Thursday, January 12, 2012

Siasatan NFC: Shahrizat mohon cuti tiga minggu

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu mulai esok daripada menjalankan tugas sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, Shahrizat berkata beliau telah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapat menjalankan siasatan sama ada saya terlibat atau tidak di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai National Feedlot Corporation (NFC) di mana suami saya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif," katanya.

Shahrizat berdepan isu NFC, yang diterajui Mohamad Salleh, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu merumuskan projek itu berdada dalam keadaan kucar kacir.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang bahawa wujudnya penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.
Antara mereka yang secara terbuka mendesak Shahrizat supaya melepaskan jawatannya, adalah ahli parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh dan ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Meskipun diasak pelbagai pihak yang menuntut perletakan jawatannya, tetapi Shahrizat bertegas tidak mahu berbuat demikian dengan alasan apa yang dilakukan oleh suaminya tidak ada kaitan dengan dirinya.

Berikutan itu, PKR membuat pendedahan demi pendedahan yang mendakwa berlaku penyelewengan terhadap dana berkenaan.

Antara pendedahan mereka, dana itu antara lain digunakan untuk tujuan berikut:

Membeli dua unit kondominium mewah 'One Menerong' (RM13.8 juta)
Membiayai Umrah atas nama suami dan anak lelaki (RM31,580)
Perbelanjaan peribadi (RM26,400)
Membeli Mercedes Benz CLS350 (RM534,622)
Membeli dua lot tanah di Putrajaya (RM3.36 juta)
Percutian mewah (RM455,423)
Pada pilihan raya umum 2008, Shahrizat gagal mempertahankan kerusi parlimen beliau di Lembah Pantai. Ketua Wanita Umno itu tumbang di tangan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau bagaimanapun, kemudiannya dilantik sebagai senator dan diangkat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat. - Mkini

GAJI PENJAGA LEMBU: Pengerusi = Datuk Dr. Mohamad Salleh (suami Shahrizat, gaji sebulan RM100,000. Pengarah Eksekutif, anak Sharizat, Wan Shahinur (umur 31) gaji sebulan RM45,000. CEO Wan Shahinur, juga anak Sharizat (umur 27) gaji RM35,000 sebulan. Pengarah, anak Sharizat, Wan Izzana Fatimah (Umur 25) gaji RM35,000.

HARTA-HARTA PENJAGA LEMBU: Dua Kondo di Menerung, Bangsar RM12.4 juta. Mercedez CLS 350 berharga RM535,000. Dua lot tanah di Putrajaya RM 3.3 juta. Kondo di Singapura RM10 juta. Pakej percutian ke Bali dan Bandung RM455,000.

Ia untuk selamatkan air muka Shahrizat, kata PKR

11:10PM Jan 12, 2012
Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution menganggap cuti tiga minggu daripada tugas menteri yang dipohon oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mulai esok - sewaktu siasatan dijalankan ke atas Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) - merupakan "langkah pertama" sebelum digugurkan daripada senarai calon BN.

Beliau juga menyifatkan percutian tersebut hanya satu langkah untuk
menyelamatkan air muka menteri berkenaan.

Saifuddin yakin menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu tidak akan disenaraikan oleh perdana menteri sebagai calon dalam pilihan raya umum nanti kerana beliau dilihat sebagai satu satu liabiliti.

Ahli parlimen Machang itu berkata kes yang membabitkan Shahrizat yang juga ketua Wanita Umno itu, jauh lebih besar daripada yang membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin.

"Ini tidak mengejutkan langsung, " kata Saifuddin yang mendakwa bukti yang mengaitkan Shahrizat dengan NFC "adalah terlalu banyak".

Shahrizat menjadi sasaran kritikan sejak Laporan Ketua Audit Negara 2010 dikeluarkan Oktober lalu.

Laporan itu menyatakan NFC, yang diuruskan oleh suami dan anak menteri berkenaan, berada dalam keadaan "kucar-kacir" selepas diperuntukkan RM250 juta daripada dana awam.

Shahrizat pula bertegas bahawa NFC - yang sedang disiasat berkaitan dakwaan pecah amanah jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis - tidak ada kaitan dengannya.

PKR mendakwa NFC telah menyalahgunakan sebahagian daripada peruntukan RM250 juta untuk projek ternakan lembu itu, dengan membeli hartanah mewah dan tanah yang tidak berkaitan dengan projek tersebut.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin pula berkata Shahrizat sepatutnya sudah lama berbuat demikian.

"Beliau sepatut mengambil cuti daripada jawatannya sehinggalah isu tersebut selesai," kata Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular