Menurut kebanyakan pemimpin Dayak di Sarawak dan Kadazan di Sabah, masyarakat Dayak dan Kadazan yang kononnya diwakili mereka semuanya adalah terpelihara akan hak dan segala bantuan serta kemudahan.
Betulkah? Tetapi sehingga kini, masyarakat Dayak dan Kadazan di Sarawak dan Sabah yang merupakan penduduk majoriti di kedua-dua negeri masing-masing didapati masih tidak mampu untuk memerintah negeri milik mereka dan menentukan halatuju mereka sendiri.
Selain daripada itu masyarakat Dayak dan Kadazan di Sarawak dan Sabah juga masih ketinggalan di dalam arus pembangunan, mempunyai peratusan paling tinggi di dalam keciciran pendidikan, kemiskinan yang tidak terhingga dan senantiasa menderita dihalau daripada kediaman dan kampung halaman mereka bagi memberi laluan kepada projek-projek “pembangunan” yang kononnya akan memberikan “manfaat” kepada mereka.
Akan tetapi, hakikatnya adalah, kebanyakan projek-projek “pembangunan” yang kononnya akan memberikan “manfaat” kepada masyarakat Dayak dan Kadazan ini semuanya dibolos habis oleh para pemimpin BN yang memerintah negeri Sarawak dan Sabah selama ini.
Salah siapa sebenarnya? Bukan Umno (Sabah) atau Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Sarawak, tetapi salah para pemimpin Dayak dan Kadazan itu sendiri kerana budaya mereka kini yang sering bertelingkah dan berpecah belah. Malah masyarakat Dayak dan Kadazan sendiri telahpun muak dengan karenah politik para pemimpin Dayak dan Kadazan yang sering dipermain-mainkan oleh parti-parti ketuanan BN seperti Umno dan PBB khususnya.
Kemelut Dayak di Sarawak
Seperti yang diketahui, sebelum dan selepas Sarawak menyertai Malaysia, sudah ada sebuah parti yang mewakili masyarakat Dayak pada masa itu. Parti tersebut adalah Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP). Ketua menteri Sarawak yang pertama adalah berbangsa Dayak yang memimpin SNAP, iaitu Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.
Akan tetapi, setelah SNAP menyertai Barisan Nasional (BN), parti tersebut mula dilanda krisis demi krisis yang melihat pertelingkahan puak yang agresif. Pertelingkahan dalaman SNAP itu kemudiannya menyebabkan perpecahan ketara yang tidak dapat dielakkan dengan tertubuhnya Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS). PBDS kemudiannya turut menyertai BN, manakala SNAP yang terus mengalami perbalahan telah dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Akan tetapi, PBDS juga tidak dapat bertahan lama. Kemelut demi kemelut di antara para pemimpin PBDS selepas persaraan presiden partinya Datuk Leo Moggie telah menyebabkan parti tersebut turut dibatalkan pendaftarannya oleh ROS, dan setelah PBDS berkecai, maka wujudlah dua parti Dayak yang berasingan iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP). Kedua-dua parti tersebut kemudiannya turut memohon menyertai BN bagi menggantikan peranan yang dimainkan oleh PBDS sebelum ini.
SPDP yang kini sedang menghadapi satu krisis berikutan perbalahan beberapa orang pemimpin kanan parti tersebut dengan presiden mereka yang telah menyebabkan lima oorang ahli dewan undangan negerinya (ADUN) disingkirkan daripada SPDP.
PBB yang majoritinya dari kalangan Melayu-Melanau kini sedang memimpin BN Sarawak telah memainkan peranan keji mereka di dalam memastikan para pemimpin Dayak ini tidak bersatu dalam satu parti politik dan akan adanya dua parti yang berbeza supaya mereka ini (PRS dan SPDP) dapat dikawal selia dan diarah mengikut rentak PBB.
Perpecahan Kadazan di Sabah
Sabah pada mulaya diperintah oleh Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) yang membentuk kerajaan campuran dengan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Persatuan Cina Sabah (SCA).
Setelah itu, UNKO bergabung dengan sebuah lagi parti pribumi dan kemudiannya bertukar entiti kepada Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya). Ketua menteri Sabah pada masa itu adalah Tan Sri Fuad (Donald) Stephens.
Selepas pembunuhan Fuad Stephens, tampuk pemerintahan Sabah dan kepimpinan Berjaya mula diambil-alih oleh kumpulan masyarakat Melayu-Muslim yang dipimpin oleh Datuk Harris Salleh. Sewaktu pemerintahan Harris, masyarakat Kadazan mula dipinggirkan dan akibat daripada itu, para pemimpin Kadazan dalam Berjaya yang mula merasai penekanan tersebut telah keluar daripada Berjaya bagi membentuk Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai oleh Datuk Joseph Pairin Kitingan.
PBS kemudiannya bertanding di dalam pilihanraya negeri sebagai pembangkang dan berjaya mengambil-alih tampuk pemerintahan negeri tersebut dan sekali lagi Sabah diperintah oleh seorang pemimpin Kadazan.
Kekalahan Berjaya kepada PBS telah membawa kepada kemasukkan Umno ke negeri tersebut dengan sokongan yang ditaja oleh para pemimpin Berjaya dan Usno pada masa itu. Setelah pembubaran Berjaya dan Usno terlaksana dan Umno Sabah mula menjadi teguh, PBS kemudiannya telah dipujuk untuk menyertai BN Sabah dengan pelbagai janji untuk membangunkan negeri tersebut.
Akan tetapi, setelah memerhati pelan “pembangunan” tersebut yang tidak memanfaatkan masyarakat Kadazan dan negeri tersebut PBS mula sangsi dengan tujuan Umno di Sabah, lantas daripada itu PBS mengambil keputusan untuk meninggalkan BN dan memerintah negeri tersebut secara bersendirian.
Oleh kerana tidak tahan dengan monopoli dan pengaruh politik PBS yang menyeluruh di negeri Sabah, Umno Sabah mula menggerakkan usahanya untuk memecahbelahkan PBS melalui mainan politiknya yang keji serta penaburan wang untuk merasuh para pemimpin PBS yang lemah.
Perbuatan keji Umno Sabah ternyata berjaya. Para pemimpin PBS yang termakan dengan duit dan janji-janji manis Umno Sabah itu kemudiannya “berbalah” dan berpecah. Akibat daripada perpecahan itu, tertubuhnya beberapa buah parti seperti Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Pasok-Momugun Kadazan Bersatu (UPKO). SAPP, PBRS dan UPKO kemudiannya menyertai BN negeri yang kini dipimpin oleh Umno Sabah.
Oleh kerana telah dilemahkan akibat daripada perpecahan, PBS telah mengambil keputusan untuk menyertai semula BN negeri, sementara SAPP pula setelah sedekad di dalam BN telah membuat keputusan mendadak meninggalkan gabungan pimpinan Umno itu dengan alasan beberapa isu dan masalah dalam negeri tersebut yang gagal ditangani oleh Umno Sabah.
Antara isu yang diketengahkan oleh SAPP adalah pembanjiran pendatang asing daripada selatan Filipina dan Indonesia di Sabah, pemberian kerakyatan secara tidak terkawal kepada para pendatang asing, masalah kemiskinan rakyat dan perbuatan Umno merobohkan patung dewa pemujaan masyarakat Cina di negeri tersebut.
SAPP kni menjadi pembangkang bersendirian tanpa bergabung dengan mana-mana parti atau gabungan politik yang lain.
“Blackout” terhadap masyarakat Dayak dan Kadazan
Bagi mengawal keadaan politik di Sarawak dan Sabah serta untuk memastikan PBB dan Umno kekal berkuasa, kedua-dua kerajaan negeri yang dikuasai oleh dua parti utama tersebut telah meggerakkan usaha untuk memastikan kemudahan informasi dan saluran internet tidak sampai ke kawasan pendalaman bagi menghadkan penyaluran maklumat semasa dengan tepat.
Dengan usaha tersebut, maka PBB dan Umno berjaya mengawal keadaan di kedua-dua negeri tersebut disamping menghalang masyarakat Dayak dan Kadazan daripada bersatu semula untuk menjadi suatu kuasa politik dibimbangi boleh memerangi PBB dan Umno di suatu hari nanti.
Siapakah yang patut dipersalahkan?
Persoalannya adalah, siapakah yang patut dipersalahkan kerana masyarakat Dayak dan Kadazan sehingga pada hari ini masih hidup di dalam keadaan yang sangat daif, ketinggalan di dalam arus pembangunan dan pendidikan?
Sudah semestinya para pemimpin Dayak dan Kadazan dalam BN di kedua-dua negeri tersebut kerana mereka ini sanggup membiarkan diri merekka dimanipulasi oleh PBB dan Umno, sanggup hidup dalam perpecahan asalkan mereka dapat mencapai kekayaan dan mengecapi kemewahan untuk diri mereka.
Sanggupkah lagi masyarakat Dayak dan Kadazan hidup di dalam alam penderitaan di bawah pemerintahan PBB dan Umno? Bilakah mereka ini akan sedar yang selama ini mereka telah diperbodohkan oleh pemerintahan BN? - Malaysia Chronicle
No comments:
Post a Comment