Monday, August 26, 2013

Apakah peluang pekerjaan di negara begitu banyak sehingga memerlukan tenaga kerja sebegitu besar dari negara Bangladesh?

KENYATAAN MEDIA 
1.4 juga pekerja Bangladesh, bagaimana kerajaan boleh pastikan mereka akan kembali ke negara asal?

Merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa seramai 1.4 juta pekerja Bangladesh yang dijangka dibawa masuk secara berperingkat ke negara ini menjelang awal tahun depan.

PAS memandang perkembangan ini dengan serius. Apakah peluang pekerjaan di negara begitu banyak sehingga memerlukan tenaga kerja sebegitu besar dari negara Bangladesh?

Apakah kerajaan sudah memikir impaknya terhadap indeks jenayah dan orang setempat dengan kebanjiran warga asing ini?

Melihat kepada kebanjiran warga asing yang sudahpun tidak terkawal kini, apakah kerajaan sudah ada jalan memastikan warga asing ‘tidak hilang’ dari pemantauan negara dan memastikan mereka dihantar pulang apabila habis tempoh kontrak pekerjaan mereka?

Bagaimana pula impaknya pada rakyat Malaysia yang dikahwini warga Bangladesh ini? Apakah warga Bangladesh ini akan terus diberi kerakyatan semata-mata mengahwini rakyat tempatan?

Bagaimana kerajaan boleh memastikan golongan ini tidak diMelayukan dan dijadikan warganegara semata-mata kerana beragama Islam?

Zahid mewar-warkan bahawa warga Bangladesh akan diberi kad pengenalan khas itu akan dilengkapi teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), biometrik, fungsi kad debit dan kad simpan nilai (seperti Touch & Go).

Tapi bagi PAS, perkara itu bukanlah terpenting, kerana sebelum ini terdapat pelbagai kes di mana kad pengenalan sementara dan berwarna merah juga dapat didaftarkan sebagai pengundi oleh SPR.

Apakah jaminan kerajaan untuk memastikan golongan ini tidak diberikan kad pengenalan biru dan dapat mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam daftar SPR?

Kerajaan perlu telus untuk memaparkan jumlah yang diminta oleh setiap sektor pekerjaan. Dan apakah peluang pekerjaan tersebut tidak boleh diisi rakyat tempat?

Krisis ekonomi yang sedang melanda Indonesia dan Thailand tidak harus dipandang ringan. Dengan kebanjiran 1.4 warga Bangladesh ini, apakah rakyat Malaysia perlu bersaing untuk mendapatkan pekerjaan, lebih-lebih lagi sekiranya kemerosotan ekonomi berlaku.

Rakyat Malaysia, terutamanya Bumiputera dan kaum Melayu harus peka kepada isu ini. Terlalu banyak contoh di negara kita di mana warga asing yang beragama Islam dan mengambil keputusan untuk memeluk Islam mengambil kesempatan semata-mata untuk dilihat sebagai seorang Bumiputera dan Melayu untuk menikmati hak-hak sebagai rakyat Malaysia. Mereka tidak akan memilih untuk menjadi orang Cina dan India atau bangsa lain.

Sekiranya situasi ini berterusan, anak-anak kita akan bersaing dengan anak-anak warga asing ini terutamanya dari pelbagai segi sosial dan ekonomi.

Kerajaan perlu memastikan masalah pengangguran di dalam negara diselesaikan dahulu. Jangan kerana semata-mata ada industri yang inginkan buruh murah, maka kedaulatan negara digadaikan. Kerajaan seharusnya mencari penyelesaian bagaimana rakyat sendiri boleh memenuhi ruang pekerjaan ke dalam industri yang memerlukan tenaga buruh rendah dan bukannya dengan mengambil jalan mudah dengan mengambil 1.4 juta warga Bangladesh.

Apakah ini satu lagi cara untuk pihak tertentu mengaut keuntungan hasil daripada komisyen membawa masuk warga Bangladesh yang ramai ini?

Mohon kerajaan BN menjawab.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular