Kejayaan tidak semesti membawa apa yang kita hajati seratus peratus. Kejayaan UMNO menjadi pemerintah selama lebih lima dekad dahulu akhirnya menjadikan UMNO itu gagal menjadi pengurus kepada kejayaannya.
Sebenarnya itulah kegagalan UMNO yang paling besar. Kejayaan besar yang begitu lama dialami oleh UMNO itu telah membawa masalah besar, bukan sahaja kepada rakyat ramai tetapi juga kepada parti itu sendiri.
Kalau dinilai betul-betul kemenangan UMNO dan BN selama ini bukannya terhasil dari kerja baik mereka tetapi disebabkan oleh kuasa ‘incumbency’ yang ada kepada mereka. UMNO telah gagal untuk menjadi parti yang diurus dengan baik kerana kepada pimpinannya ia tidak perlu berbuat baik kerana rakyat akan mengikut sahaja kepada siapa yang menang.
Tetapi sejak sepuluh tahun lalu nampaknya keadaan begini sudah berubah kerana rakyat semakin hari semakin bertambah sedar dengan apa yang berlaku disekeliling mereka dan ditambah pula dengan gerakan oleh pihak pembangkang yang begitu kuat. Pembangkang telah menggunakan isu rasuah dan isu besar yang lain yang sudah dirasakan oleh rakyat untuk menjatuhkan kekuasaan UMNO itu.
Keadaan ini ditambah pula dengan gerakan oleh Anwar Ibrahim yang menggunakan keresahan ramai rakyat ini untuk menentang kerajaan melalui demokrasi iaitu melalui pilihanraya. Maka Anwar menjadi ikutan pihak yang muda-muda untuk menekan kerajaan dalam pilihanraya 13 yang lalu walaupun jika disingkap dengan serius Anwar juga mempunyai masalah untuk menjadi pimpinan alternatif kepada pimpinan BN itu.
Jika UMNO betul-betul berjaya menguruskan kejayaan mereka secara baik, tidak mungkin Anwar dan kumpulannya itu dapat sokongan dari ramai. Semasa inilah kaum Cina juga ‘swims with the flow’ dan terus menyatukan kaumnya untuk bersama-sama menentang segala hasil kegagalan UMNO untuk menguruskan kejayaan mereka.
Kaum Cina dan penduduk bandar dan sekitarnya telah bergerak untuk memberikan tentangan terhadap kegagalan UMNO dan sekutunya dalam kerajaan menjaga rakyat dan negara. bagi menghidupkan semangat penentangan itu maka pihak pembangkang telah mengambil kesempatan dengan isu rasis yang selalu dimainkan oleh BN dan UMNO. UMNO dianggap oleh semua yang menentang sebagai pihak yang rasis dan isu rasis ini sangat berkesan dimainkan oleh pihak Pakatan Rakyat.
Sekarang semua penyokong Pakatan Rakyat memainkan isu yang UMNO dan BN itu rasis sehinggakan yang bercakap tentang isu rasis itu pun tidak memahami apa sebenarnya yang berlaku. Dr Mahathir telah memainkan isu perkauman dengan begitu lantang dan disokong pula oleh NGO seperti Perkasa. Berbagai-bagai cara telah dimainkan isu perkauman itu.
Maka terhasil lah situasi yang begitu kuat menentang terhadap BN kerana isu rasis ini. Baik dari PKR atau DAP, isu ini dimainkan dengan begitu kuat dan ramai rakyat dibandar menentang isu perkauman yang diperbesarkan oleh UMNO dan sekutunya itu. PR mendapat keuntungan di sini.
Tetapi didalam penentangan rakyat terhadap isu rasis yang dimainkan oleh BN itu, maka mereka terlupa untuk memerhatikan kelemahan dan keadaan sebenarnya yang berlaku di dalam gabungan Pakatan Rakyat itu sendiri. Penentangan yang terlalu ‘obsessive’ itu telah menyebabkan pihak yang menentang isu perkauman ini terlupa yang dipihak Pakatan Rakyat ini sendiri ada isu yang sama.
Ada parti dalam PR yang hanya mempunyai dua orang perwakilan melayu didalamnya walaupun parti itu mempunyai 93 orang yang memenangi kerusi Parlimen dan DUN-DUN di seluruh negara. Ini adalah di sebabkan terlalu kuat tumpuan terhadap isu perkauman yang dimainkan oleh UMNO sehinggakan isu yang sama juga wujud dengan begitu ketara. Maka apa yang dikatakan sebagai perjuangan ‘multiracial’ itu akhirnya terbukti hanyalah isu politik semata-mata dan bukannya isu perjuangan lagi.
Begitu banyak kiriman email yang saya terima dari rakan-rakan berbilang kaum yang mempersoalkan isu ini tetapi saya memilih untuk tidak menjawabnya kerana saya sesungguhnya tidak tahu jawapannya. Saya hanya memberitahu dalam beberapa jawapan yang saya berikan supaya kita menumpukan terhadap isu petisyen terhadap keputusan pilihanraya dahulu. Isu itu biarkan dahulu.
Saya mengatakan kita hendak lihat yang Mahkamah benar-benar berfungsi sebagai pengadil yang jujur dan jika kedapatan penipuan yang dituduh itu wujud kita wajar melakukan sesuatu untuk memperbetulkannya. Setakat itu sahaja yang dapat saya menjawabnya.
Pendeknya, kita masih terbelenggu dengan isu perkauman yang menebal dan isu ini entah bila akan dapat diselesaikan oleh kita semua. Isu ini relevan kepada kedua-dua belah pihak dan tidak ada pihak yang berkelayakan untuk mengeluarkan isu perkauman itu menjadi isu politik masing-masing.
Mungkin itu lah sebabnya keputusan pilihanraya baru-baru ini telah memberikan kemenangan kepada kedua-dua belah pihak. BN berjaya mendapat kemenangan jumlah kerusi dan pihak Pakatan Rakyat pula telah mendapat kemenangan dari undi popular sahaja.
Keadaan ini adalah jawapan kepada situasi dalam mana kedua-dua belah pihak belum lagi berkelayakan untuk mendapat kemenangan mutlak dari rakyat. Keadaan ini akan menambahkan keyakinan kita bahawa dalam perjuangan (jika ada) ketentuan bukannya boleh dibuat oleh kita sendiri, tetapi ketentuan itu datangnya dari ‘nature’ yang penuh dengan keadilan dan hikmah dalam segala-gala yang diputuskannya.
Hanya kita sahaja yang selalu mengaku kuat dan boleh menentukan segala-galanya tanpa ‘campur tangan nature’ itu. Kita selalunya lupa daratan apabila berhadapan dengan penyokong yang puluhan ribu yang berada dihadapan kita sehinggakan kita merasa angkuh dan terlupa kepada diri kita sendiri.
Apabila kita disentak dengan kejutan kegagalan, maka disalahkan semua yang lain kerana kegagalan kita itu. Tetapi kita juga faham bagaimana perasaan yang gagal ke Putrajaya itu sedangkan sehari dua sebelum itu mereka sudah terasa seperti sudah berada di Putrajaya. Kita telah mendengar banyak amaran yang diberikan terhadap banyak pihak yang mereka akan diambil tindakan dan berbagai-bagai ancaman lagi.
Selalu kita terlupa seolah-olah kekuatan yang ada kepada kita itu adalah kekuatan kita sendiri. Kita merasakan seolah-olah tiada apa yang lebih kuat dari kita. Terlupa yang kuasa Tuhan itu Maha Perkasa dan penentu kepada segala-galanya.
Elok masing-masing melakukan introspeksi terhadap diri kita sendiri secara intensif. Insyallah, akan mendapat jawapannya. - Aspan Alias
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment