
Kita selalu berkata dengan berbagai perbilangan Melayu yang diketahui ramai sejak turun temurun. Salah satunya ialah, ‘sekali air bah sekali pasir berubah’. Itu sebabnya dalam apa-apa kegiatan, perlakuan, kegiatan dalam apa-apa bentuk pun perubahan tetap akan berlaku.
Kadangkala perubahan itu berlaku secara evolusi dan perlahan yang kadangkala tidak kita sedari. Kita manusia sendiri berubah dari muda menjadi dewasa dan dari dewasa menjadi tua. Rupa kita pun berubah kerana keadaan fisik kita berubah. Pemikiran dan memberikan persepsi kepada sesuatu keadaan pun berubah. Kalau dahulu sesuatu nilai kehidupan itu dianggap baik tetapi akhirnya nilai itu tidak lagi diterima masyarakat.
Agama suci kita pun menyatakan dengan jelas yang kita mesti hidup mengikut waktu dan zamannya. Apabila kita statik dalam kehidupan kita maka kita akan tidak lagi dapat menyesuaikan diri kita dengan keadaan sekeliling. Tetapi agama kita juga menyatakan dengan terang-terangan supaya kita tidak lari dari tali Allah. Kita tidak boleh lari dari mengtauhidkanNya sambil bertawajjuh dan bertawassul denganNya disetiap ketika dan detik.
Rupa bentuk muka bumi pun berbeza dari rupa bentuk di antara sebelum dan selepas ‘ice-age’. Malah bumi ini ‘is more intelligent than putting all human minds together’. Bumi berubah mengikut zaman dan waktunya. Maka manusia wajar berubah dari masa kesemasa selari dengan perubahan untuk kebaikan sebagai yang di tuntut oleh agama kita.
Perubahan itu tidak memberikan ‘exception’ kepada politik dan siasah negara dan rakyatnya. Politik ini adalah permainan manusia yang tidak terlepas dari perubahan manusia itu sendiri dan ianya akan juga membawa perubahan kepada badan-badan politik itu secara parallelnya. Ramai di antara kita tidak menyedari perubahan yang besar di dalam minda manusia yang bermain politik ini. Hanya kepada siapa yang berfikir dan sentiasa sensitif terhadap perubahan itu akan sedar. Itulah sebabnya agama kita mengingatkan kita, berfikir sejenak itu lebih baik dari beramal sepanjang malam.
Kadangkala perubahan itu hanya di sedari setelah perubahan itu telah jauh jaraknya dari kita yang statik dan tidak berubah itu. Apabila kita tidak sedar tentang perubahan itu maka akan sampailah waktu kita sudah tidak lagi menjadi ikutan jika kita seorang pemimpin. Sedar-sedar kita sudah tidak lagi dihormati oleh orang ramai yang kita pimpin kerana kelekaan kita dan tidak menyedari tentang perubahan di dalam pemikiran rakyat dan persepsi mereka terhadap kita.
Apabila sampai waktu itu maka ita akan menghadapi masalah besar untuk membuat ‘adjustments’ terhadap selera rakyat yang sudah lama melalui perubahan itu. Perhubungan kita dengan orang ramai akan sentiasa dilanda perbalahan minda dan pendapat serta persepsi terhadap sesuatu isu itu kerana kita tidak memperbaiki pemikiran kita secara ‘abreast’ dengan pemikiran rakyat yang telah jauh kehadapan.


Rakyat tidak termakan lagi dengan isu ungkit mengungkit yang selalu digunakan oleh pihak kita. mengungkit tentang perbekalan air bersih, bekalan letrik dan berbagai-bagai lagi keperluan asas kehidupan yang di berikan kerajaan bukannya untuk dibalas budi walaupun kerajaan itu sendiri telah berubah menjadi kerajaan yang tidak bertanggungjawab.



Maka mereka bertindak untuk memberikan sokongan kepada pihak lain dan mereka ini tidak wajar dipersalahkan. Rakyat bertambah marah lagi dengan pimpinan rasuah yang menggunakan isu rasuah itu juga kepada pembangkang semata-mata untuk mengelakan isu itu difokuskan kepada mereka yang sediakala rasuah. Perubahan persepsi rakyat ini amat payah untuk dihilangkan.
BN terutamanya UMNO wajib berubah jika tidak mahu diubah oleh rakyat. Perubahan itu melibatkan imej parti secara total. Imej sebagai parti yang dikuasai oleh pemimpin yang tidak boleh dipercayai seperti sekarang kepada imej baru yang bersih dan memberi harapan kepada rakyat untuk menyambung mandat mereka. Jika ini tidak dapat dilakukan maka rakyat mempunyai hak untuk mengharapkan keadaan yang baru yang boleh memberi harapan kepada mereka kepada kerajaan alternatif yang mempunyai hak untuk diberikan mandate itu.
Kita tidak boleh terus-terusan memaksa rakyat untuk tidak berubah kepada parti alternatif jika kita sendiri tidak berubah. Bagi saya keseluruhan ahli dan kepimpinan UMNO wajar melakukan tindakan drastik dalam membina imej dan persepsi baru…pimpinan baru, barisan kepimpinan yang baru, kabinet yang baru serta semuanya baru.
Banyak yang mengatakan saya ini bermimpi di siang hari kerana pemimpin kita yang sedang berkuasa tidak akan berkorban dan berpisah dengan kuasa yang ada di tangan mereka. Jawapan saya kepada pandangan ini mudah. Saya hanya memberikan pandangan. Mahu tidak mahu itu bab lain. Setidak-tidaknya saya boleh membuktikan apa yang saya perkatakan ini akan terbukti kebenarannya. Saya berharap pandangan saya ini tidak ada kebenarannya tetapi saya tidak boleh mengelak dari memberikan pandangan seperti ini.

Di empat buah negeri UMNO telah terbukti tidak mampu menjadi kerajaan lagi lantaran ditolak oleh rakyat dan juga tidak mampu untuk menjadi pembangkang yang baik. Justru itu kita ingin bertanya terutamanya kepada empat buah negeri ini, apa yang UMNO mampu lakukan dengan baik? Jadi kerajaan telah pun ditolak rakyat dan apabila jadi pembangkang pun tidak menunjukan prestasi sebagai pembangkang yang baik.
Sebab itulah banyak pihak yang selalu mengingatkan kita…berubah jika tidak mahu diubah. Berikanlah kepada pemimpin yang mampu memimpin rakyat yang berbilang kaum ini. Jika kita tidak mampu memimpin dengan baik, jadilah penyokong yang baik pula. Aspan Alias
No comments:
Post a Comment