Monday, July 15, 2013

KUIN KIAN BERCELARU DIBAWAH BN

Mengapa Datuk Dr. Latifah dipecat dari KUIN?
Pendaftar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Datuk Dr. Latifah Hassan dipecat dari jawatan pendaftar ekoran pertukaran kerajaan Pakatan Rakyat kepada kerajaan Umno di Kedah.
Dua kakitangan atasan yang turut menerima nasib yang sama ialah Ketua Penolong Bendahari, Che Kartina Mohd Idrus dan pensyarah Kulliyyah Syariah, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin. Dalam bahasa yang lebih lunak, mereka bukan dipecat sebaliknya diberhentikan.

Iyalah orang Melayu suka guna bahasa lunak. Contoh mereka sebut 'bukan Islam' bukannya 'kafir', walaupun maksudnya sama.

Penguasa yang zalim sama saja sikapnya di atas mukabumi ini, dari Mesir sampai ke Malaysia. Langkah pertama yang diambil sebaik sahaja berkuasa ialah menyingkirkan mana-mana individu yang mereka anggap tidak sehaluan dalam pentadbiran.

Dr. Latifah bukan orang politik sebaliknya orang akademik tulen. Beliau dilantik kerana professionalismenya. Pernah bertugas sebagai pendaftar di UUM selama 23 tahun, 10 tahun di UKM dan dua setengah tahun di Unisel. Dr. Latifah mengikat kontrak dengan KUIN selama dua tahun dan bertugas baru enam bulan.

Tiada apa kesalahan besar yang dilakukan beliau. Cuma ketika kemelut melanda KUIN di bawah pimpinan Rektor Prof. Dr. Jamil Osman, Dr. Latifah tidak bersama dengan kumpulan 'pemberontak' yang menyerang rektor KUIN pada masa itu. Pentadbir yang baik memang begitu, tidak perlu terbabit dengan politiking dalaman sebaliknya memfokuskan kepada professionnya semata-mata. Atas 'dosa' tersebut mungkin menjadi sebab Jawatankuasa Perkhidmatan dan Perjawatan membuat keputusan memberhentikannya.

Apa salahlaku yang dibuat oleh Dr. Latifah tidak diketahui. Notis pemberhentian hanya menyebut "untuk kepentingan perkhidmatan". Namun di belakang tabir tersebar khabar angin bahawa antara sebab utama pemecatan ialah kerana beliau adalah orang kuat Tan Sri Kalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Hanya kerana dua setengah tahun di Unisel, beliau menjadi orang Tan Sri Khalid, mengapa tidak dicop orang Ustaz Azizan? Lebih panjang tempohnya beliau berada di UUM dan UKM, mengapa beliau tidak didakwa orang Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Badawi? Dangkal sungguh jika itulah alasan yang dicipta untuk pemecatannya.

Persoalannya Dr. Latifah berjawatan pendaftar, sepatutnya Mesyuarat Lembaga Pengarah Insaniah yang membuat keputusan bukannya sebuah jawatankuasa yang lebih rendah kedudukannya dari pendaftar. Surat pemberhentian terhadap beliau pula dikeluarkan oleh Che Barni Mohd Noor selaku Pemangku Rektor pada 30 Jun untuk pemberhentian pada 1 Julai 2013. Jawatan selaku Pemangku Rektor hanya disahkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah KUIN yang diadakan pada 6 Julai 2013. Segalanya bercelaru.

Semasa di bawah kerajaan Pakatan terdapat kakitangan yang terang-terangan menentang pentadbiran tetapi tiada yang diberi notis pemecatan 24 jam. Jika ada yang melampau sangat, mereka didahului dengan surat tunjuk sebab. Itu bezanya antara pentadbir yang bertanggungjawab lagi bertimbangrasa dengan pentadbir yang tiada perikemanusiaan.

KUIN kini sudah banyak bercelaru sejak kerajaan negeri bertukar tangan. Apabila Dato' Dr. Jamil meletakkan jawatan, Rektor KUIN dipangku oleh Dato' Che Barni Mohd Noor yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Rektor. Beliau adalah pegawai kerajaan negeri (KCS) yang tiada langsung pengalaman memimpin institusi pendidikan. Ada sumber mendedahkan, apabila KUIN membuat permohonan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk mencadangkan Che Barni sebagai pemangku rektor maka Kementerian keberatan, lalu mengizinkan hanya untuk tiga bulan sahaja.

Seorang lagi yang dipecat ialah Che Kartina Mohd Idrus, sebelum ini memegang jawatan pemangku Bendahari KUIN. "Selepas Che Barni menjadi pemangku rektor, saya tidak pernah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat yang diadakan di Mergong," ujar Che Kartina. Nampak sangat tindakan Che Barni langsung tidak professional.

Dalam perkembangan lain, pusat pentadbiran KUIN dilaporkan sudah dipindahkan semula dari kampus induk Kuala Ketil ke tapak asal di Mergong walaupun kedudukan di Kuala Ketil lebih selesa. Baru beberapa bulan pejabat pentadbiran berpindah dari Mergong ke Kuala Ketil, kini berpindah balik pula. Apakah mereka tidak mengiktiraf kampus induk KUIN yang telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong? - Oleh Zulkifli Yahaya

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular