Friday, January 13, 2012

Terkini Tuanku perkenan, Exco ganti Hasan +Video


SHAH ALAM, 13 Jan: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memaklumkan perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang baru bagi mengantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan.


(Gambar: Khalid dalam sidang media di pejabatnya hari ini)

Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Dr Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS.

"Pagi tadi saya telah mengadap Tuanku Sultan untuk memberi taklimat mengenai status Dr Hasan sebagai ahli MMKN atau Exco.

"Dalam pertemuan itu saya telah mempersembahkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya telah menerima surat rasmi dari PAS yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada 8 Januari yang lalu telah membuat keputusan memecat Dr Hasan dari menjadi ahli PAS berkuatkuasa serta merta," jelasnya.

Tambahnya Khalid lagi, memandangkan Dr Hasan bukan lagi ahli PAS, maka beliau tidak lagi boleh menjadi ahli MMKN dan Khalid telah menasihati Tuanku Sultan untuk membatalkan perlantikan beliau (Dr Hasan).

"Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan Baginda akan menulis surat pembatalan perlantikan Dr Hasan sebagai ahli MMKN.

"Pada masa yang sama, Tuanku Sultan telah menurunkan kuasanya pada saya untuk melantik ahli baru MMKN, dalam pada itu Baginda juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," sambungnya lagi.

Ketika ditanya mengenai calon yang bakal mengantikan Dr Hasan itu, beliau menjelas buat masa ini belum ada senarai calon yang diterima dan beliau akan bertemu dengan pemimpin PAS Pusat dalam masa terdekat bagi mengetahui nama yang dikemukakan oleh PAS nanti.

"Saya tidak menerima lagi nama calon dan ia bergantung kepada PAS, dalam pada masa yang sama saya akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS Pusat bagi mengetahui nama calon yang dipersetujui oleh mereka.

"Manakala surat penamatan itu pejabat Tuanku Sultan akan serahkan pada Dr Hasan sebelum 18 Januari dan sebagai peraturan kerajaan negeri, beliau (Dr Hasan) perlu memulangkan segala kemudahan yang diberikan kepadanya dalam tempoh yang singkat ini," jelas Khalid lagi.

Sebelum itu perlantikan ahli MMKN yang baru akan disempurnakan di Istana Kayangan pada 18 Januari pada sebelah pagi, waktu yang tepat belum diputuskan lagi. - Harakah

MB : Pengganti Hasan Ali Akan Diketahui Minggu Depan

SHAH ALAM, 13 JANUARI : ADUN Pas yang bakal menggantikan Datuk Dr Hasan Ali bakal mengangkat sumpah pada Rabu depan selepas beliau diputuskan di dalam perbincangan antara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid dan pemimpin Pas pusat dalam sehari dua ini.

Abdul Khalid berkata Sultan Selangor telah bersetuju untuk menulis surat pembatalan perlantikan Hasan sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Saya telah mempersembahkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya telah menerima surat rasmi dari PAS yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Perja PAS Pusat yang bersidang pada 8 Januari 2012 telah membuat keputusan memecat Dr Hasan Ali dari menjadi ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

“Memandangkan Datuk Dr Hasan bukan lagi ahli PAS, saya telah membuat keputusan bahawa Datuk Hasan Ali tidak boleh menjadi ahli MMKN dan telah menasihati Tuanku Sultan untuk membatalkan perlantikan beliau,” katanya.

“Pada masa yang sama, DYMM Tuanku Sultan telah menurunkan kuasanya pada saya untuk melantik ahli baharu MMKN. Baginda Sultan juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi dari mana-mana pihak,” kata Abdul Khalid.

Sebelum ini, PAS di dalam mesyuarat yang diadakan pada 8 Januari lepas telah memecat keahlian Hasan sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan PAS sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS.

Hasan telah menimbulkan pelbagai kontroversi di dalam PAS dan Pakatan Rakyat apabila mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti dan gagasan itu. - Selangorkini

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular