Monday, June 27, 2011

Suara Khir Toyo : Bersih 2.0 Mahu Mencipta Anarki dan Ketidakstabilan Politik?

Gambar Hiasan
1. Dalam negara demokrasi saya berpendapat adalah hak rakyat untuk menyampaikan bantahan, pandangan, kritikan, memorandum waima apa bentuk pandangan sekalipun termasuklah hak untuk berkumpul dan menyatakan pandangan seperti perhimpunan awam.

2. Namun dalam pada mahu menyuarakan pandangan, bantahan, sokongan mahu pun kritikan ia tidak harus menjadi satu usaha memaksa pihak lain menerima dan akur dengan pandangan tersebut melalui cara menunjukkan kekuatan sokongan.

3. Dalam konteks inilah saya melihat cubaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mahu menganjurkan perhimpunan besar-besaran Bersih 2.0 sebagai satu kegiatan mahu mencetuskan anarki dan huru-hara.

4. Bersih dilaporkan mahu mengumpul sekurang-kurangnya 30 ribu orang di atas jalan raya berarak menuju ke Istana Negara pada 9 Julai 2011 nanti bagi menyampaikan memorandum menuntut perubahan terhadap perjalanan Pilihan raya negara ini.

5. Apakah tujuan mengumpulkan 30 ribu orang ini? Kalau sekadar mahu menyampaikan memorandum cukuplah 20-30 orang mewakili pelbagai NGO yang mereka dakwa bersama mereka. Apakah angka yang besar ini cubaan mahu menekan dan mengugut kerajaan yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat? 

6. Jika 30 ribu dianggap besar untuk menekan rakyat, bagaimana pula jika puluhan ribu pula dikeluarkan oleh NGO atau parti politik lain untuk menekan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat? Apakah mereka akan tunduk kepada desakan sedemikian juga?

Huru-Hara Untuk Publisiti Antarabangsa

7. Pada hemat saya, mereka yang mahu mengumpul puluhan ribu manusia untuk mengadakan bantahan atau menghantar memorandum ini sebenarnya mahu mencetuskan anarki dan huru-hara bagi mendapat keuntungan publisiti politik di peringkat antarabangsa. Secara politiknya mengumpulkan 30 ribu orang tanpa mencetuskan insiden yang menarik tidak akan mengundang apa-apa berita besar di seluruh dunia. 

8. Jika sekadar mahu menunjuk kekuatan tentulah mereka boleh memohon perhimpunan di dalam stadium terutamanya Stadium Shah Alam yang boleh memuatkan hampir 80 ribu orang. Mengapa perlu di atas jalan?

9. Saya percaya Bersih mahu mengulangi skrip Himpunan Bersih November 2007. Mereka mahu polis menyuraikan mereka, mereka mahukan kekecohan. Mereka percaya dengan mewujudkan keadaan sedemikian maka mereka mampu menarik lebih ramai sokongan generasi muda kepada Pakatan Rakyat. 

10. Bersih secara sendirian tidak akan berupaya mengumpul 30 ribu orang untuk hadir bersama mereka. Kumpulan Bersih hanya terdiri daripada elit profesional yang jauh dari kehendak dan dokongan majoriti rakyat. Justeru saya percaya Bersih hanyalah alat politik Pakatan. Mereka yang berada di dalam Bersih hampir sama dengan mereka yang mendokong Pakatan. Maka Bersih tidak lebih agenda politik Pakatan.

11. Sebahagian mereka percaya jika mereka mengulangi demontrasi seperti itu menjelang pilihan raya umum ke-13, peluang Pakatan akan lebih cerah untuk mempertahankan kerusi sedia. Mereka percaya salah satu sebab kejayaan mereka dalam pilihan raya lalu ialah himpunan Bersih 2007 yang kononnya meningkatkan momentum sokongan kepada Pakatan. Soalnya apakah benar rakyat Malaysia hari ini lebih tertarik kepada mereka yang mencetuskan anarki dan huru-hara?

Jalan Politik Selamat

12. Ramai juga yang menyarankan agar Perdana Menteri dan Polis membiarkan sahaja kumpulan ini berarak di jalanan. Biar sahaja huru-hara di Kuala Lumpur jika itu yang Bersih mahukan. Polis jangan masuk campur agar nanti tidak dikambing-hitamkan oleh kumpulan ini. Ini merupakan jalan politik yang selamat.

13. Namun saya percaya sebagai sebuah kerajaan yang bertanggung jawab, sebagai pemimpin yang bertanggung jawab dan sebagai pasukan keselatamatan yang diamanahkan menjaga keamanan, Perdana Menteri dan pasukan Polis tidak boleh lepas tangan dan buat tidak tahu hanya untuk menjaga imej yang baik. 

14. Kerajaan terpaksa bertindak demi menjaga kepentingan majoriti jutaan penduduk, peniaga dan pelancong di Kuala Lumpur. Daripada lebih sejuta penduduk Kuala Lumpur termasuk peniaga dan pelancong, Bersih hanya mungkin mendapat sokongan sekitar 20-30 ribu orang yang itu pun dibawa dari seluruh negara. 

15. Kepentingan siapa yang perlu dijaga oleh kerajaan - penduduk setempat atau pencetus anarki luar yang akan merosakkan keharmonian Kuala Lumpur pada 9 Julai nanti?

Gelombang Kedua Mengundang Campur Tangan Asing?

16. Saya juga tertanya-tanya apakah kumpulan ini bertujuan mewujudkan kekacauan bagi membolehkan mereka meminta kuasa luar campur tangan dalam menentukan kepimpinan negara?

17. Modus operandi yang hampir sama yang telah menjadi pencetus kepada demontrasi jalanan dan membawa campur tangan asing seperti di Yemen, Libya dan Mesir - iaitu bercakap kononnya kerajaan sedia ada tidak demokratik.

18. Biar pun demokrasi di negara ini jauh berbeza daripada negara-negara yang disebut tadi, namun kaedah perang saraf yang sama menimbulkan tanda tanya sama ada kumpulan luar yang sama yang mencaturkan negara-negara Arab sejak beberapa bulan lalu kini mengalihkan tumpuan kepada Malaysia.

19. Jika kita lihat pada 1998, gerakan kuasa luar juga telah cuba mencaturkan geo-politik baru Malaysia bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

20. Ketika itu Malaysia terselamat daripada percaturan ini biar pun Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore, terang-terang datang ke Malaysia dan menyokong gerakan Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Al Gore ketika itu datang ke Malaysia dan menghina kerajaan Malaysia yang menjadi hos makan malamnya dengan ungkapan:


"Democracy confers a stamp of legitimacy that reforms must have in order to be effective. And so, among nations suffering economic crises, we continue to hear calls for democracy, calls for reform in many languages - people's power, doi moi, reformasi. We hear them today, right here, right now, among the brave people of Malaysia."


21. Pada tahun tersebut juga, Datin Seri Wan Azizah berjumpa dengan Setiuasaha Amerika Syarikat, Madeline Albright dan beberapa pemimpin sekutu Amerika Syarikat di rantau ini.

22. Justeru jika modus operandi Bersih hari ini dihubung kait dengan gerakan anti kerajaan di Timur Tengah dan juga gerakan yang hampir sama sedekad lalu oleh kumpulan reformasi, ternampak ada usaha-usaha untuk sekali lagi mengundang campur tangan asing.

23. Tidak mustahil kumpulan ini sedang merencana kekacauan, bahkan kematian jika perlu, bagi menarik simpati antarabangsa sekaligus membolehkan kuasa luar menekan pimpinan negara. Apakah campur tangan asing yang berlaku di Mesir, Syria, Yemen dan Libya akan merebak ke Malaysia?

24. Sebahagian kita mungkin menganggap mustahil akan berlaku. Namun setahun lalu tiada siapa menyangka Mesir, Libya, Yemen dan Syria akan mengalami pergolakan sedemikian. Jika negara-negara ini boleh diresapi tangan-tangan luar, apatah lagi bagi negara kecil seperti Malaysia yang dilimpahi pengeluaran minyak. Sudah tentu ada sahaja tangan-tangan luar yang bersedia menerima undangan pihak tertentu yang kononnya berjuang atas nama demokrasi. 


Dr Mohamad Khir Toyo

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular