KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan Perdana Menteri yang tergesa-gesa menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk melarikan diri daripada desakan asasnya berhubung isu warganegara asing dijadikan warganegara ini.
Tindakan menjadikan warganegara asing sebagai warganegara merupakan satu pengkhianatan amat jelas terhadap negara yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN dan ia perlu dibincangkan dengan meluas di Parlimen, bagi menyelesaikannya demi kepentingan negara.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, namun tindakan Najib menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen amat meragukan Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi penubuhannya langsung tidak dirundingkan dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa itu adalah susulan dari tindakan pemimpin Pakatan Rakyat yang turut melibatkan beliau yang menghantar surat rasmi ke Parlimen untuk mendesak kerajaan memanggil persidangan khas Parlimen pada 8 Ogos lalu.
Katanya, surat itu telah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri untuk diberikan respon segera dalam tempoh seminggu.
"Semalam, 15 Ogos, tempoh seminggu yang kami berikan itu dah berakhir. Perdana Menteri akan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Fokusnya adalah mengenai perubahan pilihanraya," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Penubuhan jawatankuasa itu, menurut beliau, penuh dengan keraguan dan tanda tanya kerana ia tidak didahulukan dengan cadangan penubuhannya pada persidangan Parlimen oleh seorang menteri seperti yang lazim dilakukan, bagi membolehkan ia dibincangkan oleh Ahli-Ahli Parlimen.
"Sepatutnya, untuk menubuhkan jawatankuasa itu, Perdana Menteri mestilah memanggil persidangan Parlimen untuk membincangkannya. Bukan ambil tindakan terus menubuhkannya seperti yang dilakukan sekarang.
"Saya tahu tentang penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu pun setelah membaca lawam web Bernama. Esok Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai penubuhan jawatankuasa itu.
"Kita (Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat) tak pun dihubungi, tak dipanggil untuk membincangkannya. Jadi, kami sendiri pun tak tahu apa maknanya penubuhan jawatankuasa itu? Apa bentuk jawatankuasa yang hendak ditubuhkan dan siapakah yang akan menjadi ketuanya?" katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menasihatkan Perdana Menteri agar tidak lari dari perkara asas yang menjadi desakan Pakatan Rakyat yang jelas untuk membincangkan masalah penyelewengan dalam pentadbiran pendaftaran warganegara asing di negara ini.
"Akibat penyelewengan itu, ribuan warganegara asing yang menjadi penduduk tetap dengan pemilikan kad pengenalan merah telah menjadi warganegara ini dengan diberikan kad pengenalan biru dalam masa amat pendek sekitar beberapa jam sahaja.
"Ini merupakan satu pengkhianatan dan ancaman amat jelas terhadap negara. Perkara ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri. Sebab itulah kami mendesak kerajaan memanggil persidangan Parlimen khas bagi membincangkannya," katanya.
Penyelewengan tersebut, katanya dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan ia amat perlu dijawab oleh Perdana Menteri demi kepentingan negara.
Selain terdapat warganegara asing yang berjaya menjadi warganegara ini hanya dalam masa beberapa jam sahaja, beliau turut kesal dengan tindakan SPR dan JPN apabila terdapat warganegara asing yang mempunyai kad pengenalan merah turut tersenarai nama-nama mereka dalam daftar pemilih.
Demi kepentingan negara, Pakatan Rakyat turut mendesak kerajaan agar membuat siasatan awam untuk membolehkan rakyat tampil memberi bukti berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dan pemalsuan dalam isu pemberian taraf kerakyatan kepada warganegara asing.
Jika desakan tersebut tidak dipenuhi, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk meminta supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan tersebut.
Turut hadir pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar, Khalid Samad, Dr Mariah Mahmud, Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Cheras (DAP), Tan Kok Wai.
Sumber-Harakah
No comments:
Post a Comment