Tuesday, August 16, 2011

SPR balang oksigen terakhir UMNO

Daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) SPR belum digunakan tetapi sudah huru-hara seperti tersilap masuk data, salah maklumat, maklumat tidak sama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan sebagainya.

“Cuba bayangkan jika perkara ini tidak didedahkan oleh Pakatan Rakyat, maka isu ini akan menjadi barah negara yang paling merbahaya sedangkan ini melibatkan pemilihan pimpinan negara untuk masa depan rakyat di negara ini,” katanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.


Katanya, ini bermakna, baik macam mana tawaran Pakatan Rakyat kepada rakyat, ia tidak bermakna kerana masalah daftar pemilih yang meragukan.


“Bagaimana perkara ini boleh berlaku, seperti kes Mismah dalam masa empat jam sudah bertukar menjadi warga negara dan layak untuk mengundi. Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui kesilapan teknikal,” katanya.


Pada hal menurut SPR, katanya mereka sentiasa membuat semakan menggunakan Sistem Perkongsian Maklumat Antara Agensi (ALIS) untuk mengemas kini daftar pemilih dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Kalau kemas kini, kenapa kes Mismah dan yang lain-lain lagi boleh berlaku.


Beliau berkata, satu perkara yang pelik apabila SPR turut memotong senarai nama pengundi berumur 90 tahun ke atas yang kesemuanya seramai 12,000 orang jika mereka didapati tidak lagi aktif.


“Persoaalannya peraturan mana SPR gunakan sewenang-wenang boleh membuang senarai nama tidak aktif. Bukankah ini bertentangan dengan Perkara 14 Peraturan-Peraturan Pilihanraya 1981?” soalnya.


Tambahnya, paling kelakar lagi jika mereka yang nama dipotong datang pada hari pilihanraya, SPR akan membetulkan semula.


Soalnya lagi, atas asas apa pula pengundi yang dipotong hendak datang mengundi sedangkan namanya sudah dipotong.


“Bukankah ini mendedah kepada penyelewingan untuk hantu-hantu berkeliaran pada hari mengundi?” soalnya.


Justeru, ujarnya rakyat mengharapkan SPR jangan menjadi kuda tunggangan Umno.


Menurutnya, tipu muslihat akan terdedah satu demi satu, kerana sekarang zaman IT bukan zaman Ashabul Kahfi.


Pakatan Rakyat, tegasnya akan menggunakan kepakaran yang ada untuk mendedahkan ketempangan sistem pilihan raya yang berlaku di dalam negara ini kerana BN mengetahui SPR adalah balang oksigen terakhir untuk mereka. - Harakah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular