Monday, November 14, 2011

Selangor : Gaji Minima diperluaskan kpd Sektor Swasta??

SHAH ALAM, 14 November : Kerajaan Negeri Selangor akan memperuntukkan kira-kira RM100 hingga RM150 ribu kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menjalankan kajian terperinci berkenaan pelaksanaan gaji minima dengan lebih meluas.

Sebelum ini, menerusi laporan media, MTUC menggesa kerajaan negeri Selangor memperluaskan skop pelaksanaan gaji minima kepada golongan pekerja sektor swasta dan tidak terhad kepada kakitangan anak syarikat kerjaan negeri sahaja.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri mahu pelaksanaan gaji minima diperluaskan kepada sektor-sektor lain termasuk sektor swasta.

Namun, pelaksanaan menyeluruh hanya mampu dilaksanakan diperingkat kerajaan persekutuan kerana bidang kuasa kerajaan negeri terhad, katanya.

Tambahnya, Selangor sebagai negeri perintis yang mendahului kerajaan persekutuan dalam usaha ini berharap ia menjadi ikutan negeri-negeri lain dalam mendepani masalah kemiskinan rakyat.

“Hasil kajian MTUC ini kita akan bawa berbincang dengan kerajaan Persekutuan untuk fikirkan cara pelaksanaannya.

“Kalau kajian yang dilakukan MTUC ini berjaya dan keputusannya baik, kenapa tidak pihak swasta melakukan perkara yang sama,”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Adun Kota Damansara, Nasir Hashim berhubung pelaksanaan gaji minima.

Pada 9 November lalu, Khalid menerusi Pembentangan Belanjawan Selangor 2012, mengumumkan pelaksanakan dasar gaji minima, RM1,500 sebulan sebagai gaji permulaan di syarikat-syarikat milik kerajaan negeri mulai tahun depan.

Pelaksanaan ini melibatkan kakitangan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri yang status kewangannya stabil sebelum ia diperluaskan kepada syarikat lain.

Antara syarikat itu termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide Holdings Bhd.

Manakala bagi syarikat-syarikat yang mempunyai status kewangan yang tidak stabil, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan dana RM10 juta supaya kenaikan gaji dapat dilaksanakan. Sk


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular