi membuktikan dakwaan mereka bahawa kenaikan tarif elektrik tidak akan membebankan 4.4 juta pengguna domestik.


Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Anuar Tahir berkata, dakwaan kerajaan itu sangat tidak masuk akal kerana kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa hari ini saling berkait dengan kenaikan harga barang lain.


Menurutnya, kerajaan sudah beberapa kali menaikkan harga petrol RON97, harga gula dan disusuli kenaikan tarif elektrik tapi pendapatan rakyat tidak bertambah, akta gaji minima masih belum dilaksanakan.


"Kerajaan perlu sedar pendapatan rakyat tidak bertambah. Bukan tarif elektrik sahaja yang naik. Sebelum ini harga minyak naik, harga gula naik ditambah pula kenaikan tarif elektrik.

"Mustahil tidak membebankan rakyat. Saya nak tahu formula apa yang dipakai untuk mengatakan bahawa kenaikan tarif elektrik kali ini tidak menjejaskan isi rumah sedangkan kenaikannya saling berkait dengan harga barang lain," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan tarif elektrik baru dengan kenaikan purata sebanyak 7.12 peratus atau 2.23 sen/kilowatt-jam (kWj).

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dilaporkan berkata, kenaikan itu tidak akan menjejaskan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan atau kurang.

Anuar bagaimanapun menolak kenyataan itu kerana katanya kebanyakan isi rumah sangat bergantung kepada penggunaan elektrik menyebabbkan sukar untuk mereka mengurangkan perbelanjaan bagi bil elektrik.

"Kita sekarang ini bukan zaman pakai lampu minyak tanah tapi zaman semua benda pakai elektrik. Di dapur terutamanya banyak pakai perkakas elektrik.

"Sudah pasti susah semua orang nak berjimat. Takkanlah sebahagian pakai elektrik sebahagian pakai minyak tanah, pakai dapur arang, dapur arang, langkah itu tak praktikal zaman ini," katanya.

Menyentuh mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pengeluar tenaga bebas (IPP) tidak mendapat manfaat daripada kenaikan dalam tarif elektrik ini, beliau menyifatkan ianya sebagai penafian semata-mata untuk menjaga kepentingan syarikat korporat.

"Kerajaan memang selalu menafikan apa yang mereka buat tapi biasanya yang dinafi itu yang mereka buat.

"Mereka lebih menjaga kepentingan golongan kapitalis, syarikat-syarikat besar dariapda menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Rakyat seperti Burung Kakak Tua

Sementara itu, beliau berkata kerajaan seolah-olah menutup kesalahan mereka menggunakan media massa dengan memberikan pelbagai tips penjimatan keapda rakyat.

"Saya perhatikan pihak kerajaan melalui media mereka sangat apologetik memberikan bermacam-macam tips untuk mengurangkan penggunanan untuk menjimatkan elaktrik.

"Ini menunjukkan bahawa tak dapat dielakkan lagi bahawa kenaikan tarif elektrik ini pasti akan meninggalkan kesan tersendiri kepada perbelanjaan isi rumah," katanya.

Menurutnya, rakyat melalui media juga disuruh menjadi seperti burung kakak tua dengan sentiasa mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan kerajaan walaupun ternyata membebankan mereka.

"Apa yang kerajaan buat semua rakyat kena sokong. Tidak boleh berkata tidak.

"Rakyat disuruh jadi seperti burung kakak tua yang mengikut apa yang tuannya suruh kata. Disuruh kata selamat pagi, kata selamat pagi. Disuruh kata pergi berambus, kata pergi berambus," katanya.

Amat malang katanya apabila Malaysia yang mengaku sebagai nagara demokrasi masih membentuk rakyat menjadi pengikut sahaja.

"Saya dukacita apabila negara demokrasi tapi rakyat dibentuk supaya hidup dalam negara fasis, mesti ikut kata pemerintah. Macam negara komunis rakyat mana boleh lawan cakap pemerintah," katanya. - HD


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular