Seorang pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin menjawab desakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menggesa kerajaan menggunakan undang-undang Syariah terhadap pelatih anjing Muslim dengan mengatakan menyentuh dan memelihara anjing tidak salah bagi sesetengah mazhab dalam Islam.
Atas dasar itu, katanya, tidaklah boleh atau wajar menuduh mereka yang memelihara dan menyentuh anjing sebagai menghina agama Islam kerana sesetengah mazhab membenarkannya."Bagi ulama mazhab Hanafi, memelihara dan memegang anjing tidak salah tetapi bagi ulama Mazhab Shafei ia adalah satu kesalahan," kata Wan Ji yang mendalami Islam di Pakistan dan Mesir itu.
Beliau mengulas tindakan yang diambil oleh sesetengah pihak menuduh seorang jurulatih anjing Muslim, Maznah Mohd Yusof yang membuat video lagu raya bersama anjingnya menghina Islam.
Maznah sebelum ini telah ditahan reman selama dua hari, dan dibebaskan atas jaminan polis kerana merakamkan perbuatannya membersihkan anjing seumpama berwudhu, dan membawa anjingnya bersiar-siar sambil berlatarbelakangkan lagu Hari Raya.
Hari ini, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali menegaskan tindakan Maznah, atau dikenali sebagai Chetz mempertahankan perbuatannya di dalam video kontroversi "1 Hari di Hari Raya" itu bakal memberikan contoh negatif kepada generasi muda Islam berhubung hukum memegang anjing.
"Perkasa mahukan kerajaan perlu mendakwa mengikut enakmen undang-undang syariah. Maznah masih lagi berpegang bahawa dia tidak melalukan kesalahan berkaitan tindakan membersihkan anjing-anjingnya dan dengan sengaja menyentuh anjing yang basah," tegas Syed Hassan.
Wan Ji yang mempunyai banyak kuliah agama dimuat naik di Youtube berhujah, jika hendak dikatakan tidak mengikut Mazhab Shafei menghina Islam, bagaimana pula dengan menunaikan zakat dengan wang."Masalah dengan Malaysia adalah orang ramai banyak membuat penilaian atas sesuatu perkara berdasarkan mazhab Islam Melayu," kata Wan Ji dalam tazkirah Ramadannya di sebuah surau.
"Mengikut Mazhab Shafei, umat Islam hendaklah menunaikan zakat fitrah menggunakan makanan asasinya. Dalam konteks Malaysia, beras. Kenapa umat Islam di Malaysia menunaikan zakat dengan menggunakan wang. Kalau ikut Mazhab Shafei, ini salah dan boleh didakwa menghina Islam," katanya.Menurut Wan Ji, mengeluarkan zakat menggunakan wang dibolehkan oleh ulama Mazhab Hanafi dan digunakan fatwa ini oleh umat Islam di Malaysia untuk memudahkan urusan pembayaran zakat.
Atas dasar itu, kata Wan Ji, perkara-perkara yang berbeza pandangan di kalangan ulama tidak perlulah dijadikan hujah untuk menyerang umat Islam yang lain.Maznah mencetuskan kontroversi apabila video yang memaparkan aksinya tiga tahun lalu menyambut Aidilfitri bersama tiga ekor anjing dimuat naik ke dalam YouTube pada Isnin.
Video itu menunjukkan Maznah membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar berhampiran pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya.Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan Maznah memakai baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya seolah-olah mengambil wuduk sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.
Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)."Video itu turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk bersama tiga ekor ekor anjing di atas sofa. ~the malaysian insider
Peguam Pelatih Anjing : Kerajaan berniat jahat
Kedua-dua peguambela pelatih anjing, Maznah Mohd Yusof, 38 mendakwa kenyataan kerajaan yang mencadangkan wanita berkenaan dipulihkan akhlaknya sebagai perkara yang berniat jahat dan tidak berasas.
“Kenyataan tersebut berniat jahat, tidak berasas dan berat sebelah kepada hak perundangan Chetz (Maznah) yang ketika ini dalam siasatan.
“Ia jelas menunjukkan pihak berkuasa meneruskan serangan tidak adil mereka dan propaganda ke atas Chetz,” menurut N. Surendran dan Latheefa Koya dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia mencadangkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil peluang membimbing dan memulihkan akhlak Maznah yang kini menjadi kritikan ekoran video memaparkan dirinya bersama tiga ekor anjing yang menyambut hari raya di YouTube baru-baru ini.
Dalam pada itu, Surendran dan Latheefa berkata, anak guamnya itu masih belum didapati bersalah atas sebarang kesalahan dan sikap menghakimi sesuatu perkara sebelum diputuskan di muka pengadilan telah menafikan hak asasi Maznah untuk membela diri.
“Timbalan Menteri berkenaan, Jabatan Perdana Menteri dan Jakim perlu tahu Maznah belum didapati bersalah atas sebarang kesalahan.
“Apakah asas Maznah dikritik atas tingkah lakunya? Ini menunjukkan kerajaan dan Jakim bertindak sebagai hakim, juri dan pendakwa tanpa Maznah diberi peluang untuk membela dirinya,” tulisnya lagi. - Sinar
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment