Wednesday, May 18, 2011

Ibrahim Ali: Pemimpin PAS juga sokong Perkasa

PETALING JAYA: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali mendakwa ada pemimpim PAS menyokong pertubuhan itu memperjuangkan agama Islam dan hak orang Melayu.


Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas itu tidak mahu menamakan pemimpin PAS berkenaan.


“Ada pemimpin PAS yang saya jumpa menyatakan sokongan mereka kepada perjuangan Perkasa menegakkan agama Islam dan hak orang Melayu,” katanya dalam satu majlis anjuran pertubuhan itu di ibu negara petang semalam.

Kira-kira 300 ahli dan penyokong Perkasa menghadiri program tersebut yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, menurut Ibrahim pemimpin PAS Kelantan, Datuk Husam Musa tidak menyokong Perkasa memperjuangkan Islam dan hak orang Melayu.

Ibrahim mendakwa, bekas naib presiden PAS itu risau kerana peranan parti itu telah diambil alih oleh Perkasa.

Malah beliau juga mengulas mengenai kenyataan Husam supaya beliau (Husam) tidak menyibuk dalam isu jihad.

“Saya mahu Husam selesaikan dulu isu ladang rakyat, bazar Tok Guru yang menjadi perbualan rakyat Kelantan,” tambahnya.

lsnin lalu dalam satu kenyataan media, Husam menasihatkan presiden Perkasa itu supaya tidak menyalahgunakan kalimah ‘jihad’ apatah

lagi menyelitkan agenda politik Machiavelli untuk mengekalkan kuasa Umno-Barisan Nasional.

Katanya, isu yang berbangkit mengenai kumpulan Kristian ingin menukar kedudukan Islam sebagai agama rasmi adalah samar-samar dan berunsur fitnah.

Ibrahim sebelum itu memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan “perang jihad” jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam di negara ini. -FMT

Husam: Ancam perang salib bukan jihad 'tulen'



Slogan jihad dan ancaman perang salib yang digemparkan oleh presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali bukanlah bentuk jihad "tulen" yang dituntut Islam, kata exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa.



PERKASA tidak sepatutnya menyalahgunakan slogan jihad seperti itu, lebih-lebih lagi berhubung isu yang samar dan berunsur fitnah.



"Islam tidak mengizinkan jihad dilancarkan atas kedudukan yang samar-samar seperti ini," kata Husam ketika mengulas kenyataan Ibrahim yang mendakwa masyarakat Kristian "mencabar posisi, kedaultan orang Melayu Islam”



Kenyataan Ibrahim yang diucapkan dalam satu ceramah pada hujung minggu lalu adalah berhubung satu dakwaan bahawa sekumpulan pastor merancang untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara ini, dan melantik seorang perdana menteri daripada kalangan penganut agama itu.



Dakwaan berkenaan dilaporkan pada 2 Mei lalu oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia. Susulan laporan itu, akhbar berkenaan dikenakan surat teguran oleh Kementerian Dalam Negeri atas laporan yang disifatkan "menggemparkan fikiran rakyat."



Mengulas lanjut, Husam berkata PERKASA juga tidak dibangunkan di atas ajaran Islam yang syumul (menyeluruh), malah "tidak layak membangkitkan isu jihad yang seharusnya tulen dan bersih," kata Husam lagi.



Dalam satu kenyataan hari ini, Husam juga berkata, keadaan itu ditunjukkan melalui tindakan PERKASA yang didakwa hanya menggunakan "isu kaum dan agama bagi kepentingan politik sebelah pihak."



"PERKASA sendiri adalah badan bermotif politik yang jelas mempertahankan sesetengah kemungkaran dengan cara tidak menegur atau bersuara (terhadap) amalan seperti rasuah, kehilangan kedaulatan undang-undang, kepincangan sosial, kecelaruan dasar-dasar dan kegagalan Umno/BN selama ini.



"Sebagai contoh, di manakah PERKASA apabila Presiden MCA selaku rakan utama Umno dalam BN datang ke Kelantan untuk mengubah amalan tidak mengizinkan premis-premis perjudian dibuka bagi rakyat Kelantan yang majoriti 95% beragama Islam?," soalnya.



Husam juga berkata, PERKASA boleh menguatkan Islam melalui dasar dan amalan yang selari dengan Islam dan bukannya dengan kenyataan berapi-api semata-mata.



"Jika jihad hendak dilaksanakan mengikut keutamaan ajaran Islam, kepincangan-kepincangan yang berterusan yang dilakukan oleh Umno/BN adalah lebih utama diperbetulkan," katanya lagi.



Tambahnya, ahli parlimen Pasir Mas tersebut juga perlu mengembalikan semula kerusi berkenaan kepada PAS memandangkan Ibrahim bertanding bagi kerusi berkenaan pada 2008 atas tiket PAS. 
"Orang yang hendak berjihad adalah wajib membayar hutang terlebih dahulu kerana roh orang tidak membayar hutang tergantung antara bumi dan langit. Kerusi parlimen Pasir Mas adalah dikira sebagai hutang Datuk Ibrahim Ali," kata Husam lagi. -mk/GB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular