Saturday, November 26, 2011

POLIS TIDAK MEMBATALKAN PERMIT CUMA "MENOLAK" JE...

PKR diberi amaran 
November 26, 2011 - JOHOR BAHRU – Polis tidak membatalkan permit ceramah yang dimohon PKR namun menegaskan ia belum diputuskan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, polis menolak permohonan PKR untuk mengadakan ceramah di beberapa daerah di negeri ini selepas mengambil kira keselamatan rakyat dan untuk mengekalkan ketenteraman awam.

Katanya, polis menerima permohonan PKR kira-kira tiga hari lalu tetapi menolaknya kelmarin.

“Permit dipohon menerusi ketua polis daerah. Bagi sebarang kelulusan yang diberikan, perkara tersebut akan dikaji dengan menitik beratkan akan faktor keselamatan.

“Namun jika permohonan gagal, mereka boleh menghantar rayuan kepada saya (Ketua Polis Negeri) bagi mengkaji semula permohonan mereka untuk mengadakan ceramah di sini dan saya telah diberitahu mereka akan hantar hari ini (semalam),” katanya dalam pada sidang media, di sini, semalam.

PKR menerusi Timbalan Presidennya, Mohd Azmin Ali yang menghadiri majlis perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di sini, semalam mendakwa polis membatalkan semua permit ceramah yang dikeluarkan untuk beberapa kawasan pada saat akhir.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Mokhtar berkata, tidak timbul isu permit dibatalkan kerana polis tidak pernah meluluskan permohonan untuk mengadakan ceramah yang dibuat PKR tiga hari lepas.

Mohd Mokhtar turut mengingatkan PKR agar tidak meneruskan aktiviti ceramah selagi permit masih belum diluluskan.

“Jangan menguji kesabaran kita kerana ia adalah tugas polis dan tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika mereka mengadakan apa-apa ceramah di negeri ini tanpa sebarang permit daripada pihak polis,” katanya. - Sinar Harian

BERITA TERDAHULU
MB Johor arah pihak berkuasa halang ceramah PKR?

SKUDAI 25 NOV : Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mendakwa terdapat cubaan untuk menggagalkan semua program ceramah penerangan isu semasa di Johor sepanjang Kongres PKR ke-8 berlangsung.

Azmin berkata sumber parti mendapat tahu yang Menteri Besar Tan Sri Abdul Ghani Othman mengarahkan semua pegawai kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan polis di Johor untuk mengambil tindakan tegas termasuk merampas peralatan ceramah dan menafikan semua permohonan permit.

Menurut Azmin, PKR merancang mengadakan 20 ceramah sepanjang tiga hari Kongres PKR yang bermula hari ini.

"Saya mendapat maklum-balas bahawa semua ceramah PKR yang diatur di 14 cabang seluruh negeri Johor telahpun diganggu oleh pihak berkuasa.

"Saya mendapat maklum-balas bahawa Menteri Besar sendiri telah memanggil semua pegawai dari pihak berkuasa tempatan untuk tidak membenarkan sebarang ruang kepada PKR untuk menganjurkan ceramah pada malam ini," kata Azmin di satu sidang akhbar seusai ucapan perasmian Kongres.

Sebelum ini, TV Selangor melaporkan satu tinjauan yang menunjukkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat berleluasa di kalangan pengundi muda dan golongan berpendapatan sederhana.

Dua kategori ini membentuk undi penentu di semua bandar-bandar utama seluruh negara, khususnya di bandaraya majmuk seperti Johor Bahru.

Azmin menegaskan kegelisahan Tan Sri Abdul Ghani Othman ini membuktikan Johor bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.

"Ini membuktikan bahawa mereka dalam keadaan ketakutan. Mereka tidak mahu rakyat mendapat maklumat daripada PKR melalui ceramah-ceramah ini. Bagi saya ini satu perkembangan yang baik," kata Azmin.

"Kita perlu mempelbagaikan pendekatan kita, tidak semestinya melalui ceramah, tetapi bergerak dari rumah ke rumah, kita edar risalah di tempat awam dan bertemu rakyat dengan pelbagai cara," tambahnya.

Mengulas lanjut, Azmin berkata gangguan dan halangan yang diletakkan menyerupai simtom-simton akhir rejim Barisan Nasional Selangor sebelum ia tumbang dalam Pilihanraya Umum 2008.

"Negeri Selangor pernah menjadi kubu-kuat Umno suatu ketika dahulu. Tetapi apabila kefahaman diberikan, Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan ini juga boleh berlaku di negeri Johor dalam pilihanraya akan datang," kata beliau.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi di Johor, Azmin melahirkan keyakinan perkara itu akan dapat disepakati sebelum hujung tahun ini.

"Perbincangan ketiga (berkenaan pembahagian kerusi) akan berlangsung pada minggu depan pada hari Rabu (30 November). Setakat ini kemajuan perbincangan cukup positif. Kerusi-kerusi yang bertindih cukup kecil di kalangan Pakatan Rakyat," - TVS News

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular