19 JANUARI: Akibat trauma dengan keputusan mahkamah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari dakwaan liwat, media-media milik UMNO dengan pantas dan terus-menerus menyerang Pakatan Rakyat.
Daripada isu pemecatan Datuk Dr Hasan Ali yang mana lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, cuba menobatkannya sebagai pejuang Islam tulen dan menggambarkan kononnya PAS sudah lari perjuangan asalnya, hinggalah kepada isu perubahan portfolio agama Islam yang ditinggalkan oleh Hasan di Selangor.
Kini portfolio itu telah diambil alih oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. Portfolio baru Belia dan Sukan diberikan kepada Exco yang baru, iaitu Dr. Ahmad Yunus Hairi dari PAS yang menggantikan Hasan.
Perubahan ini dianggap oleh Utusan dan konco-konco UMNO sebagai memalukan PAS. Mereka mempropagandakan bahawa portfolio Islam adalah milik PAS seperti Melayu milik UMNO sejak azali.
Pakej propaganda
Tidak menghairankan bagaimana idea untuk menggambarkan Hasan Ali sebagai pejuang Melayu Islam yang tulen – setulen UMNO agaknya – dan menggambarkan seolah-olah dalam Pakatan Rakyat, hanya PAS sahaja yang mampu membela Islam.
Pakejnya mudah iaitu, UMNO mahu dilihat sebagai pejuang Melayu dan Islam sebagai hak istimewa PAS. Pakej Islam dan Melayu ini adalah agenda perpaduan yang diimpikan oleh UMNO dan beberapa kerat pemimpin PAS termasuk Hasan Ali.
Matlamat ini hanya untuk memecahkan kesatuan Pakatan Rakyat. Itu sahaja niat suci mereka untuk terus berkuasa dan mencuri harta negara. Tiada kaitan dengan Melayu atau Islam.
Mentaliti mengatakan bahawa Melayu hanya mampu dibela oleh UMNO adalah manifestasi kewujudan UMNO itu sendiri. Tafsiran pemimpin UMNO hari ini ialah UMNO adalah parti satu kaum, oleh satu kaum dan untuk satu kaum sahaja.
Ia berbeza dengan semangat kelahiran UMNO pada 1946 yang mahu membela Melayu kerana situasi hari ini lebih menunjukkan bahawa parti itu hanya mahu memastikan para pemimpin elit, keluarga dan kroni mereka sahaja mendapat pembelaan, dan bukannya umat Melayu keseluruhannya.
Kita dapat lihat bahawa dalam Barisan Nasional, UMNO menjadi dominan bukan hanya dengan nombor atau jumlah kerusi tetapi UMNO membolot semua hak-hak parti dan kaum lain termasuk wang dan khazanahnya. MIC, MCA, Gerakan dan yang lain hanya menjadi kuda tunggangan UMNO.
Adakah ini bermakna UMNO hebat kerana berjaya menundukkan parti-parti lain? Dari satu sudut, jawapannya ialah ya. Dari sudut yang lain pula, walau pun parti-parti komponen BN hanya menjadi kuda tunggangan UMNO, para kapitalis kaum-kaum lain mengaut keuntungan hasil persahabatan para pemimpin elit UMNO.
Yang terpinggir adalah rakyat, termasuk orang Melayu dan kaum-kaum lain sendiri akibat permainan politik UMNO-BN.
Untuk mengabui mata rakyat, isu emosi kaum dan agama terus dimainkan. Oleh kerana UMNO mempunyai mimpi ngeri dengan Anwar Ibrahim, maka PAS cuba dipujuk, diserang dan dikelirukan semata-mata kerana tidak mahu melihatnya berkawan dengan PKR dan DAP.
Maklumlah UMNO tidak akan berjaya memujuk dan berkawan dengan PKR kerana ramai pemimpin dan ahli parti itu adalah bekas UMNO yang benci dengannya. DAP pula tidak boleh dijadikan kawan kerana ketulusan dan kelurusan (skema) kepimpinannya menyukarkan UMNO yang penuh intrik dan korupsi berkawan dengan DAP.
Monopoli kuasa
Kini propaganda untuk memilikkan agama Islam itu kepada PAS begitu hebat diheboh-hebohkan. Inilah peluru terakhir yang masih tinggal untuk UMNO bermain politik dengan PAS dan memecahkan-belahkan Pakatan Rakyat.
Kita tidak perlu merasa pelik bagaimana UMNO kini cuba menginstitusikan agama Islam sebagaimana mereka telah menginstitusikan kaum Melayu hingga fikrah kaum beku dan jumud di bawah ketiak UMNO.
Melalui penerusan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sudah melanggar matlamat asalnya, UMNO berjaya menginstitusikan Melayu dengan melahirkan kaum yang tidak boleh berdikari dan bersaing di pentas terbuka.
Siapa yang mengajar mentaliti subsidi? Siapa yang mengajar pencapaian berdasarkan kuota, bukan merit? Siapa yang menakut-nakutkan Melayu dengan kaum-kaum dan agama-agama lain?
Inilah contoh bagaimana Melayu dan agama diinstitusikan oleh UMNO agar orang Melayu terus bergantung dengan UMNO. Di sinilah UMNO mendapat punca kuasa.
Hakikatnya, agama adalah milik penganutnya. Setiap Muslim bertanggungjawab untuk menjaga, menyucikan dan membaja kesuburan agama mereka agar tidak dijadikan berhala atau dimanipulasikan untuk kepentingan peribadi.
Manusia menyembah tuhan, bukan menyembah agama. Jika agama diinstitusikan seperti mana amalan UMNO itu, maka niat murni agama akan rosak binasa.
Pakatan Rakyat mendepani zaman
Menteri Besar Selangor adalah seorang Melayu yang beragama Islam. Khalid berhak untuk memegang portfolio itu berdasarkan keislamannya. Apa lagi yang diperlukan untuk menjaga hal-ehwal Islam selain dari keislamannya sendiri?
UMNO cukup suka jika PAS hanya tahu jaga hal-ehwal Islam kerana menganggap para pemimpin dan ahli PAS tidak cerdik dan tidak tahu apa-apa tentang ekonomi, pelaburan, teknologi, sains, perundangan, hak asasi, demokrasi dan sebagainya.
Semata-mata kerana UMNO pernah berjaya memanipulasi PAS sewaktu penubuhan BN pada awal 1970-an dahulu, para pemimpin mereka yakin PAS boleh ditipu sekali lagi. Kerana pemimpin UMNO tahu, tanpa PAS, Pakatan Rakyat akan tersungkur.
Memang niat para pemimpin UMNO itu satu penghinaan kepada PAS yang kini bukan sahaja para ulamaknya terdedah kepada teknologi dan amalan politik moden tetapi juga ia dianggotai oleh ramai professional, termasuk doktor, jurutera, peguam, arkitek dan akauntan.
Malah, ahli-ahli PAS di kampung-kampung juga, khususnya golongan muda, adalah dari kalangan yang berpendidikan serta sedar tentang penggunaan teknologi maklumat dan hal-ehwal semasa.
Sudah sampai masanya PAS menolak pujuk rayu UMNO dan bersedia bersama DAP dan PKR untuk memerintah negara.
Bersama Pakatan, PAS tidak akan dihina dengan sekadar portfolio agama dalam erti kata yang sempit tetapi sama-sama menggembleng tenaga menangani isu-isu ekonomi, pendidikan, belia, sains dan teknologi, demokrasi dan hak asasi.
Bersama Pakatan, PAS tidak akan menjadi pak lebai tukang angguk kepada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme. Sebaliknya PAS berperanan besar secara bersama dengan PKR dan DAP untuk menggubal serta melaksanakan dasar-dasar tentang alam sekitar, perladangan, kesihatan, pengajian tinggi, undang-undang, hal-ehwal pekerja dan dasar luar negara.
Bersama Pakatan, PAS tidak akan menjadi Quran buruk di atas almari usang. PAS akan proaktif dalam isu-isu rakyat dan masyarakat dalam konsep kebulatan suara untuk menegakkan keadilan, demokrasi, hak asasi dan peluang saksama tanpa mengira kaum dan agama. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment