Tuesday, July 16, 2013

Apabila demokrasi songsang...

PRU13 menampakkan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Ini sekali gus mendedahkan kepada semua, termasuk seluruh dunia apa berlaku apabila perkara asas kenegaraan tidak disusun adil dan betul.

(K) NURUL IZZAH
Maksud saya, jika proses pilihan raya itu bebas, telus dan adil; jika media bebas bersuara untuk semua rakyat tidak menjadi alat propaganda serta hasutan menakutkan rakyat menggunakan hujah perkauman, agama dan institusi raja; jika perdebatan dasar diadakan antara semua pihak bertanding; dan jika dakwat kekal benar-benar kekal, maka tidak berlaku demokrasi songsang.

Bila demokrasi songsang, aspirasi majoriti rakyat yang memilih Manifesto Pakatan Rakyat dinafikan. Pendidikan percuma, penurunan harga minyak, kereta, elektrik, perumahan mampu milik, kenaikan royalti minyak 20 peratus untuk negeri-negeri, permit teksi individu dan banyak lagi, maka tidak terlaksana untuk kesenangan rakyat.

Bila demokrasi songsang, pemulihan demokrasi agar prinsip pemisahan kuasa sebagai fungsi timbang-tara agar kerajaan tidak menyalahgunakan kuasa, di mana institusi kehakiman bertambah bebas serta institusi Parlimen diberikan hak memantau kementerian dan agensi kerajaan termasuk hak mengesahkan atau meratifikasikan perjanjian penswastaan mahupun perjanjian antarabangsa seperti perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang merisaukan banyak pihak bahawa ekonomi dan kedaulatan undang-undang negara akan dijajah semula barat, gagal dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

Bagaimana demokrasi ‘songsang’ ini boleh berlaku? Secara ringkas, jawapannya adalah sistem dan proses pilihan raya tidak adil. Pertama, pembahagian kerusi Parlimen tidak sama rata, di mana perbezaan bilangan pengundi sesuatu kawasan pada asalnya tidak boleh melebihi 15 peratus dimansuhkan pada 1962. Ini bermakna perbezaan 144,159 pengundi di Kapar berbanding 15,791 di Putrajaya melebihi 15 peratus iaitu menjadi 812 peratus. Ini menjadikan wujudnya kerusi songsang apabila 130 kerusi Parlimen adalah kerusi kecil, manakala hanya 92 adalah kerusi besar. Sepatutnya kesemua 222 kerusi Parlimen menjadi kerusi serata dengan perbezaan tidak melebihi 15 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.

Kedua, nisbah wajar bilangan kerusi bandar dan luar bandar menjadi tidak seimbang apabila ia juga dimansuhkan pada 1973. Bayangkan hampir 70 peratus rakyat yang tinggal di dalam bandar hanya mendapat 35 peratus atau 77 kerusi Parlimen berbanding 65 peratus atau 145 kerusi terletak di luar bandar, maka songsang hak demokrasi warga bandar majoriti.

Ketiga, akibat pembahagian kerusi tidak sama rata dari segi jumlah pengundi mahupun tidak seimbang di antara kawasan bandar dan luar bandar, maka dengan hanya 19 peratus pengundi yang mewakili 112 kerusi Parlimen untuk majoriti mudah menubuhkan kerajaan. Undi songsang bila 1 dari 5 pengundi menentukan kemenangan. Dan parti manakah yang mengawal dan mengepung 112 kerusi ini?

Keempat, pendedahan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja, warga asing yang menerima kerakyatan segera dan hak mengundi di Sabah nyata membuktikan penambahan pengundi khas termasuk saman mahkamah oleh saya dan beberapa tokoh lain daripada Pakatan untuk kenal pasti dan keluarkan pengundi musykil atau hantu yang alamat rumah tidak lengkap atau nama bertindan, termasuk sistem undi pos dan awal yang dibuat dalam keadaan dikawal, tambahkan kerunsingan rakyat yang cintakan negara.

Kelima, apabila penggunaan dakwat kekal yang diwartakan gagal berfungsi, apabila dakwat yang digantikan dengan pewarna makanan dikatakan boleh dicuci dalam tujuh minit dan tidak kekal selama tujuh hari seperti yang dijanjikan, maka kesempurnaan proses pilihan raya menjadi cacat.

Paling mengecewakan adalah pihak kerajaan BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah diberikan lima tahun untuk membuat penambahbaikan sistem pilihan raya. Suara rakyat melalui NGO-NGO seperti Bersih mahupun Jawatankuasa Terpilih Parlimen pada 2011 nyata ditolak dengan alasan tidak munasabah.

Oleh itu, pada hemat saya apabila sesuatu perjanjian tidak ditepati, maka seperti ibadah puasa dan lain-lain ibadah atau perjanjian, apabila tidak mencukupi syarat akan dihukum batal.

Jika puasa batal adalah wajib umat Islam membuat puasa ganti, dan jika pilihan raya batal...? SH

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular