Wednesday, July 31, 2013

Trend Baru Bunuh Guna Senjata Api

Kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang semakin berleluasa sekarang merupakan fenomena baharu dan mungkin melibatkan 'pembunuh upahan', kata bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Tan Sri Zaman Khan.


Beliau berkata kes jenayah kini tidak lagi berunsur rompakan atau samun tetapi bermotifkan isu peribadi, dan modus operandi penjenayah terbabit dirancang dengan rapi.

Malah, beliau juga menyatakan perkara-perkara seperti itu jarang berlaku pada zaman beliau berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), di mana kes tembakan sering kali disabitkan sebagai samun atau rompakan.

"Kepada saya ini merupakan satu fenomena yang baru, masa saya berkhidmat, perkara macam ini, ada juga tetapi bukan macam kekerapan yang berlaku (sekarang), malah semalam sahaja, dua orang ke tiga orang ditembak," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama Tv di sini hari ini.

"Saya percaya perkara ini memang hitman itu, kerana cara-cara mereka menembak pun nak menentukan orang yang mereka tembak itu mati cepat," kata beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Penjara dan sinonim dengan kes jenayah berprofil tinggi.

Antaranya peristiwa enam banduan menahan seorang doktor dan pembantunya di Penjara Pudu pada Oktober 1986; bekas tentera, Prebet Adam Jaafar yang bersenjatakan raifal M16 mengamuk dan menembak mati seorang lelaki di Chow Kit pada Oktober 1987 dan episod pemburuan penjenayah kejam, Bentong Kali atau P.Kalimuthu di Kuala Lumpur pada 1993.

Zaman Khan berkata demikian ketika mengulas mengenai kejadian Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera parah ditembak dari jarak dekat di tempat meletak kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di Kuala Lumpur pada Isnin.

Mengenai seruan supaya undang-undang yang lebih berkesan untuk menangani kes tembak yang semakin berleluasa digubal, Zaman Khan berkata masanya sudah tiba untuk berbuat demikian.

Beliau berkata kerajaan perlu merangka undang-undang untuk membenarkan pihak polis menahan suspek tanpa dibicara seperti Ordinan Darurat 1969 yang dimansuhkan pada 2011 kerana undang-undang seperti itu perlu ada dalam menjamin keselamatan rakyat.

Katanya, ia merupakan langkah yang berkesan dalam menangani jenayah berat, terancang dan berkumpulan.

Malah beliau berkata undang-undang sedemikian bukan untuk menindas masyarakat ataupun menganiayai mereka, tetapi bertujuan dalam mengawal cengkaman penjenayah.

"Itu sebabnya kenapa undang-undang ini perlu diwujudkan bukan untuk buat aniaya kepada masyarakat, tidak.

Kita buat undang-undang ini untuk menentukan masyarakat kita, keselamatan mereka terjamin, kita boleh hidup mewah, sebagaimana biasa, jangan kita diugut di bawah cengkaman, penjenayah-penjenayah ini," katanya.

Mengikut laporan media, PDRM mengesan 67 kes jenayah kekerasan yang dilakukan bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Angka itu menunjukkan peningkatan 100 peratus berbanding 33 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Menurut PDRM, jenayah kekerasan yang dilakukan bekas tahanan EO meningkat selepas 2,473 tahanan EO dibebaskan pada Julai tahun lepas.

Pembunuhan Hussain Ahmad berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Selain Sanjeevan, seorang lagi mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April. - Bernama

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular