Wednesday, May 18, 2011

Garis Panduan Umum Operasi Tangkap Khalwat

DrMAZA.com
Memandang Islam cuba sedaya upaya menutup maksiat peribadi seperti khalwat, zina, minum arak dan seumpamanya, maka garis panduan operasi ‘tangkap khalwat’ mestilah diperketatkan. Ini kerana operasi‘tangkap khalwat’ selalu menimbulkan pertentangan dengan prinsip-prinsip Islam dalam hal ini. Ramai orang menyangka tanpa operasi ‘tangkap khalwat’ maka bertambah perzinaan dalam masyarakat, sedang mereka lupa zina itu berkembang disebabkan maksiat terbuka seperti media, hiburan, pentas seni dan seumpamanya yang secara terang mempromosikan maksiat. Malang sekali, jika maksiat tertutup diintip dan dicari sementara yang nyata dibiarkan dan dipromosi.

Maka dengan ini saya mencadangkan beberapa perkara berikut mestilah difahami dan diberikan perhatian dalam operasi ‘tangkap khalwat’; 
- Gambar Hiasan
1. Operasi ini hendaklah tidak menjadi punca kemungkaran tajassus (mengintip aib orang lain) berkembang dalam masyarakat Islam.


Maka pemberi maklumat hendaklah dipastikan ia tidak diperolehi berdasarkan perbuatan tajassusnya. Sebaliknya, berasaskan zahirnya kemungkaran tersebut. Seperti nampak dari luar rumah, atau bunyi yang meyakinkan maksiat sedangkan berlaku. Pemberi maklumat memperolehi secara jelas, bukan tajassus atau intipan. Jika pemberi maklumat melakukan tajassus tanpa keperluan, maka dia fasik. Pemberitahuan orang fasik ditolak. Menerima pemberitahuan bersumberkan tajassus akan menggalakkan masyarakat kita mengintip antara satu sama lain. Maka, mungkin akan diintip hubungan seks pasangan suami isteri atas‘kononnya’ hendak memastikan mereka tidak melakukan maksiat. Sebab itu apabila dibawa seorang lelaki kepada Ibn Mas’ud, lalu diberitahu kepadanya: Lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abdullah bin Mas’ud:

“Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih)
2. Tidak Boleh Operasi Itu Sendiri Berasaskan Tajassus.


Hendaklah kemungkaran yang dicegah itu apabila ia nyata atau diketahui secara yakin. Ini seperti nampak melalui tingkap atau cermin yang jelas. Aktiviti yang dimaklumi oleh masyarakat sekeliling atau berdekatan. Maka tajassus seperti memeriksa bilik ke bilik, atau meminta dibuka pintu untuk diperiksa tanpa sebarang kemaslahatan mendesak iaitu ancaman keselamatan awam adalah bercanggahan dengan ruh Islam. Ia menggalakkan sikap prasangka dan boleh memalukan atau menjatuhkan maruah mereka yang diperiksa. Firman Allah: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani”. (Surah al-Hujurat ayat: 12)
3. Operasi Tidak Boleh Berasaskan Maklumat Yang Tidak Pasti


Sekalipun tanpa intipan, tetapi jika berita berasaskan syak wasangka atau agakan semata-mata tidak boleh dijadikan teras operasi. Al-Quran melarang menerima perkhabaran orang fasik. Ini seperti firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat: (maksudnya)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Maka pemberi maklumat atau informer yang diketahui terlibat dengan kerja-kerja fasik secara jelas hendaklah ditolak. Termasuk dalam hal ini ‘kaki tajassus’. Al-Imam Ibn Kathir menyebut bahawa berdasarkan ayat ini sebahagian ulama menolak riwayat orang yang tidak diketahui latarbelakangnya dibimbangi ia fasik.
4. Pihak Pencegahan tidak boleh menggalakkan suasana suka mengadu keaiban sesama muslim –secara langsung atau tidak- tanpa kesedaran sendiri melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Mungkar.


Nabi s.a.w tidak suka kes-kes diangkat kepada baginda. Sikap suka mengangkat kes-kes maksiat peribadi kepada penguasa adalah menyanggahi ruh Islam yang menyuruh ditutup keaiban saudara muslim. Sebaliknya, masyarakat hendaklah digalakkan dan diberi kesedaran melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Munkar kerana itu adalah tanggungjawab semua pihak. Maka pemberian saguhati kepada pemberi maklumat dalam maksiat peribadi ini hendaklah dihentikan. Daripada Abi Barzah al-Aslami, katanya: Bersabda RasululLah s.a.w:

“Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka Allah akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari keaibannya, maka Allah akan mendedahnya sekalipun dirumahnya. (Hadith sahih. Riwayat Abu Daud dan Ahmad).
5. Tidak boleh didedahkan maksiat ini kepada umum melainkan untuk tujuan penghakiman.


Maka tindakan membawa media untuk membuat liputan semasa penangkapan adalah menyanggahi prinsip-prinsip menutup aib dalam Islam. Bahkan perbuatan menyiarkannya kepada awam seperti di internet dan media massa adalah haram kerana mendedahkan keaiban orang lain. Ini tidak boleh disamakan dengan hukuman zina di khalayak ramai yang pasti dengan saksi yang yakin. Sebab, Nabi s.a.w berusaha menolak kes-kes zina, dihukum setelah pasti tanpa didedahkan aktiviti seks secara terperinci melainkan proses penghakiman.

6. Tidak boleh menuduh mereka yang berkhalwat itu berzina selagi tiada empat orang saksi yang melihat secara terperinci proses zina itu berlaku tanpa syak.


Jika pegawai itu menuduh tanpa bukti, maka hendaklah dibicarakan di bawah peruntukan qazaf.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular