Perkasa bersuara lagi. Kali ini ia mencadangkan agar kerajaan menarik kerakyataan Namewee yang didakwanya "biadap" dan "kurang ajar" berikutan posting videonya di youtube yang mengkritik kerajaan kerana bersikap "double standard" berhubung penangguhan tayangan filem New Village yang sudah ditetapkan tariknya oleh Finas.
Berikutan tindakan kerajaan itu, Namewee telah berleter panjang lebar dalam video terbarunya mengenai sikap kerajaan yang didakwanya "double standard" bukan saja dalam isu filem New Village tetapi juga dalam beberapa isu lain berkaitan dirinya yang pernah berhadapan dengan pelbagai karenah ketika berurusan dengan kerajaan.
Namawee yang sebelum pilihanraya lalu pernah menghina lagu Negaraku tetapi tidak diambil apa-apa tindakan kerana ketakutan Najib akan kehilangan sokongan pengundi Cina, kini menerima nasib yang sebaliknya. Hanya kerana mengkritik kerajaan bersikap "double standard", kerakyatannya dicadang ditarik balik oleh Perkasa.
Bahkan Nazri Aziz yang dulunya membentangkan karpet merah untuk Namewee datang ke Parlimen dengan pakaian ala ke konsert rock, turut berubah sikap. Beliau kali ini melabelkan Namewee sebagai bodoh, buta sejarah dan tidak sensitif terhadap masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Sebenarnya jika dulu Najib, kerajaan dan Nazri tidak memanjakan Namewee, mungkin hari ini beliau menjadi seorang pemuda dan pengarah filem yang lebih bersopan jadinya. Bukankah P Ramlee dalam filem Anakku Sazali sudah memberi kiasan bahawa orang yang dimanjalan secara berlebih-lebihan cenderung untuk bersikap kasar, biadap dan kurang ajar.
Sepatutnya sejak dulu lagi kerajaan menangani Namewee dengan cara yang sewajarnya, bukan dengan cara memanjakannya. Bukan saja Nazri, kerajaan sendiri bersikap lembut dan tolak ansur terhadap sebarang perbuatannya kerana Najib bimbangkan kesan politik jika sesuatu tindakan diambil terhadapnya. Di sinilah kesilapan sebenarnya.
Jika alasan mengkririk kerajaan dijadikan alasan untuk menarik kerakyatan seseorang, barangkali bukan Namewee seorang yang menerima nasib seperti itu. Mungkin ribuan lagi akan kehilangan kerakyatan kerana setiap hari kita boleh membaca sama ada di media baru atau media tradisional, ada saja pihak yang meluahkan kritikan kepada kerajaan atas pelbagai isu dan masalah yang dihadapi.
Di kedai kopi dan lobi hotel, apabila orang-orang politik bersembang-sembang, kadang-kadang lagi kasar kritikan mereka terhadap kerajaan dan juga cabang-cabang jentera kerajaan seperti polis, peguam negara dan sebagainya. Malah maki hamun orang politik terhadap menteri-menteri dan pemimpin kerajaan yang tidak disukai selalunya jauh lebih kasar lagi.
Jika hanya mengkritik kerajaan dengan cara yang kasar dan biadap boleh dibuang kerakyatannya, sebenarnya setiap hari makin berkuranglah rakyat negara ini.
Walaupun kita tidak bersetuju dengan idea terlalu kreatif Namewee yang kadangkala keterlaluan dan menyinggung perasaan tetapi cadangan Perkasa agar kerakyatannya ditarik adalah juga keterlaluan. Beliau hanya mengkritik kerajaan, bukannya derhaka kepada Raja atau Yang Dipertuan Agong. Cadangan Perkasa ini bukan suatu pemikiran di luar kotak tetapi merupakan idea yang tidak masuk ke mana-mana kotak sekali pun.
Perkasa tidak seharusnya melontarkan cadangan tarik kerakyatan itu sewenang-wenangnya kerana jika dihalusi ia boleh mendatangkan kesan yang memakan diri sendiri. Perkasa sendiri pun kerapkali mengkritik kerajaan. Jika Namewee didapati melakukan kesalahan tertentu, beliau seharusnya disiasat dan kemudian diambil tindakan jika didapati bersalah. Kita mempunyai banyak undang-undang yang boleh digunakan selain cadangan menarik kerakyatan.
Mencadangkan kerakyatan Namewee ditarik menggambarkan kecetekan dan kedangkalan Perkasa sendiri. Bukankah mereka sudah menubuhkan NGO Antara Kaum atau Mirac bersama dengan Perimban (Persatuan Amal dan Kebajilan India Baru) dan Percisma (Persatuan Cina Era Baru) dan kini sudah menjadi Perkasa 1Malaysia?
Sebelum mencadangkan sesuatu tindakan yang drastik, sesuai dengan konsep 1Malaysia dan perjuangan berbilang kaum yang didasarinya, Perkasa sepatutnya bertindak secara diplomasi dulu. Mereka sewajarnya bertindak mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Namawee terlebih dahulu. Bincang, selusuri dan fahami apakah masalah beliau sebenarnya? Jika selepas itu, beliau masih bersikap sama, barulah cadangan yang lebih keras boleh dicadangkan kepada kerajaan untuk diambil terhadapnya. Itupun mencadangkan kerakyatannya ditarik balik tetap keterlaluan dan merupakan idea di luar kotak.
Cadangan Perkasa ini lebih membingungkan orangramai daripada mendatangkan kelegaan. Jika sebelum ini Perkasa kelihatan totok dengan perjuangan Melayu dan Islam dan banyak menyokong kerajaan, kemudian seperti merajuk dan jauh hati dengan Najib, selepas itu melontarkan amaran terhadap kerajaan yang terlalu memberi muka kepada kumpulan pendesak dan ekstremis kaum lain lalu akhirnya mengumumkan sebagai NGO yang berkecuali tetapi kekal memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.
Namun tidak lama kemudian, selepas mengadakan pertemuan dengan Najib, Perkasa memgumumkan penggabungannya dengan Perimban dan Percisma untuk membentuk Mirac yang dilihat oleh banyak pihak sebagai petunjuk untuk akur kembali kepada kepimpinan Najib yang banyak dikritiknya sebelum ini.
Isu yang dibangkitkan oleh Namewee hanyalah sikap "double standard" kerajaan dalam beberapa isu yang dirasakannya tidak wajar. Ia lebih berupa kritikan terhadap karenah birokrasi kerajaan, tiada kena-mengena dengan kaum atau agama sepertimana yang menjadi asas perjuangan Perkasa.
Kalau ada pun yang keterlaluan hanyalah sikapnya saja. Tetapi jika sikapnya itu yang menjadi masalah, soalan seharusnya ditanya kepada Najib kenapa tindakan tidak diambil berkenaan perilakunya berkaitan lagu Negaraku sebelum ini?
Kenapa Najib, kerajaan dan Nazri Aziz begitu memanjakannya sebelum ini?
Kepada Perkasa pula, kenapa hal-hal remeh dan hanya kritikan terhadap kerajaan oleh Namewee sampai dicadangkan mahu ditarik kerakyatannya?
Kenapa berlebih-lebihan membela kerajaan dan seolah-olah mahu suara Perkasa didengari oleh kerajaan?
Atau barangkali soalan yang lebih spesifik patut ditanya, apa lagi Perkasa mahu sebenarnya? (SH 05/08/2013)
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment