Monday, August 5, 2013

AES : ALASAN LAPOK KERAJAAN BARISAN NASIONAL

PENILAIAN SEMULA SISTEM PENGUATKUASAAN AUTOMATIK [AES]
INDAH KHABAR DARI RUPA

Saya ingin merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Dato’ Seri Hashamuddin Tun Hussien pada 2 Ogos 2013 yang menyatakan bahawa Kerajaan bersedia menilai perlaksanaan Sistem Penguakuasaan Automatik [AES] selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Perlu diambil perhatian bahawa sejak AES dilaksanakan bermula 22 September 2012 telah begitu banyak aduan, kritikan dan cadangan yang dibuat oleh pelbagai pihak samada daripada NGO tidak berparti, Pertubuhan Kakitangan Kerajaan [CUEPACS], persatuan-persatuan Pengguna malah parti-parti politik termasuk UMNO, tetapi Kementerian memekakkan telinga malah terus melaksanakan AES sehingga hari ini.

Setakat 11 Jun 2013 sebanyak 673,339 saman AES telah dikeluarkan di mana sebanyak RM20,020,500.00 nilai kompaun telah dikutip. Hasil daripada jumlah tersebut, Kerajaan telah membayar sejumlah RM13,550,758.00 kepada dua syarikat pengendali kamera AES iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES (M) Sdn Bhd sedangkan Kerajaan hanya mengambil sejumlah RM3,429,910.00 sahaja manakala bakinya RM3,221,832.00 tidak tahu ke mana perginya. Inilah ketelusan Kerajaan yang berjanji akan menilai semula AES selepas Hari Raya.

Sejak tahun 2010 lagi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE] telah membuat bantahan dan aduan kepada Kerajaan termasuk menghantar Memorandum Kepada Majlis Raja-Raja berkaitan perkara ini tetapi semuanya dibakulsampahkan oleh kerajaan. KASE juga telah pada November 2012 membuat aduan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Parlimen Malaysia supaya disiasat cara perlaksanaan AES termasuk meminta Kerajaan mendedahkan butiran Perjanjian di antara Kerajaan dengan Syarikat Penyedia perkhidmatan tetapi semuanya tidak diendahkan.

Sekarang, Pemangku Menteri Pengangkutan menyebut bahawa perlaksanaan AES akan dinilai semula dan memberikan harapan bahawa setiap keputusan akan memberikan keadilan kepada semua pihak. KASE tidak menaruh sebarang harapan kerana ianya tidak lebih daripada ungkapan lapok yang hanya indah khabar dari rupa. Dalam masa Kerajaan mengumumkan akan menilai semula perlaksanaan AES, Kerajaan juga terus meminta penerima saman AES membayar kompaun sedangkan Peguam Negara telah menangguhkan semua prosiding AES di Mahkamah. Penangguhan prosiding ini bukan baru malah dibuat sejak 18 Disember 2012 dan disebutkan oleh Peguam Negara bahawa masalah berkaitan AES akan diselesaikan dalam tempoh dua hinga tiga hari dari tarikh 18 Disember 2012 tetapi sehingga hari ini masih tidak diketahui apa keputusan kajian oleh Pejabat Peguam Negara. Baik Kerajaan mahupun Peguam Negara, kedua-duanya tidak boleh diletakkan pengharapan untuk keadilan kepada pengguna jalanraya berkaitan AES ini.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan seluruh masyarakat Malaysia khususnya pengguna jalanraya bahawa Kementerian yang sama juga dalam jawapan kepada Dewan Rakyat pada 17 Julai 2013 menyatakan bahawa kementerian tetap akan memasang baki 1,079 kamera AES di seluruh negara dan berharap akan dilaksanakan bermula September 2013.

Saya ingin mencabar Kementerian Pengangkutan, jika benar-benar ingin menilai semula dan memberikan keadilan sewajarnya kepada masyarakat Malaysia, sila lakukan seperti berikut :-
a) dedahkan butiran Perjanjian Konsesi antara Kerajaan dengan syarikat Penyedia Perkhidmatan.
b) Kementerian harus bersedia memulangkan semua kompaun dan denda yang telah dibayar oleh penerima Saman sebelum ini kerana beberapa masalah teknikal undang-undang seperti yang pernah disebutkan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman.
c) Batalkan keseluruhan saman yang telah dikeluarkan dan hentikan operasi AES serta merta.

KASE tidak menolak setiap perlaksanaan peraturan dan undang-undang bagi tujuan keselamatan pengguna dan orang awam tetapi menyimpan hak untuk tidak bersetuju dengan beberapa perkara dan tindakan kerajaan dalam proses perlaksanaan peraturan dan undang-undang tersebut. Perlaksanaan peraturan dan undang-undang secara semberono demi keuntungan pihak-pihak tertentu adalah dikesali malah akan ditentang sehingga prinsip keadilan sejagat dipertahankan. Setiap orang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Akhirnya kepada seluruh ummat Islam khasnya dan masyarakat Malaysia amnya, sempena sambutan Aidilfitri, kami memohon jutaan kemaafan sekiranya terdapat salah silap. Pandu Cermat semasa pulang ke kampung halaman, Ingat orang tersayang. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE]
05/08/2013 / 27 Ramadhan 1434H

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular