KUALA LUMPUR 20 Jan: Srikandi KEADILAN mempersoalkan mengapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz terlalu bimbang sekiranya aset menteri kabinet wajib diisytihar kepada umum.
Ia ekoran kenyataan Nazri yang mempertikai keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menyifatkan tindakan itu ‘mengundang bahaya’.
“Apakah ia akan memperlihatkan jumlah sebenar kekayaan menteri Umno yang tidak sebanding dengan kesusahan Rakyat di bawah?
“Apakah Nazri Aziz bimbang seandainya aset milik mereka dipersoal oleh rakyat, pemimpin Umno tidak lagi boleh memperolehi kekayaan yang banyak?,” soal Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaik Ismail.
Menurutnya lagi, sekiranya Nazri Aziz merasakan beliau telus dalam pentadbiran, mendahulukan rakyat dan berkhidmat dengan “jujur”, maka tiada istilah “bahaya” yang harus dibangkitkan.
“Rakyat harus tahu sikap dan sifat pemimpin mereka, maka saya pasti rakyat akan menanti semua Menteri-Menteri kabinet mengistiharkan harta mereka dengan kadar segera.
“Kita menanti dan sekiranya mereka “gagal” maka jelaslah, ada sesuatu “bahaya” yang sedang disembunyikan,” kata Aishah.
Menurutnya lagi, keputusan tidak timbul kerana kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan berani mengistiharkan aset milik exco kerajaan negeri itu termasuk Ketua Menteri sendiri.
“Ini dilakukan atas dasar ketelusan dan kejujuran kerajaan pakatan rakyat yang yakin bahawa tiada apa yang harus disembunyikan dan “bahaya” untuk diketahui oleh umum,” ujarnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=25774
No comments:
Post a Comment