Friday, August 2, 2013

Apakah amaran tersirat di sebalik kos penalti petisyen pilihanraya yang melampau?

PRU13 mencatat sejarah petisyen paling banyak iaitu 60, 39 daripada Pakatan Rakyat dan 21 daripada BN. Ia mencerminkan negara mempunyai satu ruang perundangan yang tebuka dan bebas untuk semua pihak mencari keadilan.

Suruhanjaya Pilihan Raya sering kali mengeluarkan kenyataan agar sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya, boleh membuat petition di mahkamah. Bermakna jalan keluar bagi SPR ialah serah kepada mahkamah, bukan badan tersebut dipertanggungjawab di atas apa jua kelemahan perjalanan pilihanraya.

Kos untuk pempetisyen membuat petisyen tidak murah. Apa yang mendukacitakan sehingga kini ialah ruang yang ada tersebut ditutup dengan zalim apabila kesemua petition tersebut ditolak di peringkat awal sebutan kes oleh mahkamah dengan alasan teknikal sahaja, dan pempetisyen pula dikenakan untuk membayar penalti kos kepada SPR dan yang kena petisyen dengan jumlah yang sangat besar sehingga RM150,000 yang berlaku di petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri Kuala Brang, Terengganu pagi ini.

Semalam, peguam PAS Mohd Hanipa Maidin ada menyebut di kes petisyen di Selangor, peguam Umno sengaja meminta hukuman dikenakan lebih tinggi pada pempetisyen, sebolehnya melebihi RM30,000, kerana angka itu boleh membangkrapkan pempetisyen.

Mahkamah sepatutnya menjadi tempat rakyat mengadu mendapatkan keadilan. Ia adalah jalan terakhir bagi rakyat kerana ia menelan belanja yang tinggi. Kos penalti yang diperintah bayar untuk petisyen pilihanraya yang sangat tidak munasabah ini bukanlah satu usaha positif bagi rakyat menjadikan mahkamah sebagai tempat mengadu permasalahan mereka.

Sekurang-kurangnya mahkamah harus memulakan pembicaraan untuk mendengar hujah pempetisyen daripada terus menidakkan hak pempetisyen untuk mengadu atas sebab teknikaliti.

Alasan teknikal seperti petisyen hendaklah dibuat sendiri oleh calon, bukan melalui peguam dan pelbagai isu teknikal lain. Jelas, mahkamah tidak membantu rakyat bagi memudahkan prosedur petisyen. Rakyat menfail petisyen kerana kepincangan sistem pilihanraya yang dialaminya bukan suka-suka. Sepatutnya mahkamah memberi keutamaan kepada isi petisyen daripada segalanya.

Kita boleh bayangkan dengan hanya permulaan membuka perbicaraan beberapa minit, hakim terus menolak dan meminta pempetisyen membayar puluhan ribu.

Apakah garis panduan bagi hakim menetapkan kos yang terpaksa dibayar yang dilihat tidak konsisten? Apakah tiada 'tanda harga' bagi mengawal agar pempetisyen boleh mempersiapkan jumlah wang bagi bersedia ke arah itu ketika membuat petisyen? Apakah ini menandakan pilihanraya ini sekarang hanyalah medan untuk orang kaya-kaya?

Ataupun apakah penalti yang tinggi ialah amaran tersirat agar setiap kali pilihanraya jangan ada pihak yang berani membuat petisyen walaupun tidak berpuashati atau ini satu trend baru dalam kehakiman?

Mahkamah pilihanraya yang menjadi tempat akhir saluran sah rakyat mengadu kini bertukar menjadi jalan buntu. Dengan keputusan mahkamah pilihanraya yang mengenakan penalti melampau pada para pempetisyen, PAS khuatir rakyat terpaksa memilih jalanraya kerana nampaknya inilah medan terbuka yang jelas lebih murah bagi menyatakan bantahan terhadap kepincangan pilihanraya.

Apapun, PAS akan terus berjuang bersama PR dan rakyat seluruhnya bagi menuntut satu sistem pilihanraya yang lebih adil dalam sistem demokrasi di negara ini. Sudahlah rakyat hilang kepercayaan kepada SPR dan jangan lupa sehingga mahkamah pilihanraya pun kurang diyakini rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
1 Ogos 2013

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular