Oleh: ABD MAJID HAMID
WALAUPUN Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah membuat pengakuan terbuka dalam akhbar tempatan kelmarin bahawa beliau tidak menghadapi masalah dengan kepimpinan UMNO Sabah, namun kenyataannya mempunyai makna yang tersirat.
Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Kunsul Nahul berkata, madah berhelah Shafie gagal menyuci hati luka ahli UMNO Sabah yang terhiris akibat beberapa tindakan ‘Kurang Ajar’ Shafie yang tidak pandai berterima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
Kunsul berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Musa ketika merasmikan Persidangan Agung UMNO Bahagian Kota Marudu agar ahli UMNO di Sabah tidak mewujudkan puak-puak kerana akhirnya akan merosakkan parti yang menjadi tunjang kerajaan Negeri Sabah dan Malaysia.
“Walau Shafie mendakwa bahawa beliau tidak menang kerusi Naib Presiden UMNO jika mempunyai masalah dengan Musa adalah sandiwara; tetapi beliau lupa bahawa tanpa sokongan Musa dan Badan Perhubungan UMNO Sabah, beliau akan kempunan menjadi Naib Presiden dan menduduki kerusi menteri kanan,” ujar Kunsul yang masih terkilan dengan banyak program Shafie yang tidak mendapat perkenan UMNO Sabah kerana dibuat secarapolitical tresspassing atau menceroboh kawasan orang.
Kata Kunsul, sebagai Naib Presiden UMNO, Shafie wajar menunjukkan batas susila dan tata kesopanan yang akan menjadi ikutan generasi muda Sabah yang keliru dengan budaya tidak bersopan pembangkang dan pemimpin pusat yang meremehkan maruah ahli UMNO Sabah.
“Oleh itu, sebagai Ahli UMNO yang cintakan parti, saya mencadangkan agar Shafie mengadakan Majlis Kifarat Perdana dan memohon maaf secara terbuka daripada semua Badan Perhubungan UMNO Sabah di atas keterlanjurannya selama ini; termasuk menyalahguna kuasa untuk kepentingan peribadi sehingga memperlagakan Chin Su Phin, Rahim Ismail, Azman Ruslan dengan Musa Aman untuk merealisasikan agenda politik beliau,” kata Kunsul sebagai cara merapatkan kembali jurang perpecahan UMNO Sabah yang semakin melebar akibat ketidak pekaan Shafie terhadap rakan seperjuangannya di Sabah.
Memandangkan Shafie mempunyai masa hadapan yang cerah, namun masih gagal membuang sifat kurang ajar dan tidak bersopan; maka sewajarnya Majlis Kifarat Perdana adalah formula penyelesaian terbaik.
Kata Kunsul, Task Force UMNO (KDM) yang dianggap sebagai agen untuk memecah belah perpaduan UMNO Sabah dimansuhkan SERTA MERTA kerana bimbang ada kumpulan lain menubuhkan Task Force UMNO bagi kaum masing-masing.
“Oleh itu, jika Shafie terus ego dan berdegil, maka beliau sewajarnya mengucapkan sayonara kepada jawatan Naib Presiden UMNO dan Menteri KKLW yang dibanggakannya selama ini kerana sudah pastinya beliau akan tewas dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO kelak,” kata Kunsul yang memberi amaran keras bahawa Shafie sebagai pemimpin yang mudah lupa diri dan sering mencipta sengketa dengan pemimpin UMNO termasuk di Kedah dan Sabah.
Kata Kunsul, Kifarat Perdana ini amat penting kerana ekoran kerakusan Shafie menyerang Musa, maka wujudnya sebuah NGO (Movement For Change) Anti Musa-Anti Shafie yang berikrar untuk menentang kepimpinan Ketua Menteri Sabah dan memperlekehkan jasa Shafie Apdal. - sabahkinimirror
No comments:
Post a Comment