Gara-gara kemeja-T Bersih, pemuda dihalau masjid
KUALA LUMPUR, 27 Jun — Gara-gara kerana mengenakan kemeja-T Bersih 2.0, seorang pemuda dilaporkan dihalau oleh seorang ahli jawatankuasa Masjid Bandaraya Likas, Sabah kelmarin.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar melahirkan rasa kesal dengan tindakan ahli jawatankuasa masjid berkenaan.Blog Pemuda PAS Sepanggar melaporkan kejadian itu berlaku di masjid tersebut kelmarin, lapor Harakah Daily hari ini.
Pemuda yang tidak mahu namanya dikenali itu, sememangnya sering bersolat di masjid tersebut telah dihalau keluar dari masjid ketika selesai bersolat Maghrib.
Selain menghalau pemuda tersebut, ahli jawatankuasa masjid tersebut didakwa telah mengeluarkan kata-kata kesat dengan menuduh pemuda tersebut sebagai munafik.
Tidak cukup dengan kata-kata kesat, dia turut didakwa menolak pemuda tersebut dengan kasar.
Situasi itu akhirnya dileraikan oleh salah seorang ahli kariah yang masuk campur.
Dewan Pemuda PAS Sepanggar melihat perkara itu sepatutnya tidak berlaku.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Sepanggar menggesa agar jawatankuasa Masjid Bandaraya segera mengambil tindakan terhadap ahli jawatankuasa terbabit di atas sikapnya yang merosakan imej masjid.
Bagaimanapun laporan itu tidak membawa komen pengurusan masjid itu lagi. TMI
No comments:
Post a Comment