Wednesday, November 16, 2011

Dakwat Kekal : PSC minta AG beri penjelasan hari ini

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini dijadual bertemu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung cadangan penggunaan dakwat kekal di jari pengundi untuk pilihan raya umum ke-13.

Pengerusinya Datuk Seri Maxmus Ongkili berkata Abdul Gani telah dijemput menghadiri mesyuarat PSC kelima hari ini kerana anggota jawatankuasa tersebut mahu mendengar penjelasannya mengenai cadangan penggunaan dakwat kekal.

"PSC telah menjemput Peguam Negara untuk memberi pandangan mengenai soal undang-undang berhubung Perlembagaan yang dibangkitkan pada sesi pendengaran awam," katanya ketika dihubungi.

Katanya majoriti anggota PSC percaya cadangan penggunaan dakwat kekal boleh dilaksanakan tetapi mahu penjelasan Peguam Negara berhubung Artikel 119 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sejak seminggu lalu, pelbagai pihak telah memberi pandangan kepada PSC termasuk bekas presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga dan presiden semasa Lim Chee Wee yang berpendapat Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda untuk membolehkan dakwat kekal digunakan ketika pilihan raya di negara ini.

Dalam pada itu, seorang ahli jawatankuasa itu, Datuk Alex Nanta Linggi berkata mereka menyokong cadangan penggunaan dakwat kekal tetapi mahu isu-isu perundangan diselesaikan kerana jawatankuasa itu tidak mahu silap dalam membuat keputusan.

Seorang ahli jawatankuasa, P Kamalanathan berkata pelbagai maklum balas dan input yang dikumpul menunjukkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan parti politik menyokong cadangan penggunaan dakwat kekal.

"Mesyuarat hari ini dengan Peguam Negara adalah untuk mengkaji dari sudut perundangan. Kami tidak mahu terburu-buru untuk memutuskan dan kemudian menghadapi masalah. Kami mahu melihat baik buruknya.

"Kami tidak mahu sesiapa sahaja mengemukakan petisyen di mahkamah bagi membatalkan keputusan pilihan raya hanya semata-mata dakwat kekal," katanya. Mk

Pakatan setuju pinda Perlembagaan untuk bolehkan dakwat kekal

16 November 2011

KUALA LUMPUR, 16 NOV – Pakatan Rakyat sebulat suara menyokong usaha meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Pakatan akan menyokong sebarang pindaan Perlembagaan untuk perkara itu jika itu yang dimahukan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Pada tahun 2008, Abdul Gani memberi alasan penggunaan dakwat kekal tidak dapat dilaksanakan kerana memerlukan pindaan Perlembagaan walau pun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membeli dakwat berkenaan untuk digunakan dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan bersedia menerima pindaan Perlembagaan asalkan ianya dibentang dan mendapat persetujuan dua pertiga Parlimen sebelum PRU ke-13 diadakan.

“Kita juga menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) tidak berlengah atau berdalih untuk merencanakan hasrat tertentu mereka,” katanya dalam sidang media Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen semalam.

Bernama melaporkan bahawa PSC yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Maxmus Ongkili telah menjemput Peguam Negara untuk berbincang tentang penggunaan dakwat kekal dalam mesyuaratnya hari ini.

Sementara itu, Barisan Nasional telah mengadakan meysuarat pimpinan parti-parti komponen di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya malam tadi, dipercayai untuk membincangkan persediaan PRU ke-13.

Pakatan Rakyat pula akan memulakan kempen pra-PRU dengan mengadakan ceramah besar bermula di Selangor pada awal bulan depan. – Roketkini.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular