Monday, January 9, 2012

Konspirasi Yang Terbantut

Keputusan mahkamah bukti Putrajaya perlu hentikan politik kotor terhadap Anwar, kata HRW

KUALA LUMPUR, 9 Jan — Putrajaya perlu berhenti menggunakan “politik kotor” terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim seteleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan beliau, membuktikan kes liwat itu tidak sepatutnya dibawa ke mahkamah, kata Pemerhati Hak Asasi,

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Diah hari ini memutuskan Anwar, Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tiga tahun lalu.

Mohd Zabidin membuat keputusan itu atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan Mohd Saiful.

“Anwar telah dibebaskan atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya, sesuatu yang tidak sepatutnya dibawa ke mahkamah.

“Semoga keputusan ini memberi satu mesej kepada kerajaan untuk menghentikan perkara ini,” kata Timbalan Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia Wilayah Asia, Phil Robertson di dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa mengumumkan keputusan itu, Mohd Zabidin berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan Anwar telah meliwat Mohd Saiful.

“Mahkamah tidak boleh memastikan sama ada sampel DNA telah diusik.

“Oleh itu tertuduh dibebaskan,” katanya.

Keputusan itu diraikan keluarga Anwar dan penyokong parti itu.

Berikutan keputusan itu, dijangkakan sokongan terhadap Anwar dan Pakatan Rakyat akan meningkat.

Ini pertuduhan liwat kedua yang dihadapi Anwar. Pada 2000, beliau didakwa meliwat pemandu Azizan Abu Bakar.

Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Makkamah Tinggi, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan menolak sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara. -TMI

Zunar: Ia mungkin tidak berakhir di situ saja

"Keputusan ini memberi satu tamparan hebat kepada Najib, UMNO-Barisan Nasional, dalam masa sama memberi satu lonjakan moral kepada Anwar, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia. Keputusan ini memberi harapan kepada rakyat, bahawa pembentukan Malaysia Baru, iaitu sebuah negara yang adil menjadi mungkin. Selain itu, keputusan ini juga menunjukkan 'tanda-tanda' sistem kehakiman menuju ke arah pemulihan.

Najib gagal mengawal sistem kehakiman dalam kes ini. Namun, situasi ini lebih membimbangkan saya, kerana kes liwat 2 jelas sebagai konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim. Setelah gagal dengan kes ini, maka mereka akan cuba dengan kes yang lain, untuk mencapai matlamat agar Anwar dipenjarakan.

Oleh yang demikian, saya risau ia tidak berakhir di situ, sebaliknya video lucah yang sebelum ini dipalitkan ke atas Anwar Ibrahim, mungkin digunakan untuk mengheret Anwar ke mahkamah lagi ." -- Zunar , kartunis politik

Aziz Bari: BN tetap bersalah

"Dari awal lagi rakyat - baik yang tahu undang-undang atau rakyat biasa - dapat melihat yang kes Anwar ini luar biasa dan tidak mengikut undang-undang; malah sejak awal lagi apabila Anwar disiasat oleh polis jadi keputusan ini tidak dapat lari dari dilihat sebagai kes politik dan bukan kes jenayah biasa. Saya melihat ini satu cubaan untuk mengurangkan kes buruk ke atas Barisan Nasional sebab kalau Anwar dihukum BN akan lebih parah. Tetapi pembebasan Anwar ini juga akan menyulitkan BN kerana ia akan menyebabkan BN dilihat memanipulasi mahkamah dan menyebabkan rakyat marah; mengapa kes ini diteruskan sedangkan dari mula lagi hujah yang mempertikai kes ini telah disuarakan.

Keputusan ini mengesahkan apa yang Anwar katakan selama ini; BN tetap bersalah meskipun ia akan mengatakan keputusan mahkamah ini menunjukkan mahkamah bebas.

Dan kita jangan lupa yang selama ini UMNO menggunakan kes ini untuk mengejek dan mempertikai Anwar. Keputusan ini kemenangan buat Anwar dan BN masih berada di dalam parit; ia tidak melepaskan BN yang sedia terbelit dalam pelbagai masalah dan rasuah. Keputusan ini juga belum tentu menunjukkan yang badan kehakiman bebas sebab kalau ia bebas ia tidak perlu memanggil Anwar membela diri.

Dari satu sudut ia membuat kita tertanya-tanya; apakah keputusan itu akibat sikap rakyat yang menunjukkan kebencian dan penentangan terhadap apa yang berlaku ke atas Anwar? Ini menebalkan tanggapan bahawa mahkamah boleh ditekan dan dipengaruhi; ia tidak bebas. Dan kita jangan lupa bahawa kebebasan kehakiman ialah satu persepsi; kalau rakyat sangsi dan tidak yakin mahkamah tidak boleh berbuat apa-apa."-- Abdul Aziz Bari (gambar kiri), bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Liew Chin Tong: Kes Liwat 2 tidak harus bermula

"Kes Liwat 2 ini seharusnya tidak bermula. Ia berlaku pada Jun 2008, dengan latar belakangnya di mana harga minyak naik, dan desas-desus komponen parti dalam Barisan Nasional mungkin lompat parti, pada ketika itu. Dalam senario terkini, kes liwat II tidak memberi lagi apa-apa manfaat kepada Najib.

Lantaran daripada keputusan ini, pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam masa yang singkat. Sukar untuk diramalkan kesannya terhadap perkembangan politik dalam masa akan datang, tetapi ia mungkin satu permulaan yang baik untuk politik negara kita." -- Liew Chin Tong (gambar kanan) ahli parlimen Bukit Bendera merangkap Setiausaha Biro Antarabangsa DAP -MerdekaReview

Anwar bebas, disambut laungan ‘reformasi’

KUALA LUMPUR: Laungan ‘Reformasi’ dan ‘Bebas Anwar’ menghiasi perkarangan Mahkamah Tinggi di sini pagi ini apabila kira-kira 5,000 penyokong hadir memberi sokongan kepada Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibebaskan dari pertuduhan liwat.

Keputusan pembebasan Anwar diumumkan hakim Zabidin Mohd Diah kira-kira jam 9.15 pagi dan disambut dengan laungan ‘reformasi’ dan bacaan doa kesyukuran.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut mengumumkan pembebasan Anwar dan kemudian melaungkan ‘hidup rakyat’ ‘tolak BN’ dan mengajak para penyokong bergerak dari Kuala Lumpur ke Permatang Pauh bagi meraikan kemenangan Anwar dalam kes ini.

Kelihatan para penyokong berpelukan sesama sendiri dan tidak kurang juga yang menitiskan air mata apabila keputusan itu disampaikan oleh salah seorang yang melaungkan ‘Anwar Bebas’.

Keadaan terkawal sejurus pengumuman pembebasan Anwar dibuat dan para penyokong mula berdoa.

Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan polis yang bertugas masih mengawasi sekitar parkir dan perkarangan mahkamah.

Sebelum itu, sejak awal pagi Anwar yang berkaca mata hitam berkemeja putih hadir bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pimpinan PKR lain.

Keadaan sedikit tidak terkawal apabila Anwar tiba di perkarangan mahkamah. Para penyokong yang sepatutnya berkumpul secara aman dalam kawasan parkir sebaliknya tidak berbuat demikian.

Kebanyakan mereka berdiri diluar kawasan parkir yang ditetapkan dan membanjiri pintu pagar mahkamah.

Pada jam 7.15 pagi dianggarkan lebih 3,000 penyokong hadir di kawasan parkir Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini dengan laungan

‘Reformasi’ dan nyanyian lagu ‘Negaraku’. Juga kelihatan sepanduk tertulis ‘Tolak Fitnah 2′, ‘Lepaskan Anwar’ dikibarkan.

Polis kemudiannya mengeluarkan arahan agar para penyokong memenuhi ruang parkir. Setakat ini keadaan terkawal dan pihak polis yang dianggarkan kira-kira 1,000 anggota mengawasi keadaan itu dengan baik.

Pada 7.45 pagi kelihatan peguam S Ambiga dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said memasuki perkarangan Mahkamah Tinggi.

Selain itu peguam Lateefa Koya, Fadiah Nadwa Fikri, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli adalah di antara pemimpin PKR yang hadir.

Nenek hadir bersama cucu

‘Demi keadilan’ seorang nenek berusia 56 tahun hadir bersama dua cucu dalam perhimpunan ‘Bebaskan Anwar 901′.

Nenek tersebut hadir bersama seorang cucu perempuan berusia 3 tahun manakala salah seorang cucu lelakinya pula adalah Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 10 tahun hadir dengan berkerusi roda.

Nenek tersebut yang enggan namanya dikenali berkata beliau yakin mereka tidak akan ditangkap memandangkan perhimpunan itu diadakan secara aman.

Kes tuduhan liwat II membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Mohd Azlan berlanjutan lebih dua tahun.

Keputusan ini dianggap sebagai mercu tanda yang baik ke arah membebaskan sistem perundangan dan kehakiman di negara ini dan ketika negara sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke 13 nanti. -FMT

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular