Sunday, May 29, 2011

Komponen BN jangan tunjuk lagak


PUTRAJAYA - Parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak berlagak sebagai pembela nasib rakyat sedangkan ada yang mempunyai agenda tersembunyi bagi kepentingan politik atau individu tertentu. 



Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, ini dapat dilihat apabila mereka seolah-olah mempertikaikan dasar dan keputusan yang dibuat oleh Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Menurutnya, seharusnya mereka bersama membantu Perdana Menteri melaksanakan dasar yang diperkenalkan kerajaan, bukannya dilihat sebagai kumpulan yang lantang bersuara mempertikaikan perkara tersebut. 

“Apabila ada yang bangkitkan isu, seolah-olah pemimpin dari parti komponen tersebut tidak diberikan penerangan sewajarnya, bermakna mereka membuat kenyataan demi kepentingan politik masing-masing. 

“Lebih sakitkan hati, ada seperti ugut kerajaan jika kehendak mereka tidak dilayan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berhubung pemberian biasiswa kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera. 

Pertemuan berkenaan diadakan selepas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa wujud salah guna kuasa di JPA sehingga menyebabkan 363 pelajar yang memperoleh kesemua A+ gagal mendapat biasiswa meskipun Perdana Menteri tahun lalu bersetuju agar kesemua pelajar yang mendapat 8A+ dan ke atas mendapat biasiswa JPA. 

Ibrahim berkata, bukan Bumiputera turut diberikan biasiswa oleh JPA dan jumlahnya telah bertambah tahun demi tahun sehingga menyebabkan peratusan Bumiputera dikurangkan bagi memberi peluang kepada mereka. 

“Saya suka ingatkan JPA hanya sediakan biasiswa untuk rakyat di negara ini dan tidak menentukan universiti dan mata pelajaran yang diambil bagi setiap pemohon seperti yang didakwa sesetengah pihak. 

“Kemasukan pelajar ke universiti ditentukan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar dan mereka ini juga mempunyai syarat yang harus diikuti oleh pemohon sebelum mereka dikira layak diuniversiti di negara ini,” katanya. 

Ibrahim berkata, hasil daripada pertemuan dengan JPA itu mereka menggariskan beberapa perkara antaranya, pemberian biasiswa perlu berlandaskan Perlembangan, tidak lupa Melayu Sabah dan Sarawak. 

Tambahnya lagi, 67 peratus biasiswa untuk golongan Bumiputra, selain ia turut diberikan kepada semua bangsa dan yang terakhir tidak tunduk kepada desakan mana-mana parti politik di negara ini. 

Sementara itu, di SHAH ALAM, Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin menggesa BN selesaikan segera isu pemberian biasiswa supaya isu ini tidak menjadi polemik antara parti politik. 

Katanya, kerajaan BN perlu membuat satu garis panduan secara terperinci berhubung kriteria pelajar layak mendapat biasiswa. 

“Antara persoalan yang perlu diambil kira termasuk kriteria merit sama ada diambil berdasarkan keputusan peperiksaan, pendapatan keluarga, kaum atau prestasi ko-kurikulum,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. - SH


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular