Sunday, January 29, 2012

Beza SOTU Obama dengan SOTU Malaysia??

SOTU Malaysia? 
29 JANUARI – Presiden Amerika Syarikat kulit hitam pertama, Barack Obama, kelmarin telah berucap panjang dalam satu acara tahunan yang kelazimannya dinanti-nantikan oleh dunia.

State Of The Union (SOTU) adalah acara di mana Presiden Amerika berhadapan dengan Kongres pada setiap hujung Januari, dan berpidato tentang keadaan negara di bawah tadbirannya, selain membentangkan rencana beliau tentang kebijakan-kebijakan baru untuk diperkenalkan kepada sidang kongres.

Terlahir dari Perlembagaan Amerika, SOTU adalah manifestasi tanggungjawab Presiden untuk melapor kepada kongres perihal keberadaan negara.

SOTU Obama

Ucapan Obama kali ini tidak begitu menarik di hujung dan pangkalnya kerana berbicara secara ad nauseam perihal peperangan dan usaha menjadikan Amerika negara selamat yang sekali pandang hanyalah retorika dan bahasa kosong.

Obama, yang dianggap sosialis oleh segolongan besar pendokong Republikan di Amerika memberi ucapan sarat dengan pergulatan kelas. Barangkali terkesan dengan himpunan-himpunan kelas pertengahan di Wall Street dan desakan marhaen supaya Amerika tidak lagi bertuankan cukong mahakaya, Obama berbicara soal jurang ekonomi dan keadaan rakyatnya yang tertindas dek angkara kapitalis tamak.

Dengan keadaan ekonomi Amerika yang kian merudum, dan pilihan raya presiden yang kian hampir, Barack Husain Obama cuba mengamankan para pengkritik dan penyokongnya dengan janji-janji tegas untuk tidak lagi membiarkan yang kaya bertambah kaya tatkala yang miskin semakin papa.

Dalam lumba mengekalkan Rumah Putih, Obama nampaknya masih di posisi nombor wahid. Walau pun minggu lalu ratingnya jatuh 0.2%, dia masih popular. Barangkali kerana dia berkulit hitam dan nampak cool tanpa perlu mencuba, Amerika akan terus memilih dia untuk duduk di Oval Office buat sepenggal lagi. Obama seakan politisi hip-hop, bebas berperilaku ranggi dan melakukan reformasi populis yang tidak pernah dibuat presiden-presiden Amerika sebelumnya.

Itu di Amerika

Mana mungkin Abraham Lincoln pernah fist-bump tukang kebunnya. Tapi itu cerita lain. Yang kita tahu setakat ini, Obama masih relevan dan masih punya beban besar di bahunya berupa harapan marhaenis Amerika.

Obama telah mencadangkan kepada kongres agar meminda peruntukan undang-undang supaya golongan yang berpendapatan tinggi boleh membayar cukai lebih. Cukong-cukong besar di Amerika tentulah menyeringai dengan cadangan ini.

Wang yang mungkin boleh dibuat biaya percutian di pulau persendirian akan masuk ke kantung perbendaharaan Uncle Sam. Isteri mereka perlu redha dengan beg tangan murah kerana peruntukan untuk beg Birkin sudah dikaut pemerintah.

Ini disambut gembira para pendokong kebijakan ekonomi yang manusiawi. Terutamanya perwakilan “kami adalah 99%” yang berhimpun lama di jalanan Wall Street sambil diperhatikan para cukong syarikat besar dari beranda pejabat mereka, segelas champagne di tangan. “Apa bodoh si 1% ini,” kata mereka barangkali.

Namun kebijakan ekonomi yang manusiawi adalah satu keperluan masa kini dikeranakan kesan-kesan buruk yang menimpa masyarakat dunia ekoran sistem kapitalis yang menindas. Akhirnya jurang ekonomi semakin meluas dan yang kaya bertambah kaya. Yang miskin, seperti biasa, semakin papa kedana.

Ini di Malaysia

Jadi bagaimana dengan Malaysia? Apa kebijakan yang bijaksana telah diperkenalkan sepanjang pentadbiran Najib Razak? Apakah pula akan ada state of the federation setelah beralihnya kuasa daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib Razak?

Kalau Belanjawan 2012 mahu dijadikan ukuran, kelakarlah sangat. Kita semua tahu hutang negara sudah hampir separuh daripada KDNK. Kita pastinya masih memikirkan dari lubang mana datangnya dana yang banyak-banyak itu untuk ditaburkan kepada rakyat menjelang pilihan raya.
Berbeza dengan Obama, Najib lebih percaya kepada kegiatan menabur duit dan memberi bantuan kewangan demi mendapat sokongan. Dari mana datangnya berbilion ringgit ini masih menjadi misteri.

Najib sebagai seorang pemimpin yang mewarisi kuasa (kerana sehingga ini Najib belum pernah melalui pilihan raya sebagai Perdana Menteri) hanya mampu untuk berusaha mengekalkan kuasa yang disedekahkan oleh Pak Lah, ketika United Malays National Organisation berada di ambang kejatuhan pasca tsunami politik Mac 2008.

Maka diusahakanlah kempen-kempen yang inovatif untuk membuktikan bahawa beliau ini cool dan dipersetujui perlantikannya itu oleh rakyat terbanyak tanpa perlu melalui ujian pilihan raya. Yang paling dikenali walau pun tak semestinya popular adalah 1Malaysia yang masih amat kabur mesejnya.

Jika kita sama-sama renungkan, kalau acara pidato kenegaraan seperti SOTU di Amerika Syarikat itu dijadikan budaya di Malaysia, apa jenis ucapan yang akan kita dengar? Atau lebih tepat lagi, mampukan pucuk pimpinan pusat hari ini berani mewujudkan SOTU Malaysia?

Jawapannya sudah lama ada. Lagikan diajak debat biasa di kaca TV pun dia menolak, budaya Amerika, katanya. – Roketkini.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular