Monday, May 16, 2011

Culik helah simpati: Zahid Hamidi perlu mohon maaf, tarik kenyataan


[KD] KUALA LUMPUR: KEADILAN menggesa Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf dan menarik balik kenyataan bahawa ugutan culik terhadap anak ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sebagai helah mendapat simpati.

Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran berkata Zahid yang juga Menteri Pertahanan tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian kerana bersifat prejudis dan cuba mencampuri urusan siasatan polis.

“Kenyataan Zahid itu tidak benar, tidak patut dan sangat prejudis ke atas siasatan polis yang dijalankan ke atas ugutan penculikan itu,” kata Surendran.

Tambahnya, Ahmad Zahid sepatutnya menunjukkan keprihatinan terhadap ugutan yang didakwa telah dilakukan ke atas anak Nurul. 
“(Sebaliknya) Zahid telah mencemarkan kedudukannya dengan bermain politik,” kata Surendran lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah, Jumaat lalu membuat laporan polis apabila menerima satu kiriman SMS dari seseorang yang tidak dikenali yang mengugut untuk menculik anaknya bagi memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim, berundur dari politik.

“Kita juga memohon jaminan daripada polis bahawa siasatan ke atas ancaman penculikan ini dijalankan dengan cepat dan adil,” tegas Surendran lagi.

Beliau dalam masa yang sama turut mengecam kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin  yang dituju  kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Anwar adalah individu dalam video seks fitnah.

“Kenyataan kedua-dua menteri ini  menunjukkan para pemimpin UMNO tidak mempunyai kepentingan dalam memastikan sistem keadilan jenayah dan institusi bebas beroperasi secara adil.

“Apabila ia melibatkan kepentingan UMNO, mereka bersedia untuk tidak mempedulikan undang-undang dan menggunakan pengaruh supaya mencapai tujuan mereka,” katanya.

P/s: Dalam hal keselamatan, menteri sepatutnya bersikap profesional. Perkara ini bukan perkara mainan.   Apa salahnya jika menteri tersebut berkata, "Kita memandang serius perkara ini dan kita akan siasat  siapakah pengirim sms itu dan kita akan cari  sampai ke lubang cacing..."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular