Sunday, January 15, 2012

Hasan Ali 'jaga mulut' !!! 'Nasha sudah akil baligh, ikut dialah'

Nik Aziz nasihat Hasan Ali 'jaga mulut'
Jan 15, 2012 Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat sebagai anggota parti baru-baru ini supaya "jaga mulut" daripada terus mengkritik dasar-dasar parti Islam itu.

Mursyidul am PAS berkata, tindakan Dr Hasan yang menyebabkannya dipecat genap seminggu lalu menggambarkan kenyataan yang "tidak cerdik", lebih-lebih lagi apabila bercakap secara terbuka kepada media milik Umno.

"Nasihat saya (pada Dr Hasan), jaga mulut. Jaga mulut. (Sepatutnya) kalau ada masalah apa tak betul dengan parti, kita sebut dalam mesyuarat. Ini cakap dalam surat khabar,

"Lebih-lebih lagi surat khabar Umno pula. Lepas itu dibesar-besarkan. Tak cerdik kita bila kita cakap bom bang bom bang kepada orang ramai. Nak kata bodoh tak boleh. Tak cerdiklah," katanya.

Dr Hasan yang merupakan penceramah motivasi terkenal dipecat serta merta daripada PAS pada 8 Januari lalu kerana tindakannya yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti, seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS.

Beberapa jam selepas pemecatannya diumumkan, Dr Hasan dalam perhimpunan di rumahnya dilaporkan menyifatkan pemecatannya hanya kerana mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak mahu rakyat terjebak dalam permainan politik ketua pembangkang.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di kediaman rasminya di Kota Bharu Khamis lalu, mengenai nasib Dr Hasan, Nik Aziz berkata terpulanglah kepadanya sama ada untuk merayu atau tidak atas keputusan jawatankuasa pusat PAS itu.

"Ikut dialah. Kita beri peluang pada dia merayu. Bila merayu kita tengok keas macam mana keadaannya," katanya tanpa mahu mengulas panjang isu itu.

'Nasha sudah akil baligh, ikut dialah'

Nik Aziz juga mengulangi bahawa pemecatan itu sebagai perkara biasa dan mengumpamakannya sebagai penceraian dalam rumah tangga melibatkan suami dan isteri.

"Saya sebut dah, anak ramai, perempuan kaya suami dapat (gelaran) datuk, harta banyak, juga bercerai.

"Kerana apa? Ada sebab-sebab tertentu," katanya sambil mengingatkan tentang pemecatan presiden PAS keempat Tan Sri Mohd Asri bin Haji Muda daripada parti itu.

"Maknanya tak ada parti yang tak pecat ahlinya bila ada masalah. Di Kelantan ini, dua tiga orang Umno pun dipecat. "

Sementara itu, ditanya tentang pendirian bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Dr Hasan, Nik Aziz hanya berkata "itu dia punya pasal".

"Saya ini bila ada kes di depan, dalam mesyuarat itu saya buat keputusan. Tetapi saya nak komen luar (mesyuarat) begini saya tak boleh.

"Ikut dia, sudah akil baligh. Orang itu dah akil baligh reti apa yang bercanggah dengan peraturan, apa yang tidak," katanya.

Nasharudin antara pemimpin PAS yang hadir menyatakan sokongan pada perhimpunan di rumah Dr Hasan di Petaling Jaya pada malam beliau dipecat.

Beliau malah dilapor berucap mempertahankan Dr Hasan yang dikatakan menghadapi tugas yang bukan mudah dan diasak daripada pelbagai sudut ketika menegakkan agama.

Hasan bayangkan tak merayu

Dalam perkembangan berkaiatan, Dr Hasan dilapor membayangkan beliau tidak akan mengemukakan rayuan berhubung pemecatannya biarpun ada ruang sehingga 7 Februari depan.

Dr Hasan berkata, beliau tidak kesal dengan pendirian itu selepas merasakan perjuangan dalam PAS dikhianati oleh sekumpulan ‘parasit’ yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain, lapor Sinar Harian.

“Saya tak boleh, jiwa saya tak boleh. Saya tidak nampak kenapa harus kekal dalam parti,” beliau dipetik sebagai berkata dalam Program Bicara Memurnikan Akidah Ummah, anjuran Sekretariat Selamatkan Akidah (HIMPUN) di Kuala Lumpur.

Nik Aziz diwawancara oleh Jimadie Shah Othman dan Nigel Aw.

Presiden PAS putuskan pengganti Hasan hari ini - Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 15 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan membuat keputusan hari ini calon bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, nama itu akan beliau sampaikan kepada Menteri Besar Selangor esok.

"Kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat Exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari PAS," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Semalam, Dewan Harian PAS Pusat bermesyuarat di Alor Setar. Antara topik yang dibincangkan adalah pengganti Hasan Ali.

Hasan dipecat daripada menjadi ahli PAS pada 8 Januari lepas oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau bagaimanapun berpeluang membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Majlis Syura Ulamak dalam tempoh 30 hari selepas dipecat.

Bagaimana pun, malam tadi Hasan membuat keputusan tidak akan merayu. Ia diumumkan beliau dalam satu majlis di Gombak.

Media hari ini menyiarkan keputusan Hasan itu.

Sebelum ini, beberapa pimpinan utama PAS meminta Hasan merayu termasuk Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Pada 13 Januari lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan perlantikan exco kerajaan negeri yang baru bagi mengantikan Hasan akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan, Shah Alam.

Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS.

"Pagi tadi saya telah mengadap Tuanku Sultan untuk memberi taklimat mengenai status Dr Hasan sebagai exco.

"Dalam pertemuan itu saya telah mempersembahkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya telah menerima surat rasmi dari PAS yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada 8 Januari yang lalu telah membuat keputusan memecat Dr Hasan dari menjadi ahli PAS berkuatkuasa serta merta," jelasnya.

Memandangkan Hasan bukan lagi ahli PAS, maka beliau tidak lagi boleh menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Khalid telah menasihati Tuanku Sultan untuk membatalkan perlantikan Hasan.

"Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan perlantikan Dr Hasan sebagai ahli MMKN.

"Pada masa yang sama, Tuanku Sultan telah menurunkan kuasanya pada saya untuk melantik ahli baru MMKN, dalam pada itu baginda juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," katanya.

Hasan Ali tak akan rayu pemecatan dari PAS

Jan 15, 2012 Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Mohamed Ali tidak akan mengemukakan rayuan berhubung pemecatannya biarpun ada di kalangan penyokongnya meminta beliau untuk berbuat demikian.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Memurnikan Akidah Ummah, anjuran Sekretariat Selamatkan Akidah (HIMPUN) di Taman Bolton, Kuala Lumpur dan disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini.

Hasan dipetik berkata, beliau tidak kesal dengan pendirian tersebut selepas merasakan perjuangan di dalam PAS dikhianati khususnya oleh sekumpulan ‘parasit’ yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain.

“Saya tak boleh, jiwa saya tak boleh. Saya tidak nampak kenapa harus kekal dalam parti,” katanya.

Pada sesi dialog itu, Hasan dilaporkan meluahkan kekecewaan apabila perjuangannya mempertahankan akidah umat Islam di Selangor ditentang.

“Saya tidak boleh melakukannya ketika dalam parti, kerana rakan dalam parti dan kumpulan ‘parasit’ ini tidak suka isu arak dan murtad di Selangor diperjuangkan kerana hendak meraikan rakan lain yang bersekongkol dalam parti.

“Saya sanggup digugur dalam exco dan meninggalkan segala keistimewaan. Walaupun saya cukup selesa dengan kedudukan sebagai exco, saya tinggalkan demi menyelamatkan diri, anak-anak, keluarga dan umat Islam,” katanya lagi dipetik Sinar Harian. - MKini

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular