Tuesday, August 6, 2013

Kuin: Macam bunga jatuh ke tangan kera

AKHIRNYA Kulliyah Muamalat yang menjadi kelompok terakhir bertahan di kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kuala Ketil juga diarah berpindah kembali ke Alor Setar. Bermakna selepas Aidilfitri nanti kosonglah kembali kampus induk Kuin yang telah dirasmikan oleh Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong penghujung tahun lalu.

Apa ertinya apabila kampus induk Kuin yang tersergam indah di Kuala Ketil itu dikosongkan oleh kerajaan negeri? Pertama, ia bermaksud kerajaan Umno tidak berminat lagi untuk menjadikan kampus induk tersebut untuk kegunaan Kuin. Kampus di Kuala Ketil adalah simbol kejayaan kerajaan lalu membangunkan sebuah institusi pendidikan tanpa sesen pun bantuan Pusat.

Kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar, BN cuba mematikan pembangunan yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Kedah dahulu.

Secara tidak langsung mereka tidak mahu lima tahun Pakatan memerintah Kedah meninggalkan kesan fizikal terhadap Kedah.

Kedua, bermakna kampus induk Kuin akan dilelong atau disewa. Masakan kerajaan Umno akan membiarkan kampus yang bernilai RM330 juta, hampir lengkap dengan prasarana sebagai sebuah kampus pengajian terbiar begitu sahaja sedangkan kerajaan negeri perlu mencari sumber untuk membayar balik pinjaman terhadap institusi kewangan.

Terdapat khabar angin yang menyebut, timbul desas desus bahawa kerajaan negeri membuka tawaran penjualan saham miliknya kepada beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Kerajaan negeri dikatakan sudah membuat tawaran itu termasuk kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Aimst dan Universiti Antarabangsa Al-Bukhary (AiU).

Jika ia benar, maka ia berita malang bagi rakyat Kedah, khususnya penduduk sekitar Daerah Baling yang mengharapkan Kuala Ketil menjadi sebuah bandar universiti.

Lantaran dapat menghidu kemungkinan tersebut maka kira-kira 500 penduduk setempat bersama para waris dan pelajar Kuin mengadakan himpunan aman di hadapan kampus induk membantah arahan perpindahan pelajar kembali ke Alor Setar.

Himpunan demi himpunan yang diadakan oleh pihak pembangkang (BN) dahulu, termasuk yang dihadiri Mukhriz Mahathir mendapat liputan hampir semua media di tanah air.

Kini himpunan oleh pelajar waris dan pelajar Kuin langsung tidak mendapat tempat dalam media.

Sumber tidak rasmi kerajaan negeri menjelaskan bahawa sebab utamanya ialah kerana kos penyelenggaran terlalu tinggi, di samping terpaksa mencari dana membayar balik pinjaman membina kampus tersebut.

Sewaktu mengambilalih pentadbiran dari BN tahun 2008 dahulu, kerajaan Pakatan dibebankan dengan kos pembinaan bangunan tambahan Wisma Darul Aman bernilai RM90 juta.

Sebenarnya bangunan tersebut tidak diperlukan kerana bangunan sedia ada sudah mencukupi untuk menampung bilangan kakitangan yang ada.

Lagipun sebaik sahaja kompleks kerajaan Persekutuan di Anak Bukit siap, beberapa jabatan kerajaan Pusat yang menumpang di Wisma Darul Aman berpindah ke sana, jadi berlaku kekosongan.

Namun pentadbiran Ustaz Azizan Abdul Razak tidak mengambil langkah kurang cerdik untuk tidak menggunakan bangunan tersebut sebaliknya mahu menyewanya kepada pihak lain. Hutang yang terpaksa dijelaskan kepada Pusat sebanyak RM25 juta setahun, selama lima tahun, juga berjaya dilunaskan oleh kerajaan Pakatan, walaupun yang berhutang BN.

Sebenarnya isu pembayaran balik atau kos penyelenggaraan bukanlah perkara besar kerana BN memerintah secara pakej - Pusat dan Negeri. Semasa Pakatan tanpa bantuan Pusat pun tahu mencari sumber kewangan untuk menguruskan negeri, macam mana BN yang mengaku kaya raya di peringkat Pusat tidak mampu membantu Kedah menjayakan sebuah projek pendidikan yang boleh memberi pulangan dunia dan akhirat. Sebenarnya jika Kuin diuruskan secara profesional dengan bilangan pelajar yang mencukupi untuk setiap kulliyah maka kutipan yuran pengajian cukup untuk mentadbir IPTS
tersebut.

Bayangkan kerajaan Pusat mampu menyalurkan pelbagaiperuntukan yang berjumlah hampir separuh bilion ringgit hanya untuk sebuah kawasan Dun di Kuala Besut dalam usaha ‘merasuah’ rakyat mengundi BN, maka apa sangatlah dana yang perlu disalurkan untuk membantu kerajaan negeri Kedah menjayakan Kuin.

Kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Jika kampus induk Kuin dapat dijayakan seperti yang dirancang oleh pengasasnya maka ia bukan setakat dapat mencipta kegemilangan pendidikan, bahkan juga dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dengan terbangunnya sebuah bandar universiti seperti mana Bandar Baru Bangi dapat hidup dan berkembang kerana adanya UKM, walaupun asalnya sekitar Bangi hanyalah dipenuhi hutan rimba dan kawasan berpaya.

Kuin mempunyai keunikan kerana muncul sebagai IPTS yang telah mengislamisaikan program-program konvensional seperti Program Perniagaan, Perbankan, Perancangan Kewangan, Risiko dan Takaful, Hospitaliti dan Pemakanan Halal dan lain-lain lagi.

Ia mendapat perhatian dari masyarakat antarabangsa, khususnya jiran di Thailand dan Indonesia yang mengadakan pelbagai kerjasama khususnya dalam berkongsi manfaat perbankan Islam. Hairan, mengapa kerajaan Umno tidak nampak semua ini.

Mereka hanya mahu mengurus Kuin dalam keadaan statik tanpa wawasan besar? Malang sungguh Kedah jatuh ke tangan BN, macam bunga terlepas ke tangan kera. - Zulkifli Yahaya

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular