Monday, June 27, 2011

Dakwaan agenda hidupkan komunis sandiwara polis, KDN


KUALA LUMPUR, 26 Jun — Parti Sosialis Malaysia (PSM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa parti itu cuba menghidupkan semula fahaman komunis ekoran tangkapan 30 aktivis di Pulau Pinang.

Sebaliknya tegas Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan, pihaknya tidak mempunyai sebarang agenda untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong apatah lagi mahu menghidupkan semula gerakan Parti Komunis Malaysia (PKM) seperti mana yang didakwa.
“Pembohongan besar ini turut digunakan ke atas 30 orang peserta yang terlibat dalam Kempen Udahlah. Mereka yang sepatutnya dibebaskan, kini direman selama tujuh hari ekoran cubaan polis mengukir satu cerita fantasi di mana seksyen yang digunakan keatas mereka adalah Seksyen 122 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.
“Kenyataan pihak berkuasa dan dakwaan ke atas aktivis PSM adalah tidak berasas, tidak masuk akal, pembohongan, bermotifkan politik dan sandiwara dan oleh yang demikian, PSM meminta ke semua mereka yang direman dibebaskan serta merta dan pihak kerajaan meminta maaf atas tohmahan yang tidak berasas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis Pulau Pinang pagi tadi mengumumkan bahawa perintah reman akan dibuat ke atas 30 aktivis Bersih 2.0 yang juga ahli PSM mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana mereka berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong.
Abdul Rahim berkata siasatan polis mendapati sekumpulan aktivis PSM yang ditahan di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang petang semalam cuba menghidupkan semula fahaman komunis.
Beliau berkata, ini berdasarkan pelbagai barangan yang dirampas polis daripada aktivis berkenaan mempunyai kaitan dengan fahaman PKM.
Kumpulan berkenaan yang menaiki sebuah bas persiaran dipercayai dalam rangka kempen mengedarkan risalah berkaitan Himpunan Bersih 2.0 9 Julai ini.
Kempen PSM bertemakan “Udahlah tu... Bersaralah” itu dikatakan tertumpu ke bandar kecil di Semenanjung Malaysia sejak 24 Jun lalu.
Semalam 14 wanita dan 17 lelaki yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) untuk dirakam percakapan.
Abdul Rahim berkata, seorang daripada aktivis berkenaan dibebaskan kerana masih di bawah umur manakala 30 yang lain kini direman bagi membantu siasatan.
Katanya, perintah reman bagi semua mereka yang berusia 18 hingga 64 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth.
“PSM merasa lucu bahawa pemerintah cuba mengaitkan PSM dengan komunis dengan terjumpanya beberapa kemeja-T dan bahan-bahan yang mempunyai imej pemimpin komunis.
“Untuk makluman polis, ini adalah skrip zaman perang dingin di mana hari ini, semua bahan ini boleh didapati di pasaran dan dijual secara umum tanpa sebarang sekatan. Selain itu, kerajaan Malaysia juga mempunyai hubungan politik dengan Parti Komunsi Cina, Vietnam, Cuba dan lain-lain,” kata Arutchelvan.
Tegas beliau, PSM kini adalah sebuah parti berdaftar yang menjalankan aktiviti secara sah tanpa terlibat dengan apa-apa agenda lain termasuk menyebarkan fahaman komunis.
“PSM adalah sebuah parti berdaftar yang menjalankan aktiviti secara sah dan ini memang diketahui umum.
“PSM juga mengiktiraf sumbangan parti-parti kiri sebelumnya yang telah menyumbang kepada kemerdekaan negara seperti PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), API (Angkatan Pemuda Insaf), AWAS (Angkatan Wanita Sedar) dan PKM. Cubaan polis yang sering melabel parti-parti lain sebagai ejen PKM adalah satu taktik lama dan sudah basi,” katanya.
Arutchelvan tidak menolak kemungkinan penahanan aktivis parti itu di Pulau Pinang adalah satu tindakan terancang yang dilakukan untuk mewujudkan suasana “darurat” sebagai langkah menghalang Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Petang tadi Hishammuddin mempertahankan tindakan polis menahan 30 aktivis Bersih 2.0 di Pulau Pinang di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan sambil berkata ada alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka. TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular