Sunday, May 15, 2011

Dugaan Tetap Ada, Masyarakat Pandang Poligami Sesuatu Yang Negatif - Salih


Beliau yang dijangka melengkapkan kuota poligami dengan penuntut ijazah sarjana di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) itu selepas Aidilfitri ini berkata, rumah berkenaan sebagai hantaran kepada Emi dan hadiah kepada tiga isterinya yang terdahulu.

Menurutnya, pemberian itu bakal menjadi hadiah terhadap segala pengorbanan semua isterinya selama ini.


“Ketiga-tiga isteri saya menerima pelbagai ujian dan dugaan akibat berpoligami. Walaupun sering dipandang negatif, ia tidak mematahkan semangat mereka. Kerana itu, saya ingin menghargai kekuatan mereka yang menyokong saya selama ini.

“Bukan mudah untuk berpoligami. Setiap hari, ada saja dugaan dan ujian yang perlu dihadapi ketiga-tiga isteri saya. Malah, masyarakat kita rata-ratanya sering memandang isu poligami ini sebagai sesuatu yang negatif.

“Pada masa sama, mereka (isteri) yang menjadi orang kuat di belakang saya sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Namun, sifat rendah diri dan tabah yang diterapkan dalam diri masing-masing menjadikan mereka kuat, dan itu adalah kekuatan bagi saya,” katanya dalam temubual bersama wartawan Metro Ahad di sini.

Menurut Salih, dia bercadang membeli rumah baru berkenaan dalam satu kawasan di sekitar Lembah Klang bagi menempatkan setiap isteri dan anaknya.

Buat masa ini, ketiga-tiga isterinya menetap di Kampung Pandan.

“Rumah mereka (ketiga-tiga isteri) masing-masing di sini. Bagaimanapun, tidak ada lagi rumah kosong untuk menempatkan bakal isteri keempat.

“Jadi saya perlu mencari satu kawasan perumahan baru yang lebih luas dan selesa untuk mereka. Saya lebih suka mereka tinggal berdekatan. Dengan cara ini, saya ada banyak masa untuk menjaga dan bersama mereka,” katanya.
Sambil berbual, Salih membawa wartawan melihat ketiga-tiga apartmen milik isterinya yang terletak berhampiran di antara satu sama lain.

Apartmen didiami isteri pertama dan kedua dibeli hasil titik peluhnya berkecimpung dalam dunia seni kira-kira tiga dekad lalu, manakala kediaman isteri ketiga disewa.

Tinjauan Metro Ahad mendapati rumah isteri pertama dan kedua diubah suai dengan corak hampir sama seperti hiasan dalaman dan perabot. Begitupun, kediaman isteri ketiga tidak sempat ditinjau kerana kesuntukan masa berikutan Salih ada urusan lain.

Menurut Salih, dia memastikan layanan kepada setiap isteri dan keluarganya sama adil dan saksama supaya mereka mampu hidup aman dan selesa hasil pendapatannya.

“Alhamdulillah, tidak ada satu pun yang kurang. Jika seorang mendapat kereta, yang lain juga dapat. Ini yang cuba saya terapkan terhadap keempat-empat isteri nanti. Syukur kepada Allah, kami hidup selesa hasil rezeki pemberian-Nya.

“Apa yang saya miliki kini menjadi kejayaan bagi setiap isteri dan anak. Jika mahu diikutkan, kejayaan saya adalah kejayaan untuk mereka.

“Saya percaya, ini semua rezeki anak dan isteri. Rezeki saya hanya untuk membeli sekotak rokok. Mungkin jika tidak berpoligami, rezeki saya tidak seperti ini,” katanya berseloroh.

Pelawak popular itu kembali mencuri tumpuan masyarakat seluruh negara selepas akhbar ini secara eksklusif menyiarkan gambar bakal isteri keempat Salih yang berwajah ala Arab pada ruangan muka depan Khamis lalu.

Bagaimanapun, Salih ketika ditanya tarikh sebenar perkahwinannya bersama gadis kelahiran Johor itu masih berahsia dan menjelaskan, semuanya terserah pada takdir dan kuasa Allah.

“Saya serahkan semuanya kepada Allah kerana saya cuma mampu merancang. Insya-Allah, jika tiada halangan, saya akan melangsungkan perkahwinan selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya.-hm

Cara Salih hidup berpoligami

KUALA LUMPUR: Salih bukan saja cekal mengharungi cabaran dunia seni hingga bertahan lebih 30 tahun, malah berjaya melayari hidup berumah tangga bersama tiga isteri dan 11 anak. Bukan calang-calang orang mampu melakukannya.

Sudah tentu ia bukan jalan mudah untuk dilalui penggiat seni serba boleh ini. Baginya, ia satu proses panjang dan hanya dapat dibentuk jika seseorang itu dapat mengenal diri sendiri.

Itulah bekalan yang cukup kuat dalam diri Salih untuk memimpin isteri selama mengamalkan poligami.

“Saya lakukan semua ini atas jalan agama, selepas saya mengenali diri sendiri. Maksudnya, mengenal diri sendiri dengan hal keagamaan berasaskan ilmu dan pengalaman.

“Ia bukan diperoleh dalam tempoh satu dua hari seperti mengikuti kursus perkahwinan. Ia memerlukan satu proses pembelajaran yang panjang,” katanya.

Tidak dinafikan, Salih boleh dikatakan suami yang bijak mengekalkan keharmonian keluarga dengan hidup berpoligami, iaitu selepas memulakannya pada 1993 apabila berkahwin dengan Norraha Hamad, 43, sebagai isteri keduanya ketika itu.

Pasti ada rahsia di sebaliknya, dan bagaimana Salih mengekalkan kesejahteraan keluarga sehingga tiga isterinya boleh menerima keinginannya untuk berkahwin satu lagi.

Berikut serba sedikit rahsia yang dikongsi Salih bersama Metro Ahad bagi menjaga kebahagiaan rumah tangga dan keluarganya.

# RUTIN HARIAN MENJADI SUAMI KEPADA TIGA ISTERI

Dulu, ketika beristeri dua, Salih bergilir selang sehari untuk ke rumah setiap isterinya. Namun, apabila beristeri tiga, rutin demikian tidak lagi dipraktikkannya.

“Cara begitu sudah tidak sesuai, kena ambil masa lama untuk ke rumah setiap isteri,” kata Salih.

Sekarang, selepas balik bekerja di konti dari jam 6 hingga 10 pagi, Salih luangkan masa lebih kurang dua jam secara bergilir ke rumah isterinya.

Bagi Salih, tidak timbul masalah membuat giliran kerana rumah setiap isterinya terletak berhampiran antara satu sama lain.

“Lepas kerja, saya pastikan berkunjung ke rumah semua isteri dan luangkan masa bersama anak. Saya titik beratkan hal ini demi menjaga hubungan kekeluargaan, terutama dengan anak.

“Sebab itu saya banyak menolak pelawaan mengikuti program rakaman televisyen yang memerlukan komitmen tinggi. Ia boleh menjejaskan masa bersama keluarga, kalau sehari dua hari tinggalkan mereka tidak mengapa, lebih daripada itu saya perlu fikir dua tiga kali,” katanya.

Tidak dinafikan, pembabitan dalam dunia seni ada kala membuatkan Salih terpaksa berpisah dengan keluarga, namun ia tidak menjadi masalah.

“Isteri dan anak faham tanggungjawab serta karier saya. Pun begitu, kedua-duanya juga penting buat saya, sama ada keluarga dan karier.

“Sebagai ketua keluarga, perkara ini menjadi amanat dan tugas yang perlu saya pikul, dua perkara ini perlu seimbang,” katanya.

Yang pasti, Salih bakal menerima seorang lagi teman hidup dalam diari hidupnya, dan sudah tentu rutin hariannya ada sedikit perubahan dengan kedatangan orang baru.

“Memang akan ada perubahan, tetapi tidak banyak. Agama dan pengalaman banyak mendewasakan saya melalui perkara baru dalam hidup,” katanya.

# BAGAIMANA SALIH AGIH PERBELANJAAN KELUARGA?

Tanggungjawab memberi nafkah terhadap tiga isteri bukan tugas mudah. Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah kepada Salih, jika tidak masakan dia sanggup menambah seorang lagi isteri dalam hidupnya.

Bagi Salih, soal pemberian belanja rumah untuk isteri dan anak adalah keutamaan buat dirinya, tambahan pula ia adalah tuntutan dalam agama dan wajib bagi seorang suami.

“Dah tahu diri tu berpoligami, faham-faham sajalah. Bagilah duit belanja untuk semua isteri,” katanya tersenyum.

Dalam hal ini, Salih ‘melaburkan’ wang titik peluhnya kepada seisi keluarga hasil pendapatan bekerja sebagai deejay di konti Sinar FM, pengacara dan bayaran persembahan majlis tertentu yang mencecah puluhan ribu.

“Saya bagi sama rata, semuanya sama. Duit rumah, duit kereta semua isteri dan belanja harian, yang tinggal untuk saya hanya duit poket dan belanja rokok.

“Berapa jumlah keseluruhan tidak perlu saya jelaskan. Cuma yang saya boleh beritahu, jika ramai isteri, banyak jugalah belanjanya, tetapi itu tidak menjadi masalah buat saya kerana saya tahu rezeki di tangan Tuhan,” katanya.

Menurut Salih, dalam aspek perbelanjaan, dia terlebih dulu mengagihkan wang pendapatan kepada keluarga dan anak.

“Untuk saya sendiri, itu semua kemudian. Yang penting, keluarga dulu. Percayalah, jika kita lakukan semua itu dengan keredaan, Allah akan membantu kita.

“Apa yang saya peroleh sekarang, bukan kerana diri saya. Semua atas ketentuan Tuhan, Dia yang memberikan rezeki kepada saya,” katanya.

-hm


Popout



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular