Friday, January 13, 2012

Misteri dakwat kekal PRU12 terbongkar!!, undang-undang bodoh macam lembu


KOTA BHARU, Jan 13: Misteri pembatalan penggunaan dakwat kekal menjelang pilihanraya umum ke 12 telah terburai semalam di Wacana Perdana 9 bertajuk, “Pilihanraya Bebas dan Adil: Realiti atau Ilusi?” yang diadakan di sini malam tadi.


(Gambar: Wacana Perdana di KTC malam tadi)

Forum yang berlangsung hampir tiga jam itu dipengerusikan oleh pensyarah UKM, Datuk Dr Mohd Agus Yusuf dengan tiga panelis – Datuk Paduka Husam Musa, Naib Presiden PAS, Tan Sri Abdul Rashid, mantan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam hujahnya, Rashid berkata beliau dan SPR telah berusaha untuk memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada tahun 2007, sebelum ia dibatalkan oleh pihak-pihak tertentu menjelang PRU-12.

“Usahlah cakap pasal dakwat kekal, saya dulu pun dah nak buat kalau orang tak sekat… (tepukan gemuruh), undang-undang dah buat, tapi ada orang yang tidak bersetuju dia sekat.

“Jadi ini nak buat pula, baguslah, buat lah, memang itu patut dibuat… SPR tak tipu, kalau ada penipuan, itu orang lain tipu. Jangan salahkan SPR. Orang lain saya tak tahu. SPR ikut undang-undang 100 percent, jangan salahkan SPR. Kalau undang-undang itu bodoh macam lembu, bodoh macam lembulah,” kata Rashid dalam forum itu.

Pada masa ini, Husam mencelah, “Tan Sri, kalau parti-parti lain itu menipu, SPR duduk sana buat apa?”

Rashid pula membalas, “SPR tak ada kuasa.” Balasan Rashid itu membuatkan hadirin yang penuh sesak dalam dewan itu tidak kering gusi dengan gelak ketawa.

Menjawab Rashid, Nazri mengaku bahawa beliaulah antara orang yang mempertikaikan penggunaan dakwat kekal kerana berdasarkan perlembagaan negara, perkara yang melayakkan seseorang itu mengundi hanya dua – berumur 21 tahun dan berdaftar sebagai pengundi.

“Jadi, kalau ada seorang yang tak mahu dakwat kekal dicalit di jari dan mahu kertas undi, apa yang berlaku? Syaratnya cuma dua, berumur 21 tahun dan berdaftar. Disebabkan itu, dan waktu PRU dah dekat, SPR ambil pendekatan untuk batal penggunaan dakwat kekal,” terang Nazri mengenai sebab penggunaan dakwat kekal dibatalkan.

Mengenai persoalan mengapa dakwat kekal digunakan sekarang pula, Nazri berhujah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan baru sahaja memberikan lampu hijau untuk penggunaan dakwat kekal dan peguam negara bersetuju untuk tukar perlembagaan untuk membolehkannya.

“Sekarang Majlis Fatwa baru umum benarkan, maksudnya dulu tak pernah umum lah, kalau tak mengapa nak umum dua kali,” sindir Nazri.

Menjawab dakwaan Nazri mengenai halangan perlembagaan, Rashid secara sinis menjawab, “Saya tak setuju bantahan Peguam Negara pada 2007. Dalam perlembagaan pun tak kata mesti tunjuk kad pengenalan (IC) sebelum mengundi. Tapi kita suruh tunjuk IC, kalau tak dia tak boleh mengundi. Itupun dipatuhi. Kalau nak mengundi kena patuhi peraturan dan cara-cara mengundi.”

Dalam kontroversi Majlis Fatwa Kebangsaan, Husam mengingatkan Nazri bahawa fatwa sudahpun dikeluarkan pada 2007, dan semua ini boleh disemak melalui web e-fatwa di Internet.

“Tan Sri Rashid baru berbisik kepada saya, SPR ada menerima surat daripada Majlis Fatwa mengenai hal itu pada tahun 2007. Macam mana seorang menteri tak tahu mengenai hal ini? Wallahuaklam,” kata Husam.

Kemudian, exco kerajaan Kelantan turut mengingatkan Rashid mengenai alasan yang diberikannya kepada rakyat ketika pembatalan dakwat kekal bahawa terdapat laporan ada pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya dengan menyeludup sejumlah besar dakwat kekal ke negara ini.

“Pada 5 Mac 2008, Tan Sri keluar di kaca TV memberikan 2 sebab mengapa dakwat kekal tak jadi guna. Dia memberi sebab keselamatan kerana ada orang ditangkap membawa dakwat ini termasuk di Kelantan.

"Ketua Polis Tan Sri Musa Hasan pula mengesahkan adanya dakwaan tersebut. Dan kemudian ditanya ahli parlimen Pakatan Rakyat selepas Mac 2008, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan tiada tangkapan tersebut dan tiada dakwaan dibuat. Bermakna, Tan Sri Rasyid telah dipaksa berbohong,” selar Husam.

Husam turut berkata keputusan menggunakan dakwat kekal kini adalah hasil perjuangan Bersih 2.0.

“Yang berikan hujah yang kata dakwat kekal boleh digunakan untuk PRU akan datang ini ialah Tan Sri Abdul Ghani Patail, yang dulunya memberikan nasihat yang sama tak boleh pakai. Peguam Negara yang sama yang dulu kata tak boleh pakai, tetapi kini boleh pakai, bermakna ada sesuatu yang lompang kepada sistem piliharaya ini.

"Yang lebih penting ialah, bila Tan Sri Ghani Patail kata boleh pakai sekarang, ini adalah hasil daripada Bersih. Kalau tak ada Bersih, tak adalah dakwat kekal kini,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Rashid berkata undang-undang pilihanraya tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana SPR tidak diberikan kuasa sepenuhnya.

“SPR kena share kuasa, jadi demokrasi negara tak lengkap. Orang lain berkuasa, polis berkuasa, kementerian penerangan berkuasa... bukan Umno berkuasa (gelak hadirin), tapi mereka tak bebas,” kata beliau.

Keterangan Rashid dipersetujui Husam.

“Setuju kuasa SPR tak mencukupi, jadi pemulihan PSC (Jawatankuasa Terpilih Parlimen) tidak kena pada core (tunjang) nya (memberikan kuasa sepenuhnya kepada SPR untuk laksana undang-undang pilihanraya).” - Harakahdaily,

Rashid: Cadangan PSC sekadar 'perubahan ekor'

Jan 13, 2012 Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menganggap penambahbaikan sistem pilihan raya negara ini sebagai sekadar “perubahan ekor” dan tidak melibatkan perkara pokok melibatkan akta dan perlembagaan.

Sepatutnya, kata Abdul Rashid, perkara melibatkan stuktur dan bidangkuasa SPR yang terhad, lebih utama dipinda dan bukan sekadar pindaan peraturan, seperti dicadangkan oleh jawatankuasa pilihan khas (PSC) parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya.

“Perkara struktural itu asas. Yang lain, yang kecil-kecil dicadangkan PSC itu melibatkan peraturan saja. Pada saya seminggu saja sudah boleh buat.

“Selepas itu hantar kepada (Yang di-Pertuan Agung) tandatangan saja,” katanya kepada pemberita selepas forum membincangkan pilihan raya bebas dan adil anjuran kerajaan Kelantan di Kota Baharu malam tadi.

Turut terlibat sebagai ahli forum Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa.

Abdul Rashid berkata, apa yang berlaku sekarang bidangkuasa pengerusi SPR ditetapkan dalam Akta Suruhanjaya Pilihan Raya dan suruhanjaya itu juga terpaksa berkongsi kuasa dengan badan lain seperti polis dan jabatan kerajaan tertentu dalam mengendalikannya.

“Kita diminta adil, tetapi kalau banyak perkara dalam undang-undang tak ada... Pilihan raya berpaksi pada undang-undang, tetapi kalau undang-undang pincang, ia perlu dibaiki. “Beri kuasa sepenuhnya kepada SPR untuk menentukan bentuk pilihan raya yang boleh diterima umum sebagai bersih dan adil,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata cadangan pindaan yang dibuat sekarang mesti disokong walaupun kecil kerana ia menunjukkan terdapatnya kehendak politik untuk menambahbaikan sistem pilihan raya.

Ditanya kenapa pendiriannya sekarang berbeza sama sekali dengan sewaktu berkhidmat 27 tahun dengan SPR sebelum ini, Rashid berkata, perkara itu demikian kerana beliau sewaktu itu diikat dengan bidangkuasanya dan mesti menjaga perhubungan dengan pemerintah.

“Dulu saya tidak boleh kata sebab ada akta. Sekarang tak ada akta boleh kawal saya kecuali akta tuhan. Sekarang kalau tak betul, saya kata tak betullah.

“Saya rasa sudah tiba negara ini membuat perubahan yang sesuai bagi pengurusan pilihan raya. Pilihan raya ini darah daging saya. Ini sudah 54 tahun peaturan sama, kita kena kajilah,” katanya.

Sementara itu, dalam wacana sebelum itu, selain hampir senada dengan tuntutan BERSIH supaya media awam mesti bebas dan adil sepanjang tempoh berkempen, Rashid juga membuat cadangan drastik supaya parti politik, tidak kira parti, diberikan peruntukan kewangan oleh kerajaan, seperti amalan di negara maju.

Katanya, ia supaya demokrasi melalui pilihan raya lebih subur di negara ini kerana lebih banyak parti lebih baik.

Tambahnya, apa yang berlaku sekarang, daripada 30 parti yang didaftarkan, sebanyak 20 daripadanya tidak dapat bergerak kerana kurang dana.

Cadangan itu mendapat sorakan gamat kira-kira 1,000 penonton yang sebelum itu mencemuh dan mengejek atas kenyataannya di awal majlis bahawa tiada pilihan raya yang benar-benar adil di dunia ini. Mkini

Klik SINI untuk menonton rakaman penuh Wacana Perdana 9

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular