Thursday, August 18, 2011

Keterlaluan: Tahanan PSM Diludah Di Muka Dan Dipaksa Bogel

Wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini tampil mengemukakan aduan kepada Bahagian Tatatertib Polis DiRaja Malaysia bersabit salahguna kuasa polis ketika menahan reman 31 aktivis parti itu Julai lalu.

Mereka menuntut satu siasatan dijalankan bagi mengenalpasti tindakan anggota polis yang tidak menghiraukan hak asasi manusia dengan melakukan penderaan dan gangguan seksual terhadap tahanan.


Setiausaha Agung PSM, S.Arutchelvan yang ditemui media menyifatkan polis enggan mengendahkan laporan yang telah dibuat sebelum ini oleh aktivis terbabit.


"Jadi kita rasa polis tidak serius. Mereka lebih serius buat tohmahan fitnah yang tidak ada kena mengena dan kenyataan pun tidak mahu ambil.Jadi kita terpaksa datang ke Bukit Aman untuk mengetengahkan isu disiplin dan siasatan jenayah," ujar beliau.


Antara salahguna kuasa polis yang dinyatakan dalam tujuh laporan yang dibuat di Balai Polis Pusat, Ipoh termasuklah perbuatan meludah ke muka tahanan oleh seorang anggota wanita selain menumbuk muka G. Packialetchumy kerana mempertahankan hak memakai kemeja T 'Udahlah tu... Bersaralah'.


Polis turut mengenakan gangguan seksual terhadap Packialetchumy apabila beliau dipaksa menukar baju di hadapan anggota polis lelaki selain bertanyakan soalan-soalan lucah berkaitan seks.


Laporan tersebut turut menyebut bagaimana P. Jody dan S. Ramasamy dipaksa berdiri sepanjang masa soal siasat tanpa membuka gari dan tidak dibenarkan ke tandas.


Kesemua 31 ahli PSM yang sedang menjalankan kempen 'Udahlah tu... Bersaralah' di seluruh negara ditangkap pada 25 Jun lalu sebaik melepasi tol Sungai Dua, Pulau Pinang, dua minggu sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.


Polis kemudian menuduh kesemua mereka mempunyai niat melancarkan peperangan terhadap DYMM Yang DiPertuan Agong selain cubaan untuk menghidupkan semula fahaman komunis di negara ini.


Namun setelah direman kesemua tuduhan bersabit komunis digugurkan dan didakwa membantu organisasi haram di bawah Seksyen 43 dan 48 Akta Pertubuhan.


Manakala enam daripada mereka didakwa sebagai perancang utama perhimpunan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.


Arutchelvan kemudian mengulas sikap berdiam diri oleh polis memperlihatkan perlaksanaan undang-undang dwi-standard pihak berkuasa tempatan yang mengabaikan pihak tidak berkepentingan.


Malah katanya, polis seharusnya menyiasat pihak yang mengemukakan laporan bersabit tuduhan terhadap parti itu sehingga membawa kepada penangkapan dan pencabulan hak asasi manusia.


"Apa yang polis buat setakat ini? Kalau mereka siasat, pertama sekali orang yang membuat aduan itu perlu disiasat. Kenapa dia tidak dipanggil? Adakah ini dwi-standard? Orang cakap bas kita ada senjata, tangkap semua dan duduk beberapa hari dalam lokap dan mereka kata tiada apa-apa," katanya lagi.



Dakwa dibogelkan, ahli PSM serah memo ke Bukit Aman




Tiga anggota wanita Parti Sosialis Malaysia (PSM) membuat aduan rasmi kepada lembaga disiplin polis mengenai 'layanan buruk, pencabulan kuasa dan ganguan seksual” ke atas mereka semasa ditahan Jun lalu.


G Packialetchumy , P Indra dan P Jody membuat aduan di ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, dengan diiringi beberapa pemimpin PSM hari ini.


Mereka menyerahkan memorandum empat halaman bersama tujuh laporan berhubung dakwaan salah laku polis.


Wanita berkenaan mendakwa mereka dipaksa berbogel dan menanggalkan pakaian mereka kepada baju lokap di hadapan dua anggota polis lelaki di kawasan terbuka di balai polis Kepala Batas di Pulau Pinang.


Ini, kata mereka berlaku pada malam 25 Jun, di mana 31 anggota PSM ditangkap semasa dalam program jelajah parti itu. Tiga belas daripada mereka adalah wanita.


“Sebaik saja tiba di lokap, kami bergilir dibawa ke lobi. Saya nampak ada 10 anggota wanita dan dua lelaki,” kata Packialetchumy yang mendakwa beliau kemudiannya diarahkan untuk menanggalkan bajunya.


Dakwanya lagi, dua anggota polis lelaki berkenaan yang berdiri kira-kira sejauh dua meter kemudiannya menjerit "Buka, kenapa tak buka?”.


"Bila saya enggan buka, seorang anggota wanita mara ke depan dan tarik baju saya,” kata Pakialetchumy (kanan), 40, dengan berang.


Beliau kemudiannya berselindung di belakang anggota polis wanita lain dan menukar kepada pakaian lokap itu seperti yang diarahkan.


Dalam aduannya juga, Jodie, 51, mendakwa seorang anggota polis lelaki menyepak kakinya apabila pada mulanya dia enggan mematuhi arahan itu.

Indra, 53, pula mendakwa seorang anggota polis cuba melondehkan seluarnya.



Menurut ketiga-tiga mereka, nasib yang sama juga dialami tahanan wanita lain. -mk






Ulasan GB


JIKA DAKWAAN MEREKA BENAR, MAKA TINDAKAN POLIS BERKENAAN PERLU DIKUTUK DAN MEREKA YANG TERLIBAT PERLU DIHERET KE MUKA PENGADILAN.


GB BERHARAP APABILA PAKATAN RAKYAT MEMERINTAH, TIDAK ADA LAGI POLIS-POLIS YANG BERTINDAK SEPERTI BINATANG INI, MALAH JIKA TIADA SEBARANG TINDAKAN DIAMBIL OLEH PIHAK PDRM SELEPAS LAPORAN TERSEBUT DIBUAT, KES INI AKAN DIBONGKAR DAN DISIASAT SEMULA BAGI MEMPASTIKAN ANGGOTA POLIS BERKENAAN TIDAK TERLEPAS BEGITU SAHAJA.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular