Tuesday, November 15, 2011

Skandal PKFZ : Majoriti tidak setuju

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu seorang saksi bahawa majoriti menteri tidak bersetuju dengan cadangan untuk membeli tanah di Pulau Indah, Klang bagi projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Saksi pendakwaan ke-20, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam keterangannya berkata, ketika mesyuarat Jemaah Menteri pada 2002 ramai ahli Jemaah Menteri beranggapan projek itu berkemungkinan tidak berjaya dan mereka berasa ada sesuatu yang tidak kena. “Saya berada di dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Apabila perkara ini berbangkit, ramai di kalangan kita (ahli Jemaah Menteri) rasa ada sesuatu. 


Kebanyakan berpendapat tanah itu dijual dengan harga yang tinggi iaitu RM1 bilion lebih,” katanya ketika menjawab soalan balas peguam, Wong Kian Kheong yang mewakili bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik. Pendedahan kali pertama selepas sembilan tahun itu diakui Mohamed Nazri dalam keterangannya pada perbicaraan terhadap Ling yang menghadapi tuduhan menipu dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ mengikut terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Ling dituduh menipu Kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi (0.0929 meter persegi) iaitu RM1,088,456,000, sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sudah mengambil kira kadar kupon dan faedah.

Selain itu, Mohamed Nazri yang ketika itu Menteri Pembangunan Usahawan, tidak bersetuju dengan cadangan Wong bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah penggerak utama keputusan jemaah menteri untuk membeli tanah dan bukannya mengambil balik tanah berkenaan. Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung hari ini. HM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular