Tuesday, May 28, 2013

Wajib menentang penyelewengan dan penipuan UMNO!


Kalah menang adalah tarbiah
Adat perlawanan ada kalah, ada yang menang. Sama seperti pilihanraya, ada parti menang, ada yang kalah. Cuma Islam marah kalau menang secara tipu. 

Berdosa juga kalau kita redha kita ditipu. Sebab itu penipuan dan tidak telus merupakan suatu yang munkar, wajib ditegah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Siapa yang melihat kemunkaran wajib mencegah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu maka cegah dengan lidah, jika tidak mampu dengan hati. Ini adalah selemah-lemah Iman".

Protes mesti dibuat sebagai menunjukkan kita tidak rela dengan penipuan dan penyelewengan. Islam tidak benarkan negara ditadbir oleh mereka yang menang secara menipu.

PAS sudah menyertai pilihanraya sejak diperkenalkan di negara ini pada tahun 1955. Kerana ini adalah wasilah PAS untuk mendapatkan kuasa, supaya Islam dapat dijadikan cara hidup yang lengkap. Tanpa kuasa PAS hanya boleh menyeru tetapi tidak ada kuasa untuk melaksanakan idealisma perjuangan parti.

Oleh itu menjadi calon di dalam PAS adalah amanah, bukan kemuliaan. Apabila menjadi calon, ia bukan bertanding atas tiket peribadi tetapi atas nama jamaah. Ia menjadi duta PAS. Tingkah laku dan tutur kata diperhati oleh orang ramai kerana ia mewakili parti yang menjadikan Islam sebagai dasar.

Oleh itu menjadi calon bukan pilihan individu. Melobi meminta menjadi calon merupakan pantang larang di dalam PAS. Orang yang hendak sangat menjadi calon, inilah senarai pertama yang akan ditendang daripada senarai.

Restu daripada majoriti ahli dan organ parti merupakan perkara asas untuk menjadi calon. Kerana kita bertanding atas lambang parti. Menang kalah kita bersama dengan parti. Jangan sama sekali kita takbur kepada jentera parti. Kononnya menang kerana popular peribadi kita, bukan faktor jentera. Jika mempunyai sifat ini, ia akan mendatangkan musibah kepada jamaah.

Bukan senang untuk menjadi calon PAS. Ia memerlukan kekuatan fizikal, spritual dan mental. Terutama untuk menghadapi serangan musuh dan media yang sarat dengan fitnah. Terpaksa menghadapi memokan masyarakat, ahli keluarga yang tidak sealiran.

Tidak perlu kecewa jika kalah di dalam pertandingan. Jangan angkuh dan sombong jika diberi kemenangan. Bertasbih dan bersyukur memuji Allah serta dengan sujud syukur sebagai tanda kebesaran Allah yang memberi kemenangan. Ingat kemenangan adalah amanah yang perlu dipikul. Amanah boleh mendekatkan ke syurga atau ke neraka. Kita perlu mengambil posisi mana yang sesuai untuk meletakkan diri kita agar kita adalah orang yang bersama dengan para Anbiya' di akhirat. Jika berlaku sebaliknya maka kita akan bersama dengan Firaun, Haman, Qarun. Nauzubillah. 

Sebenarnya ujian bagi yang menang lebih sukar daripada yang kalah. Mempertahankan kemenangan lebih sukar daripada mencapai kemenangan. Masyarakat akan fokus kepada kita, kerana kita mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Mereka akan menilai apakah orang PAS bercakap serupa dengan bikin. Ada atau tidak kelainan (tamayyuz) dengan pihak musuh. Segala tingkah laku, perkataan, pakaian, ahli keluarga, cara hidup semuanya dinilai oleh kawan dan lawan.

Oleh itu bagi mereka yang menang pertingkatkan tarbiah ruhiah dan perkasakan tarbiah fardiah. Ini adalah benteng kekuatan untuk menghadapi cabaran sewaktu memikul amanah jamaah. Ujian menang begitu sukar jika kita tidak mempunyai ketahanan dalaman. Berbagai penyakit mazmumah begitu mudah menetas di dalam jiwa mereka yang menang. Penyakit riya', suma'ah, takbur, bakhil, ujub cukup subur jika kita tidak awasi.

Ujian bagi mereka yang kalah, bahawa penilaian Allah ialah bukan menang atau kalah. Tetapi nawaitu kita dengan perjuangan. Kemenangan di dalam perjuangan Islam ialah apabila kita telah berjaya meletakkan diri kita berintima' (bersama) jamaah. Kita sudah merintis jalan untuk orang yang terkemudian daripada kita untuk memperolehi kemenangan. Mungkin kita tidak sempat mencapai kemenangan. Ia akan menjadi amal jariah sewaktu kita bertemu dengan Allah. Jangan ada rasa kecewa atau putus asa di dalam perjuangan. Maksud Firman Allah: "Jangan kamu putus daripada Rahmat Allah".

Pesanan al-Marhum Sayyid Qutb kepada adiknya Hamidah dan Aminah Qutub ketika saat beliau hendak ke tali gantung. "Kamu akan merasa sempit dada jika kamu merasakan kamu yang memulakan dan kamu yang mengakhiri perjuangan. Kamu akan merasa lapang dada jika kamu merasakan bukan kamu yang memulakan perjuangan dan mengakhiri perjuangan."

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular