PETALING JAYA- Pelakon dan pengacara, Wardina Safiyyah menjemput penulis blog Ruang Bicara Faisal (RBJ) menemuinya jika ingin mengetahui sama ada kejadian samun yang berlaku terhadapnya baru-baru ini adakah lakonan atau pun kisah benar.
Wardina berkata, dia tidak mempunyai sebarang keperluan untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh penulis blog tersebut seperti yang diminta.
"Jika dia mahu jawapan kepada semua persoalan yang bermain di dalam mindanya sila datang berjumpa saya. Tidak ada sebab mengapa saya perlu membalas dengan menulis kenyataan saya untuk dia meletakkan jawapan saya itu di dalam blognya.
"Biarlah orang ramai sendiri yang membuat penilaian terhadap semua perkara yang ditimbulkan kerana saya sudah penat untuk bercakap mengenai hal tersebut," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu.
Wardina diminta mengulas tulisan RBJ menerusi ruangbicarafaisal.blogspot.com yang mempersoalkan kononnya dia memperbesar-besarkan kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya semata-mata untuk menagih simpati orang ramai bagi mendapatkan publisiti.
Penulis blog itu juga mempertikaikan tindakan Wardina yang mendakwa berada dalam keadaan trauma tetapi sempat meminjam komputer milik jiran untuk menulis kejadian yang berlaku menerusi Twitter miliknya.
Dalam pada itu, Wardina berkata, dia tidak berasa terkesan dengan tulisan tersebut sebaliknya menganggap penulis blog itu terlalu mempunyai banyak masa untuk menulis pelbagai cerita mengenai orang lain.
Wardina berkata, dia juga tidak risau dengan pandangan masyarakat yang membaca entri tersebut kerana percaya mentaliti masyarakat di negara ini sudah cukup bijak untuk menilai sama ada kejadian tersebut benar atau tidak.
"Mungkin ada segelintir pihak akan terpengaruh dengan entri tersebut dan memikirkan perkara negatif mengenai diri saya, tetapi saya percaya itu hanya mewakili segelintir pihak sahaja.
Rakan-rakan dan keluarga tahu apa yang sebenarnya yang berlaku dan pada tahap ini itu sudah memadai," ujarnya.
Sementara itu, Wardina berkata, penulis blog tersebut sepatutnya menulis sesuatu yang lebih bermanfaat dan berfaedah sebagai bahan bacaan supaya dapat mengembangkan minda masyarakat.
Katanya, walaupun kejadian samun yang berlaku terhadapnya mendapat liputan luas tetapi ia telah membuka mata banyak pihak supaya menjadi lebih berhati-hati dalam menjaga keselamatan keluarga.
"Ada perkara yang lebih penting untuk saya fikirkan daripada melayan karenah orang sebegini yang nyata hanya membuang masa," ujarnya.
Pada 12 Januari lalu, Wardina mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila rumahnya dimasuki tiga lelaki bersenjata di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, tiga penjenayah terbabit memasuki rumah Wardina setelah mengumpil pintu belakang rumah teres tepi dua tingkat milik beliau sebelum mengarahkan semua anggota keluarga Wardina berkumpul.
Mohon Maaf
Sementara itu pihak mStar Online memohon maaf kepada Wardina terhadap kesilapan informasi berhubung pemilik blog berkenaan dan ia bukannya ditulis oleh Tun Faisal Ismail Aziz seperti laporan awal artikel ini. -mStar
Pemblog RBF mohon maaf, mahu tutup isu Wardina
SHAH ALAM - Pengendali blog RuangBicaraFaisal (RBF) memutuskan untuk menamatkan kontroversi berhubung kejadian samun melibatkan pelakon dan pengacara, Wardina Safiyyah dan keluarganya, Khamis lalu dengan memohon maaf atas tulisannya baru-baru ini.
Semalam, Wardina menjemput penulis blog ruangbicarafaisal.blogspot.com itu agar menemuinya jika ingin mengetahui sama ada kejadian samun yang dilalui keluarganya minggu lalu lakonan atau pun kisah benar.
Mohd Faisal berkata, beliau tidak berhasrat untuk memanjangkan lagi isu berkenaan.
"Atas dasar menghormati nasihat seorang pemimpin besar yang sampai ke pengetahuan saya melalui khalifah-khalifahnya, maka dengan ini saya tidak berhasrat untuk memanjangkan lagi tulisan saya berhubung kes pecah rumah dan samun yang menimpa Wardina dan keluarganya," kata Mohd Faisal dalam entri terbaru di blognya.
Mohd Faisal menambah, beliau juga telah mengeluarkan tulisan-tulisannya sebelum ini berhubung persoalan-persoalan ditimbulkan.
"Tujuannya agar ia tidak terus menjadi perdebatan di ruangan komen yang boleh mengeruhkan keadaan," katanya.
Beliau menambah, "ada komen yang menyokong saya, ada komen yang menyokong Wardina. Apabila dibiarkan berterusan ia menjadi perdebatan hingga meleret-leret, dan keluarlah komen-komen yang menggunakan bahasa tidak sopan serta macam-macam cerita lain yang tidak ada kena mengena."
Beliau juga berkata, sepertimana yang dijelaskan olehnya semalam, kejadian yang menimpa Wardina benar-benar berlaku dan bukannya lakonan atau dirancang.
"Saya tamatkan isu tersebut disini dan sekali lagi saya mohon maaf kepada Wardina dan suaminya," katanya.
Laporan media semalam menyebut bahawa Wardina menjemput Mohd Faisal agar menemuinya jika ingin mengetahui sama ada kejadian samun yang berlaku terhadapnya baru-baru ini adakah lakonan atau pun kisah benar.
Bagaimanapun laporan itu menggunakan nama Exco Pergerakan Pemuda Umno itu Tun Faisal Ismail Aziz.
Wardina berkata, dia tidak mempunyai sebarang keperluan untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan itu.
"Jika dia mahu jawapan kepada semua persoalan yang bermain di dalam mindanya sila datang berjumpa saya. Tidak ada sebab mengapa saya perlu membalas dengan menulis kenyataan saya untuk dia meletakkan jawapan saya itu di dalam blognya.
"Biarlah orang ramai sendiri yang membuat penilaian terhadap semua perkara yang ditimbulkan kerana saya sudah penat untuk bercakap mengenai hal tersebut," ujar Wardina mengulas mengenai tulisan menerusi ruangbicarafaisal.blogspot.com yang mempersoalkan kononnya dia memperbesar-besarkan kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya semata-mata untuk menagih simpati orang ramai bagi mendapatkan publisiti.
Penulis blog itu juga mempertikaikan tindakan Wardina yang mendakwa berada dalam keadaan trauma tetapi sempat meminjam komputer milik jiran untuk menulis kejadian yang berlaku menerusi Twitter miliknya. - SH
No comments:
Post a Comment