Friday, January 20, 2012

Adakah sekat royalti prinsip wasatiyyah Umno?

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Umno diseru agar tidak mencemarkan kefahaman kesederhanaan di dalam Islam dengan perlaksanaan yang songsang.

Konsep kesederhanaan di dalam Islam adalah satu prinsip yang mulia dan ianya tidak boleh dieksploitasikan mengikut kehendak pemerintah.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din sebagai mengulas perkembangan terkini yang seolah-olah Umno BN memperjuangkan dan menjuarai prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) dalam Islam.

Menurut beliau, Umno jangan hanya pandai bercakap tetapi perlaksanaannya jauh berbeza daripada apa yang diungkapkan oleh mereka bahkan bertentangan sama sekali.

“Kita ingin bertanya kepada Umno yang memerintah negara ini, adakah menyekat royalti Kelantan juga termasuk dalam ajaran kesederhanaan Umno?” soalnya.

Beliau juga mempersoalkan adakah menarik semula royalti kerajaan negeri Terengganu sewaktu ianya diperintah oleh PAS juga satu ajaran kesederhanaan dalam Umno sedangkan kedua-dua negeri itu ditadbir dua orang Tok Guru yang amat disegani.

Katanya, adakah mengenakan kekangan kebebasan juga adalah ajaran wasatiyyah Umno dan adakah tidak mendengar dan tidak bertindak terhadap rungutan rakyat berkenaan ketelusan pentadbiran juga termasuk dalam ajaran kesederhanaan Umno.

“Kalau inilah yang maksudkan dengan ajaran kesederhanaan dalam Umno, kita bimbang persepsi masyarakat bukan Islam terhadap Islam akan tercemar dan orang Islam sendiri akan keliru,” tegas beliau.

Beliau yakin dan percaya bahawa seluruh rakyat Malaysia telah sedar bahawa itu adalah tipu daya Umno untuk meraih sokongan rakyat Malaysia ketika parti itu sedang bertarung dengan ‘nyawanya’ sekarang menjelang pilihanraya PRU yang akan datang.

“Kita berharap Umno tidak termasuk di dalam ungkapan kalimatul haq turodu biha al-batil” yang bermaksud kata-kata yang benar tetapi disebaliknya terselindung kebatilan dan kejahatan," ulas beliau lagi. - Harakah

Wasataniyah: Najib diminta 'jangan cakap tidak serupa bikin'

KUALA LUMPUR, 20 Jan: PAS meminta Datuk Seri Najib Razak agar jangan mencemarkan Islam dengan slogan sehingga merosakkan imej Islam di pandangan masyarakat bukan Islam di negara ini.
(Gambar Najib dan isteri...jangan cakap tidak serupa bikin)

"Kita mengharapkan Datuk Seri Najib biarlah bercakap serupa dengan bikin," kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau mengulas dasar wasataniyah yang diperkenalkan Najib.

Bagi beliau, aa adalah lanjutan dasar pragmatis Umno untuk meraih sokongan di kalangan orang Melayu terutama musim pilihanraya.

"Zaman Tunku Abdul Rahman memperkenalkan musabaqah al-Quran, zaman Tun Hussein Onn memperkenalkan Bulan Dakwah.

"Tun Dr Mahathir Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Tun Abdullah Badwi Islam Hadhari.

"Kita rasa sangsi dengan Islam Wasatiah yang diperkenalkan oleh Najib.

"Apakah beliau memperkenalkan Islam Wasatiah kerana gerun melihat kebangkitan rakyat Arab yang menggulingkan pemerintah di negeri mereka dengan andaian ini ada tindakan ekstrim.

"Kalau itu maksudnya maka ini adalah satu kesilapan untuk memahami pengertian wasatiah," katanya.

Menurut Idris, memang Islam ajarannya wasatiah, iaitu tidak melampau dan tidak kurang.

Contoh wasatiah di dalam ibadah puasa, ia mesti buka, tidak boleh terus menerus berpuasa.

Begitu juga dengan memakai pakaian yang menutup aurat ini adalah wasatiah, jika mendedahkan aurat maka ini bukan Islam wasatiah. - Harakahdaily

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular