17 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 20 Mei: PAS bersedia untuk bertemu dengan pimpinan Umno bila-bila masa tetapi bukan atas dasar ketuanan Melayu semata-mata tetapi mengajak parti itu melaksanakan keadilan Islam.
AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, beliau yakin PAS sejak dari awal bersedia berbincang dan berdiskusi dalam semangat dan tuntutan ‘agama itu nasihat’, semangat ‘at-Tawaasi- ingat mengingait’ dan ‘at-Tadaafu’-semak dan imbang’ seperti yang tuntut al-Quran.
"Ajaran agama inilah yang menjadi dasar dan asas kami bertindak sekaligus merupakan tuntutan Allah SWT dalam Al-Quran," kata beliau.
Bagaimanapun, kata Dr Dzulkefly yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor, tentunya pertemuan ini perlu melepasi hanya isu dan topik kesatuan Melayu "kerana ada yang lebih penting, lebih besar dan lebih dhoruri dan menekan hari ini untuk dibincangkan."
Dr Dzulkefly menjawab pelawaan Umno melalui ketua penerangannya, Datuk Ahmad Maslan yang sekali lagi mengundang PAS untuk berbincang atas nama kesatuan Melayu.
Bagi beliau, Umno telah menggunakan kaedah dan pelawaan ini beberapa kali dalam waktu yang lalu, bagi membuktikan bahawa mereka serius tentang isu ini dan PASlah yang enggan dan dipaparkan oleh media Umno-BN sebagai sombong dan angkuh.
"Ini adalah taktik Umno memenangi hati-budi orang Melayu terutama golongan yang tidak mendapat maklumat selain dari sumber media kawalan Umno-BN seperti Utusan Malaysia, RTM cetak dan elektronik," katanya kepada Harakadaily.
Sehubungan itu, beliau memberikan beberapa asas penting yang perlu menjadi topik perbincangan yang antaranya:-
(i) Bagaimana Islam hari ini telah tercemar dan kesucian Islam sebagai agama dan satu cara hidup yang menatijahkan kehidupan bernegara yang berkat dan sejahtera, kerana amalan dan urus-tadbir sebuah kerajaan yang hanya mengaku Islam tetapi membawa tata-kelola dan pengurusan kerajaan atau ‘governance’ yang sarat dengan rasuah, salah guna kuasa dan amalan kronisme yang kesemua merosakkan imej dan kesucian Islam dan tanggapan buruk kaum dan agama lain terhadap orang Melayu-Islam. PAS merasakan topik ini paling penting untuk Islam dan survival dan daya saing orang Melayu.
(ii) Bagaimana Islam sebagai agama dan Rasul sebagai ‘Rahmatan lilL ‘Aalamin’ rosak dengan doktrin yang diperjuangkan oleh Umno dengan mengangkat ketuanan Melayu sempit mereka. Islam tercemar dengan gagasan ketuanan Melayu ini, dan orang Melayu-Islam sangat mahu Islam dan kedudukan orang Melayu sebagai etnik terbesar di negara ini tidak perlu dilihat sebagai melakukan ‘dominasi’ dan ‘menindas’ kaum dan agama lain.
Islam akan menyelamatkan orang Melayu-Islam khususnya dan agama serta kaum-budaya lain di negara ini dengan sifat Islam yang Rahmah dan Ihsan-Belas kepada semua. Umno memburukkan imej dan citra Islam – ini perlu dibincangkan segera terutama mutahir ini.
(iii) Bagaimana Umno sebagai paksi pemerintahan BN hari ini terus-menerus gagal menggunakan media perdana cetak-elektronik bagi mewujudkan iklim dan suasana yang sihat untuk kebangunan akhlak dan minda serta sikap yang positip di kalangan muda-mudi dan orang dewasa tetapi sebalik secara jelek dan keji, menggunakan media perdana menonjolkan dan mencorakkan serta menaja ‘politik jelek, keji dan jijik’ dalam media perdana yang merosakkan akhlaq serta imej baik Islam di Negara ini.
Media sepatutnya memurnikan akhlak dan iklim politik bukan sebaliknya merosakkan termasuk juga segala program buruk yang mencetuskan pelbagai gejala kebejatan dan keruntuhan akhlak muda-mudi dan juga tabiat serta gelagat buruk golongan dewasa.
(iv) Bagaimana sebuah negara yang kaya dengan hasil sumber per kapita yang tertinggi di dunia seperti yang diakui oleh Bank Dunia, hari ini mengalami dan berdepan dengan kedudukan ekonomi yang hilang daya-saing sekaligus gagal mengamit pelaburan asing.
Negara juga terperangkap dalam jajaran ekonomi ‘berpendapatan sederhana’, jurang antara kaum dan dalam kaum yang terus melebar, hutang awam semakin meningkat, jurang pembangunan wilayah semakin ketara anatara negeri miskin dan kaya, ketirisan dalam system ‘delivery’ kerana rasuah dan salah guna kuasa.
Semua ini bertentangan dengan tuntutan Islam yang mahukan pertumbuhan mapan dan agihan adil serta pengurusan yang bebas rasuah dan pembaziran. Ini yang wajar dan wajib diperbincangkan atas tuntutan ‘At-Ta’awun – tolong menolong dalam kebajikan dan ketaqwaan.
(v) Orang Melayu sudah bersatu kerana pegangan akidah – ini tuntututan Allah SWT – Wa’tasimu bi HabliLah – bersatu berpegang tali Allah yakni Islam! Kita sudah Islam – PAS dan Umno sudah Islam. Tetapi mengapa Umno tidak komited untuk memperjuangkan tuntutan Islam seperti yang ditegaskan secara ringkas di atas tadi? Kesatuan memperjuangkan Islam itu yang penting dengan apa jua cara dan organisasi itu yang dituntut Alah SWT.
"Ini yang perlu kita bincangkan dan diskusikan! Bukan kesatuan Melayu!" tegas Dr Dzulkefly lagi.
Katanya, buat apa Melayu bersatu kalau membelakangi dan tidak komited mendokongi Islam.
"Ahli akar umbi Umno mesti menyeru pimpinan tertinggi mereka untuk melaksanakan tuntutan Islam sepenuhnya – bukan bila ianya sesuai dengan kepentingan politik mereka – melaungkan slogan jihad pada tempat yang salah dan memperjungakan Islam secara sempit yang akhirnya menakutkan orang bukan-Islam dan mencemarkan kemurnian dan kesejagatan Islam.
"Islam bukan untuk orang Islam sahaja dan Islam tentunya bukan untuk orang Melayu sahaja. Islam ialah “Rahmatan lIlL'," kata beliau lagi.
Sehubungan itu, katanya, PAS mengundang Umno, demi kepentingan Islam dan orang Melayu khasnya, kesejahteraan negara amnya berdiskusi dan mencari penyelesaian tuntas atas semua isu-isu ini.
"Melayu akan selamat dan kaum serta agama lain juga akan selamat dengan cara ini," kata Dr Dzulkefly kepada Harakahdaily.
Harakahdaily
Berita Berkaitan : UMNO SEDIA TERUSKAN RUNDINGAN DENGAN PAS
No comments:
Post a Comment