ALOR SETAR - Seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditahan polis semalam kerana menulis kenyataan berunsur lucah dan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman sosial Facebook.
Ia kejadian kedua membabitkan penuntut IPT dalam tempoh seminggu ini.
Laporan Bernama menyebut, penuntut wanita berusia 20 tahun dari sebuah IPTS di Kuala Muda itu ditahan pada pukul 9 pagi selepas polis menerima laporan mengenai kenyataan yang dipercayai ditulis wanita tersebut pada akaun Facebook miliknya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira 10 malam semalam mengenai perkara itu, dan menahan penuntut terbabit selepas mengenal pasti pemilik akaun Facebook tersebut.
"Kita telah ke universitinya dan melalui pihak universiti, kita telah memanggil pelajar itu untuk diambil kenyataan berhubung berkara itu," katanya kepada pemberita malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah komputer riba milik pelajar tahun dua IPTS tersebut untuk siasatan.
"Kita juga turut memanggil ibu bapa pelajar itu bagi membantu siasatan," kata Ahmad.
Katanya, memandangkan pelajar itu masih lagi dalam minggu peperiksaan, pihaknya telah membebaskan pelajar tersebut petang tadi selepas diambil keterangan bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan.
"Kita akan memanggil beberapa individu lain untuk memberi keterangan berhubung perkara ini. Kita juga akan memanggil pelajar tersebut pada bila-bila masa jika perlu," katanya.
Beliau berkata, pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan terhadap pelajar itu dan akan menyiasat dengan terperinci perkara tersebut.
"Kita telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.
WARTAWAN SINAR HARIAN
January 20, 2012
3 orang anak muda yang benci najib telah ditangkap, namun dia lupa ada lebih 2 juta lagi anak muda diluar yang membencinya dan rosmah, di akhbar dan media najib terus memanipulasi fakta dan kajian agar persepsi terhadap beliau baik, namun ia sangat jauh dari realiti, jika terus ditangkap najib akan berhadapan dengan realiti yang lebih hebat lagi yang cuba ditutupinya dengan pujian pengampunya, najib perlu berani berhadapan dengan realiti agar dia tidak tumbang mengejut di kemudian hari - IAR
No comments:
Post a Comment