Thursday, May 19, 2011

Coretan Isu-Isu Semasa

Banyaknya isu, sikit sangat masa untuk menjelaskannya semua. Maka dilakukan coretan-coretan dari masa ke semasa. Harap memahami.


SERANGAN TERHADAP DAP
Saya melihat dengan penuh terhibur bagaimana BN berhempas pulas ingin menangani masalah sokongan bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, terhadap PR. Ini difahami BN sebagai masalah besar bagi mereka. Amat jelas, masyarakat bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina sudah menolak parti-parti Cina dalam BN. Maka untuk kekal sebagai “satu-satunya gabungan yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia”, sebagai dakwaan BN selama ini, satu formula perlu dikenal pasti untuk mendapatkan kembali undi masyarakat Cina. Malangnya, undi masyarakat Cina sudah bersama PR dan kelihatan akan terus bersama PR sehingga PRU ke-13.


Oleh yang demikian, dianggap bahawa punca sokongan masyarakat Cina terhadap PR adalah berpunca dari DAP semata-mata dan untuk menanganinya, DAP perlu dijadikan sasaran. Maka bermulalah serangan terhadap DAP dengan pada mulanya mengistiharkannya sebagai sebuah parti rasis! Tuduhan DAP rasis dimainkan UMNO khususnya untuk lebih kurang dua minggu, bermula semenjak selesainya Pilihan Raya di Sarawak dan apabila dilihat ianya tidak mencapai apa yang diinginkan, berubah pula rentaknya.

Rentak kedua mengejutkan semua, ia itu setelah menyerang dan mengutuk DAP dengan begitu hebat sekali, tiba-tiba berlakunya U-turn yang amat besar apabila UMNO menjemput DAP menyertai BN! Hari itu diajaknya PAS dan MCA membantah, kali ini dijemput pula DAP. Sudah pasti MCA tergeliat dalam diam disebabkan ianya pukulan yang memalukan bagi mereka. Namun apabila DAP menolak, MCA bernafas lega tetapi bermula pula serangan seterusnya terhadap DAP.

Kali ini dikatakan pula DAP bersama Kristian ingin menjadikan Kristian agama rasmi dan melantik seorang PM Kristian. Pelik dan ajaib, bila pula Karpal Singh jadi Kristian? Walhal si Jeff Ooi sendiri bukan seorang Kristian! Tetapi, sepertimana yang telah sedia maklum, UMNO bukannya kisah dengan apa yang dikatakan, samada benar atau sebaliknya, politik mereka sudah jelas politik fitnah dan adu-domba.

Yang terkini, dikatakan pula DAP kommunis! Saya rasa UMNO/BN kena buat keputusan, adakah DAP itu rasis, fundamentalis Kristian atau Kommunis? Namun, yang jelas rakyat boleh membuat kesimpulan bahawa UMNO adalah penipu, dulu kini dan selamanya.

Dalam pada itu, perlu dinyatakan bahawa pada masa ini, dengan penolakan bukan Melayu terhadap BN, hanya PR sahaja yang mampu membentuk kerajaan berbilang kaum yang menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia!

PERANG SALIB DIISTIHAR!
Ada seorang Melayu beragama Islam mengistiharkan ‘perang salib’ ke atas orang Kristian. Ini pun menyebabkan saya tersengih lebar. Apa pula kerja orang Melayu Islam ini mengistiharkan ‘perang salib’? Jelas beliau ingin memperkasakan kejahilan dirinya sendiri. Untuk pengetahuannya dan mereka yang seangkatan dengannya, Perang salib atau dalam Bahasa inggerisnya, Crusade, diistiharkan oleh Pope sebagi peperangan demi kepentingan agama Kristian yang simbolnya adalah salib, maka dinamakan ‘perang salib’! itulah si Melayu Islam ni, kalau duduk diam di rumah, orang tak akan tahu yang awak tak tahu. Sekarang satu dunia tahu bahawa awak tidak tahu apa yang awak katakan!

Orang Islam istihar perang ‘sabilillah’ atau diringkaskan oleh orang Melayu kita, ‘perang sabil’. Bukan ‘perang salib’. Kalau itu pun tidak tahu, saya nasihatkan orang Melayu Islam berkenaan untuk balik rumah dan tidur sahaja, jangan menyusahkan orang lain.

Perang sabilillah ni pula maknanya ‘perang di jalan Allah’. Ianya bertujuan untuk menegakkan Islam demi keadilan untuk semua, iaitu untuk orang Islam dan juga bukan Islam. Ianya bukan untuk menegakkan ‘ketuanan’ satu kaum atas kaum yang lain. Konsep menegakkan ketuanan sesuatu kaum ke atas kaum yang lain ditolak Islam sebagai amalan zaman jahilliyyah kerana sebelum datangnya Islam. itulah yang sibuk dilakukan bangsa Arab jahilliyyah, iaitu perang untuk memenangkan kabilah masing-masing.

Hakikatnya, ummat Islam berjuang untuk menyeru manusia kepada jalan Allah, bukan dengan paksaan tetapi dengan membebaskan manusia dari kongkongan yang dikenakan ke atas mereka oleh pemerintah yang zalim. Kongkongan ini menafikan kebebasan mereka untuk membuat pilihan secara bebas. Setelah kongkongan ditepikan, ditarik minat manusia melalui akhlak yang mulia dan keadilan. Bagaimana kita boleh menarik minat manusia kepada Islam kalau kita hanya mementingkan bangsa kita sendiri dan ingin menegakkan ketuanan satu bangsa ke atas bangsa lain? Akhirnya kita menjadi penghalang kepada manusia datang ke jalan Allah melalui perjuangan kita yang sempit dan songsang! Oleh itu ianya tidak lagi menjadi perjuangan ‘sabilillah’ kerana menghalau manusia dari jalan Allah dan sebaliknya menjadi ‘sabilisSyaitan’ naudzubillah. Itulah sebabnya Rasulullah (SAW) telah menafi sebagai ummat mereka yang berjuang atas dasar Assobiyyah yang ditakrif Baginda sebagai “menyokong kaum kamu atas dasar kezaliman”.

DEMI KUASA PAS SANGGUP KORBANKAN PRINSIP?
Ada yang masih tidak faham dan termakan dengan dakyah BN yang mendakwa PAS telah korban prinsip demi kuasa kerana sanggup berkerjasama dengan DAP dan menolak kerjasama dengan UMNO! Yang termakan dengan dakyah ini memang otak mereka ‘slow’. Saya ingin tanya, kalau PAS gilakan kuasa, tidakkah lebih mudah untuk PAS sekiranya terus berkerjasama sahaja dengan UMNO? Bukankah kalau PAS bersama UMNO dalam BN, PAS akan terus menjadi sebahagian dari pemerintah dan berkuasa?

Maknanya ada yang lebih penting dari sekadar ‘berkuasa’ bagi PAS. Ianya adalah prinsip perjuangan yang ingin terus diusahakan PAS sehingga sanggup menolak tawaran terus berkuasa bersama BN! Kalau masih tidak faham lagi, otaknya bukan sekadar slow, tetapi sudah stop?

Maka sudah pasti ada yang bertanya, apakah prinsip perjuangan yang begitu penting sehingga PAS sanggup menolak tawaran berkuasa bersama BN? Prinsipnya ialah politik bersih dan bertanggung-jawab, bebas dari rasuah, fitnah dan adu-domba. Dan inilah yang dituntut oleh Islam dan ini juga yang dipersetujui sebagai matlamat bersama PR. Kalau bersama UMNO/BN, PAS akan terpalit dengan segala amalan rasuah, fitnah dan adu-domba yang merupakan darah daging UMNO/BN.

PAS MINORITI DALAM PR
Ada satu lagi kenyataan yang sering dikeluarkan mereka yang kononnya ingin sokong PAS, iaitu, “saya nak sokong PAS, tapi PAS minoriti dalam PR”. Bunyinya macam bijak tetapi sebenarnya ianya kurang bijak ; seperti yang mengistiharkan perang salib tadilah!

Hakikatnya kalau masalahnya adalah “PAS minoriti dalam PR” seperti yang didakwa, maka penyelesaiannya adalah memenangkan PAS di kerusi-kerusi yang ditandingi sehingga bertambah kerusi PAS dan PAS tidak menjadi minoriti lagi! Bagaimana masalah ini dapat diselesaikan sekiranya atas alasan itu maka tidak diundi calon PAS? Adakah dengan mengalahkan PAS maka PAS tidak lagi menjadi “minoriti dalam PR”? Sudah pasti tidak! Itulah yang saya sebut tadi, bunyi macam bijak tetapi pada hakikatnya ‘slow’.

Lagipun, kalau dilihat secara objektif, keadaan sebenarnya tidak seperti yang didakwa. Hakikatnya PAS mempunyai 2 Menteri Besar (dulu 3), sedangkan DAP ada 1 dan PKR juga 1. PAS mempunyai jauh lagi banyak kerusi DUN dan memang itulah yang menjadi sasaran PAS pada PRU ke 12 yang lepas. Dari sudut kerusi Parlimen pula, PAS tidak jauh kebelakang bila dibandingkan dengan PKR dan DAP.

Namun digunakan hujjah itu secara rambang. Hakikatnya, bagi Negeri Selangor, insyaAllah UMNO/BN tidak akan mampu memenanginya kembali. Oleh itu, bagi yang ingin PAS tidak menjadi minoriti, maka undilah PAS untuk menggantikan UMNO!

PERBICARAAN DSAI – LIWAT 2
Sememangnya telahpun dijangka, keputusan mahkamah akan menyebelahi pihak Saiful. Ini adalah kerana kekuatan UMNO terletak di ‘tubuh’ Saiful. Sekiranya kesnya ditolak, maka akan terbukti kezaliman UMNO terhadap DSAI selama ini. Dan dengan itu akan terdedah segala pembohongan mereka.

Ini adalah seperti yang didakwa Dato’ Mohd Zin, bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah PDRM yang mendakwa penipuan dan putar-belit dalam kes DSAI akan terpaksa diteruskan demi menutup penipuan pemerintah. Dalam Bahasa Inggeris dikatakan, “one lie leads to another”. Dalam erti kata yang lain, seseorang itu terpaksa terus menipu demi menutup penipuan asal yang dilakukannya.

Bagi saya, ini hanya menambahkan hujjah untuk kita menukar kerajaan, dari BN ke PR. Ini adalah supaya kongkongan ke atas masyarakat dan Negara ditiadakan dan semua boleh bergerak tanpa ugutan atau paksaan dari pihak berkuasa yang ingin menutup kesalahan yang telah mereka lakukan. Negara dirosakkan demi menutup kesalahan mereka, supaya mereka boleh terus berkuasa. Proses kerosakan ini berterusan sejak 1998, sehingga segala institusi keadilan hilang kredibiliti dan kerosakan ini akan diteruskan sehingga punca kerosakan itu diketepikan dan ditiadakan. Iaitu mereka yang berkuasa diganti dan kesalahan mereka didedahkan dan dengan itu penipuan tidak lagi perlu diteruskan.

Saya menjangkakan mereka akan mengulangi skrip yang lama dan memenjarakan DSAI walaupun jelas beliau tidak bersalah dalam kes ini. Mereka tiada pilihan. Pilihan lain bererti mereka akan hilang kuasa dan segala-galanya akan terdedah. Akan turut hilang harta mereka dan kedudukan mereka.

Rakyat perlu menyedari, tiada yang mampu menghalang kezaliman ini selain rakyat itu sendiri. Jangan bersekongkol dengan kezaliman, jangan bersubahat. Bersama kita menolak politik fitnah dan adu-domba, tolak BN.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular